Thursday, November 5, 2009

Hattan Selalu Panas Baran! – Bekas Isteri

image

PETALING JAYA 4 Nov. - Prosiding tuntutan nafkah idah dan mutaah bekas isteri Hattan terpaksa ditangguhkan kerana penyanyi itu tidak hadir di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Penangguhan itu juga dibuat selepas peguam syarie, Harziah Othman yang mewakili Arianie Mohd. Abidin, 38, memaklumkan bahawa pihaknya masih menunggu kebenaran bertulis daripada Jabatan Insolvensi Malaysia.

Kes yang didengar oleh Hakim Syarie, Ghazali Ahmad ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 Disember ini.

Terdahulu, ketika kes disebut kira-kira pukul 2.45 petang, Harziah memaklumkan bahawa Hattan atau nama sebenarnya, Mohd. Sukri Shahbuddin, 45, tidak pernah hadir ke prosiding kes itu sejak ia mula disebut.

Ghazali kemudian menyatakan, penyanyi itu ada memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia tidak dapat hadir pada hari ini dan turut mengemukakan sijil cuti sakit.

Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 17 Disember 1996 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Adam Eiman kini berusia 11 tahun dan dijaga oleh Hattan.

Pada 4 Januari 2005, Arianie yang merupakan seorang pramugari memfailkan permohonan pengesahan lafaz perceraian yang dibuat oleh Hattan pada 31 Disember 2004.

Penyanyi tersebut didakwa melafazkan cerai talak satu terhadap Arianie di kediaman mereka di No. 29, Tropicana Golf and Country Resort pada tarikh tersebut.

Bagaimanapun, pada 10 Mac 2005, Hattan melafazkan cerai talak satu secara tertutup di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyudin Wan Mohamad di mahkamah yang sama.

Sementara itu, Arianie ketika ditemui selepas prosiding memaklumkan, dia membuat tuntutan tersebut mengikut Seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor.

Menurutnya, dia terpaksa membuat tuntutan tersebut selepas mendapati bekas suaminya itu seolah-olah 'lepas tangan' terhadap tanggungjawabnya selepas perceraian.

''Terdapat juga beberapa perkara berbangkit antara saya dengan dia sehingga menyebabkan kerjaya saya terganggu.

''Disebabkan perkara berbangkit ini, saya pernah ditahan dan tidak dibenarkan untuk terbang oleh pihak Imigresen,'' katanya.

Dalam temuramah itu juga, Arianie terdiam seketika dan dilihat cuba menahan emosinya apabila ditanya mengenai punca penceraian mereka yang tidak pernah didedahkan sebelum ini.

''Mungkin barannya kot,'' jawabnya ringkas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: