Wan Sharmila tidak mahu kenang kembali episod duka dalam rumah tangga yang bertahan tiga tahun saja: 'Biarlah, ia terlalu peribadi'
BERPISAH Jua Akhirnya pelakon genit ini dengan lelaki bernama Fazli Baharom, 37, seperti judul lagu dendangan Ziana Zain. Demikian yang terjadi dalam episod perkahwinan Wan Sharmila, 28, dan suaminya yang juga penerbit Radius One Sdn Bhd.
Meneliti kembali bait lirik lagu Ziana Zain itu, ia mungkin sesuai menggambarkan apa yang pernah dan sedang dilalui mereka. Contohnya seperti bait pertama berbunyi, "tiada manisan dalam madunya, tiada hangat di dalam dakapnya".
Ironinya, semua berakhir dengan kehambaran apabila rentak hati tidak lagi senada. Difahamkan mereka dilaporkan sah bercerai talak satu, jam 10.30 pagi di Mahkamah Syariah Johor Bahru pada 23 Oktober lalu. Mereka berkahwin pada 7 Julai 2006.
Ajakan Hip untuk menemu bual pelakon bernama penuh Wan Sharmila Wan Mohamed baru-baru ini berakhir dengan kerelaan hatinya untuk berkongsi sedikit cebisan hatinya yang tertinggal. Apa yang penting, Wan enggan lagi mengenang episod lalu.
"Saya harus berjalan terus tanpa menoleh ke belakang lagi. Saya perlu lebih fokus dan bekerja keras untuk memastikan kesinambungan hidup dan kerjaya. Persoalan kenapa perpisahan ini terjadi, biarlah ia disimpan erat dan diketahui kami saja. Ia terlalu peribadi.
"Kami juga memilih untuk berpisah secara baik mencari jalan damai biarpun kesudahannya bukan yang diharapkan setiap pasangan berkahwin. Biar apa terjadi, kami tak perlu bergaduh atau memeningkan kepala mengeruhkan keadaan. Keluarga pun menerima keputusan ini seadanya," katanya di hujung talian.
Dalam sisi lain, mahu atau tidak, bekas penari Yayasan Warisan Johor dan kepada ratu irama tradisional, Noraniza Idris ini perlu membiasakan status dan gelaran yang dimilikinya kini. Soal mencari pengganti pun tidak pernah terlintas langsung di benak fikirannya.
"Dalam dunia ini bukan semua sukakan kita dan begitulah sebaliknya. Sebelum saya bergelar janda pun, ada kebarangkalian kita akan dibenci dan membuat orang menyampah. Sebagai contohnya ketika saya memenuhi tuntutan watak gedik. Hidup ini, kita tidak mampu memuaskan hati orang.
"Ada hikmah di sebalik apa yang terjadi ini. Saya tak dapat bayangkan kalau perpisahan ini terjadi kalau kami sudah mempunyai anak. Apa yang penting sekarang ini ialah memikirkan perasaan dan diri saya sebelum cuba untuk menyayangi orang lain kembali," katanya yang ketika ini sedang melunaskan baki penggambaran drama Kisah Kaisara untuk laman sesawang Kotex dan drama Tari Tirana di TV3.
Ditanya apakah menjadi masalah kepadanya untuk terus berlakon di bawah drama terbitan Radius One, pintas Wan, soalan ini wajar diajukan kepada syarikat terbabit. Ini kerana kata Wan, dia tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan produksi itu.
"Setakat ini, saya tidak ada masalah dengan Shahrul Ezad (rakan kongsi bekas suaminya). Saya tidak kisah berlakon dengan mana-mana produksi sekalipun kerana dunia lakonan sudah termaktub dan jelas menjadi mata pencarian saya. Saya juga tak kisah kalau perlu berurusan dengan bekas suami jika terbabit dengan syarikat itu," katanya sambil berharap kisah perceraiannya tidak akan lagi diperdebatkan.
Faktor orang ketiga bukan punca cerai
SEMENTARA itu, Hip sempat menghubungi Fazli dan apa yang dapat disimpulkannya apa yang terjadi bagaikan berada di dalam terowong gelap. Katanya, perjalanan di dalam terowong gelap itu belum pasti akan berakhir dengan mudah kerana mungkin akan ada cahaya menanti atau sebaliknya.
"Mungkin dengan perpisahan ini kami akan lebih bahagia atau sebaliknya. Tidak timbul konsep nak bergaduh atau menyalahkan sesama sendiri kerana yang penting keluarga masing-masing sudah dimaklumkan dengan baik. Kami memilih jalan berdamai dan jauh sekali wujud buruk sangka.
"Perpisahan ini baik untuk kami meneliti kembali ruang untuk diri sendiri. Perpisahan kami juga tiada kaitan dengan orang ketiga seperti yang pernah digembar-gemburkan sebelum ini. Sejujurnya saya berharap dia (Wan Sharmila) akan teruskan kerjayanya macam biasa dan kekalkan prestasi.
"Tak saya nafikan dia antara pelakon yang sangat komited dan saya memujinya bukan kerana dia pernah menjadi isteri saya. Saya harap ke depan nanti, sekalipun ada kisah yang kurang enak berkaitan rumah tangga kami, dia perlu menghadapinya dengan tenang dan telan saja," kata Fazli.
Menebak mungkinkah ruang (perpisahan) ini akan menyatukan kembali dua hati yang pernah terjalin, jawab Fazli, perihal itu memang sukar untuk diperkatakan. Bagaimanapun, ketika ini, Fazli memberitahu, bekas isterinya itu masih tinggal di rumah mereka di Cheras. Manakala, Fazli pula tinggal di rumah berasingan di kawasan berdekatan.
"Sampai bila dia akan tinggal di situ, saya sendiri tak tahu. Saya sendiri tak berani nak cakap apakah akan ada kemungkinan untuk kami bersama lagi itu ada atau sebaliknya. Setakat sekarang memang tidak pernah terlintas, tapi siapa tahu masa akan datang," katanya.
Dalam pada itu, Fazli memberitahu, peluang Wan untuk berlakon di bawah produksinya sentiasa terbentang luas. Apatah lagi Wan mula membina nama di bawah produksi itu. Antara drama yang dilakonkannya di bawah produksi itu seperti Sutun, Sindarella, Emil Emilda dan Rona Roni Makaroni.
"Jika ada watak sesuai, saya tidak ada masalah untuk menawarkannya berlakon dalam produksi saya nanti. Saya dan Shahrul Ezad tiada masalah untuk bekerjasama dengannya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: