" width="288" height="373"> SIAPAKAH di antara lima finalis ini bakal dinobatkan sebagai juara> |
Program akhir akan bersiaran pada jam 8.30 malam di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur
BIAR apa saja pandangan, pandangan dan kontroversi yang melingkari program Gadis Melayu terbitan TV9 sejak bersiaran musim ini, ia bakal melabuhkan tirainya malam ini di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada jam 8.30 malam.
Bertemakan Puteri Melayu dan dikendalikan pasangan suami isteri Adlin Aman Ramlie dan Emelda Rosmila, Gadis Melayu menyaksikan debaran lima peserta akhir iaitu Shazfinas Hasim (Finas), Nadia Adrianna (Nadia), Putri Noor Nawal Ramlan (Putri), Siti Nur Syafiqa Amirul Melvin (Fiqa) dan Hazlin Hussain (Lyn).
Penat lelah selama tiga bulan menyelesaikan pelbagai tugasan yang diberi nyata berbaloi buat lima gadis jelita ini. Mana tidaknya, biarpun terpaksa mengorbankan perasaan takut, bermandi peluh serta ada yang berendam air mata namun di saat nama diumumkan sebagai peserta yang berjaya ke peringkat akhir, perasaan cukup indah dan jiwa berbunga keriangan kejayaan yang diburu semakin hampir dalam genggaman.
Menjadi satu-satunya gadis yang mengenakan tudung dalam program ini, Fiqa membuktikan pandangan skeptikal sesetengah pihak yang mengatakan tudung menjadi halangan untuk berjaya adalah tidak benar dan tersasar.
“Walaupun saya bertudung tapi saya mampu menjalani aktiviti lasak. Ternyata, saya berjaya menyahut cabaran itu,” katanya yang akan menunjukkan bakat lakonan pada malam kemuncak itu.
Jika sebelum ini dia adalah anak manja, namun sejak menyertai pertandingan ini, Nadia berjaya melalui transformasi dengan berubah menjadi seorang yang lebih berdikari.
“Sekarang ini saya rasa lebih positif dan tidak lagi penakut macam dulu,” katanya yang mengakui pernah cuba menarik diri kerana tidak tahan dengan tekanan apabila menyertai program itu.
Kalau orang lain mahukan perubahan positif apabila menyertai pertandingan ini, lain pula halnya dengan Lyn. Tanpa berselindung, Lyn menjadikan penyertaannya itu sebagai batu loncatan untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang seni.
“Selain berminat dalam bidang pengacaraan, saya juga mahu kembangkan bakat lakonan saya. Jika sebelum ini saya hanya memegang watak kecil tapi harapan saya lepas ini saya diberi peluang lebih lagi,” kata Lyn yang pernah membintangi beberapa drama seperti Cinta Bulan Dan Matahari, Cahaya Lantera dan drama komedi, Sukun.
Bersifat positif dalam apa juga yang dilakukan, Finas berkata dia mempunyai strategi tertentu bagi memastikan gelaran juara berada di dalam genggaman.
“Semua orang hendak menang, begitu juga saya. Jadi saya akan perhatikan bagaimana lawan saya membuat persediaan dan saya akan buat lebih 200 peratus dari apa yang mereka lakukan,” katanya sambil tertawa.
Bagi Putri pula, tidak ada lain yang diharapkan selain menjadi juara. Katanya, minat yang mendalam terhadap dunia pengacaraan membuatkan dia terpanggil untuk menyertai pertandingan ini.
“Saya masuk program ini bukanlah kerana glamor tetapi niat saya adalah untuk berjaya dalam bidang penyiaran kerana ini adalah cita-cita saya sejak dulu lagi,” katanya yang menjadikan Datin Seri Normala Samsudin sebagai idola.
Pemenang Gadis Melayu 2 ini bakal menerima habuan wang tunai sebanyak RM10,000, trofi, berpeluang menjadi pengacara/perantara mana-mana program yang bersesuaian dengan imej dan kebolehan mereka serta perlu mengikat kontrak bersama TV9 selama setahun.
Tidak mahu yang bersifat tipikal
SEMENTARA itu, juri tetap Gadis Melayu, Nurfarahin Jamsari ketika ditanya mengenai kritikan bahawa program ini sudah lari daripada landasannya berbanding musim pertama, berkata dia mempunyai alasan tersendiri untuk mempertahankan keputusan mereka untuk mencari kelainan dalam peserta musim ini.
“Apabila Gadis Melayu musim kedua diwujudkan, kami tidak mahu melahirkan gadis Melayu tipikal yang hanya bergantung kepada kecantikan, lemah lembut dan sebagainya. Sebaliknya, kami mahukan gadis Melayu yang lasak dan mempunyai daya ketahanan fizikal dan mental yang tinggi serta sesuai untuk berdepan dengan cabaran dunia moden kali ini.
“Sebab itulah kalau kita lihat kebanyakan tugasan mereka membabitkan banyak aktiviti luaran yang mencabar serta menguji ketahanan mereka dalam berdepan dengan pelbagai halangan. Pun begitu, pada masa yang sama kita tidak ketepikan hal yang berkaitan dengan hal keperibadian mereka sebagai gadis Melayu. Sebagai contoh, tugasan mereka yang memerlukan mereka tinggal bersama anak yatim dan masak untuk mereka pada bulan puasa lalu sebenarnya cukup menguji mereka untuk menjadi gadis Melayu yang lengkap serba serbi,” katanya ketika ditemui pada sidang media mengumumkan lima finalis program Gadis Melayu yang diadakan di Hotel Sri Pacific, di ibu negara baru-baru ini.
Hadir sama Ketua Pengurusan Penjenamaan Kumpulan TV9, Rozaina Zainul Abidin, Pengurus Kanan Produk Unza (M) Sdn Bhd, Mahsuri Sulaiman serta juri Gadis Melayu untuk musim ini iaitu Datin Seri Normala Shamsudin, Pengarang majalah Cosmopolitan, Izza Safinaz Ibrahim dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh. Dua juri lain, pelakon Rosyam Nor dan penyanyi Syafinaz Selamat bagaimanapun tidak dapat turut serta pada hari itu.
Kata Nurfarahin lagi, sejajar dengan kedudukan wanita ketika ini yang bertambah maju, adalah penting untuk mereka mengetengahkan ciri-ciri moden dalam diri peserta terbabit.
“Zaman semakin berubah dan mereka harus menyesuaikan diri mereka mengikut keadaan semasa. Jadi dalam memberi tugasan, selain bertujuan untuk mempertingkatkan lagi kemahiran mereka ia juga menjadi pemangkin untuk melahirkan sifat yang lebih bertanggungjawab,” katanya.
Tegas wanita ini, dalam memilih pemenang, mereka mencari peserta yang mempunyai pakej serta sempurna dari pelbagai segi.
Dia haruslah mempunyai kemahiran dalam berkomunikasi, berpendidikan, pintar, yakin serta pandai menyesuaikan diri dalam sesuatu situasi. Jika dia mempunyai ciri-ciri itu, dialah yang akan dinobatkan sebagai pemenang,” katanya.
Sementara itu, penerbit program Gadis Melayu 2, Shukri Ibrahim berkata dia berpuas hati dengan pemilihan lima finalis ini dan menyifatkan mereka mempunyai ciri-ciri yang ditetapkan.
“"Setakat ini, apa yang boleh saya katakan lima calon akhir ini menepati kriteria Gadis Melayu yang dicari untuk musim ini iaitu moden, berpendidikan, ada potensi dalam berkerjaya dan versatil. Namun, dalam masa sama adat budaya Melayu itu tetap dijunjung. Ia dapat dilihat dalam 10 tugasan yang mereka buat sebelum ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: