Wednesday, November 4, 2009

Hot FM tidak bangga diri


SEELAN (duduk paling kiri) dan Azura (tiga dari kiri di belakang) bersama dengan penyampai Hot FM berjanji tidak akan mudah lupa diri dengan kejayaan terkini stesen radio itu.


RASANYA satu Malaysia sudah mengetahui tentang kemenangan terbesar radio Hot FM yang diumumkan sebagai stesen radio nombor satu negara setelah meraih jumlah pendengar sebanyak 4 juta dalam kaji selidik AC Nielsen baru-baru ini.

Kehebatan Hot FM menenggelamkan Radio Era yang sekadar mampu berpuas hati pada takhta kedua dengan meraih 3.75 juta itu dianggap menjadi pembakar semangat untuk warganya terus bekerja lebih kuat pada masa depan.

Tidak sesekali bersikap lupa diri atau terus berbangga dengan pencapaian lebih hangat yang diperolehi, warga kerja Hot FM sebaliknya sudah memasang impian untuk merangka lebih banyak perancangan dan strategi demi memastikan kejayaan yang diperolehi itu mampu diungguli sehingga bila-bila.

Bukan sekadar omong kosong, Hot FM kini memiliki rencana untuk memantapkan pengisian radio berkenaan supaya dapat terus memenuhi cita rasa pendengar yang sebelum ini tidak henti-henti menyokong mereka.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Radio Prima, Seelan Paul, pihaknya bakal merealisasikan sedikit perubahan daripada segi pengisian bermula November.

"Perkara ini berkaitan dengan sumbangan yang akan diberikan oleh Hot FM kepada industri muzik secara total. Apakah bendanya ini akan kami umumkan kepada orang ramai tidak lama lagi. Cuma apa yang boleh saya beritahu, ia memang ada berkaitan dengan usaha kami di Hot FM untuk memartabatkan industri muzik tanah air," katanya ketika ditemui pada majlis doa selamat dan majlis kesyukuran di atas kejayaan Hot FM di Restoran Puteri, Sungai Penchala, Selangor baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ketua Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar serta penyampai radio itu, Fara Fauzana, Faizal Ismail, AG, Sharifah Aleya, Kieran, Tini, Anne, Ikhwan dan termasuk Pengarah Muzik Hot FM, Azura.

Seelan juga sempat bercakap tentang kerjasama radio di bawah kendaliannya dengan stesen televisyen 8TV.

Menjadi sesuatu yang cukup mengujakan apabila kolaborasi itu ada kena-mengena untuk memartabatkan lagu yang dihasilkan pencipta tempatan melalui sebuah projek istimewa mereka iaitu Hot FM Twisties Bingit.

"Projek yang kami terbitkan sebelum ini bakal diperbesarkan menjadi program realiti dengan mendapat kerjasama daripada 8TV. Kami sengaja melakukan perkara ini disebabkan ingin memberi lebih banyak peluang kepada lagu tempatan diputarkan.

"Seperti yang dilakukan sekarang, Hot FM giat mempromosikan lagu anak tempatan iaitu kumpulan Modread yang menjadi juara Hot FM Twisties Bingit tahun lalu," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Seelan turut meluahkan perasaan puas hati dengan barisan penyampai sedia ada tanpa mahu melaksanakan sebarang perubahan mahupun pertukaran.

Hot FM turut mengekalkan posisi selesa untuk segmen pagi diterajui Faizal Ismail dan Fara Fauzana serta Hot FM AM Krew segmen petang diterajui AG dan Kieran atau lebih dikenali sebagai Jawa Rangers.

"Pihak kami akan terus mengekalkan tenaga kerja yang ada sekarang. Bahkan Hot FM tidak akan sesekali menambah atau mengubah kedudukan mereka disebabkan pendengar sudah serasi sekali gus rasa selesa dengan para penyampai sebelum ini.

"Saya sendiri gembira dengan pasukan yang ada ini. Kami juga tidak akan mencari penyampai baru buat masa sekarang, sebaliknya Hot FM akan melatih beberapa muka baru untuk bertugas pada hujung minggu sahaja," ujar Seelan.

Terlibat dengan Radio Fest

Walaupun Hot FM sudah melakar kejayaan yang membanggakan dalam waktu singkat namun ia tidak menjadi batu loncatan kepada warga kerjanya untuk bersikap hidung tinggi lalu melupakan asal usul.

Jauh sekali untuk bermegah-megah dengan stesen radio lain sambil mendabik dada kononnya Hot FM paling berkuasa pada waktu ini tanpa mampu diganggu-gugat.


FARA dan Faizal memilih bertukar kerja dari Radio Era ke Hot FM.


Seelan berpendapat kejayaan yang menyebelahi Hot FM memperlihatkan cabang penyiaran ketika ini berada pada satu tahap memberangsangkan sekali gus menzahirkan definisi yang diberi nama persaingan sihat sesama sendiri.

"Pencapaian yang diperolehi ini membuktikan bidang radio di negara ini masih bernyawa lantas tidak muncul sebarang maksud cemburu disebabkan kami sentiasa menyokong di antara satu sama lain.

"Demi mahu membuktikan semangat setiakawan ini, sebanyak 19 radio swasta bersatu dan bergabung tenaga untuk menganjurkan acara Radio Fest yang bakal berlangsung di Shah Alam pada 22 November ini dan dianjurkan Persatuan Komersial Radio Malaysia yang diketuai oleh Presidennya iaitu Datuk Burhanuddin Omar.

"Matlamat utama penganjuran program ini sebagai tanda ucapan terima kasih kami kepada semua pihak yang selama ini memberi sokongan tidak putus-putus kepada semua stesen radio ini.

"Bahkan ia menunjukkan kami di stesen radio berlainan sentiasa mengamalkan sikap bekerjasama untuk meningkatkan industri penyiaran dan tidak mementingkan diri. Dalam setiap pertemuan, kami sering berkongsi idea-idea untuk terus memartabatkan bidang ini.

"Paling menarik, kami tidak akan mewujudkan gerai untuk stesen tertentu dalam acara ini. Sebaliknya kami inginkan semua penggemar sesebuah stesen radio dapat bergaul mesra sesama mereka," kata Seelan.

Putar lima jam sekali

Sebelum ini terdengar kata-kata nakal yang mengaitkan Hot FM menjadi antara stesen yang dikatakan bersikap pilih kasih kerana enggan memutarkan sesetengah lagu yang dihantar oleh pendengar. Tidak ketinggalan, mereka terlampau kerap menyiarkan sesebuah lagu sehingga membuatkan ada peminat yang berasa kurang puas hati.

Lantaran itu, bukan menjadi perkara baru kepada Hot FM apabila selama ini ada sesetengah pihak yang mempersoalkan ketelusan stesen radio itu dalam memutarkan lagu yang sampai ke telinga pendengar.

Terang-terangan menegaskan bahawa mereka tidak pernah bersikap pilih kasih dalam menyiarkan lagu, Azura mengaku apa yang Hot FM lakukan sebelum ini hakikatnya telus dan tidak pernah menyimpang daripada niat asal mereka sebagai sebuah stesen radio.

"Dalam soal ini kami ada pihak ketiga yang bertugas untuk menjalankan kaji selidik bagi menentukan jenis lagu yang dikehendaki oleh pendengar.

"Pihak kami menyediakan senarai lagu dan selepas dua minggu, pihak ketiga tadi ini akan menyerahkan semula keputusan lagu mana yang disukai pendengar.

"Sejujurnya, bukan kami yang menentukan lagu apa yang patut atau tidak untuk dimainkan di Hot FM. Apa yang kami putarkan, itulah cita rasa dan kemahuan sebenar pendengar kami," jelasnya serius.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: