BAITULMAQDIS - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam mendakwa Iran mahu membunuh ramai orang awam dengan membekalkan senjata kepada pergerakan Hezbollah di Lebanon.
Menurut Netanyahu, jumlah senjata yang dibekalkan oleh Iran itu mampu untuk memanjangkan sebarang peperangan dengan Israel selama sebulan.
Beliau berkata, penghantaran ratusan tan senjata yang dirampas oleh komando Israel di atas sebuah kapal itu merupakan satu jenayah perang.
Menurutnya, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sepatutnya menyiasat kejadian penghantaran senjata tersebut untuk pejuang-pejuang Hezbollah di Lebanon.
Kelmarin, Israel mendedahkan pasukan komandonya berjaya memintas sebuah kapal dari Iran yang membawa sejumlah senjata untuk pejuang Hezbollah.
Bagaimanapun, Hezbollah menafikan senjata itu dihantar untuk pejuang-pejuangnya.
"Ia melanggar keputusan Majlis Keselamatan PBB. Ini merupakan satu jenayah perang yang kita tahu bahawa rejim Iran berhasrat untuk Hezbollah melakukannya (peperangan) selepas pejuang-pejuang pergerakan tersebut melancarkan ribuan roket terhadap komuniti kami.
"Inilah yang perlu masyarakat antarabangsa fokuskan," kata Netanyahu.
Bagaimanapun, di negara-negara Islam, beberapa pegawai bimbang Israel mungkin menggunakan isu rampasan kuasa itu untuk mengalihkan tumpuan proses keamanan di Asia Barat.
Stesen televisyen Iran menyatakan dalam komentarnya bahawa Israel melancarkan propaganda itu sebagai cara untuk mengalihkan tumpuan berhubung isu jenayah perang yang dilakukan rejim Zionis semasa perang di Genitng Gaza.
Seorang pegawai Kementerian Luar Syria turut menyuarakan perasaan yang sama.
Pegawai-pegawai Palestin menyatakan kebimbangan bahawa Israel akan menggunakan isu tersebut bagi mengalihkan proses keamanan.
"Sejak kepimpinan Israel dan masyarakatnya tidak bersedia untuk mewujudkan keamanan, Israel menggunakan sebarang alasan untuk meminggirkan tanggungjawab keamanan dan salah satunya ialah isu penghantaran senjata Iran itu," kata jurucakap kerajaan Palestin di Tebing barat, Ghassan Khatib.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: