KUALA LUMPUR - Kedegilan seorang pemilik kedai minuman keras yang berterusan menjual arak kepada remaja dan pelajar sekolah mengundang padah apabila dia ditahan dalam satu operasi di Taman Kosas dekat sini kelmarin.
Suspek ditahan pukul 10.30 malam selepas polis melakukan intipan dan merampas sebanyak 146 karton tin dan 20 karton botol arak bernilai RM50,000.
Kegiatan menjelekkan lelaki berusia 35 tahun tersebut dilakukan sejak awal tahun ini dengan menjual arak dalam tin dan botol yang boleh dibeli pada harga murah.
Satu tin arak seludup dari luar negara itu boleh dibeli pada separuh daripada harga asal iaitu RM5 manakala minuman keras dalam botol pula sekitar RM15.
Pelajar dan remaja pula tidak perlu bersembunyi atau mengikut pintu belakang ketika hendak membelinya tetapi hanya perlu berlagak selamba dengan masuk melalui pintu utama.
Pemilik premis tidak mengenakan syarat bagi pelanggan sebagai salah satu cara untuk menarik minat mereka.
Bagaimanapun, mereka hanya boleh datang membelinya pada waktu malam dan semua pelanggan sama ada baru atau lama boleh membeli sendiri tanpa perlu diperkenalkan terlebih dahulu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, orang awam yang tidak tahan dengan sikap peniaga itu kemudiannya telah membuat laporan kepada polis.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: