Thursday, November 5, 2009
Gosip cinta Rossa, Pasha Ungu
Baru empat bulan penyanyi jelita dari Seberang, Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 31, memegang gelaran sebagai ‘janda’, namun sudah ada gosip cinta tentang dirinya yang dikaitkan dengan vokalis kumpulan Ungu, Pasha. Difahamkan mereka semakin intim sejak berduet sama dalam lagu ‘Terlanjur Cinta’ yang bukan sahaja cukup popular di Indonesia tetapi juga di Malaysia.
Bagaimanapun, Rossa yang ditemui ketika majlis sidang media sempena kempen Enjoy Jakarta di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, kelmarin, menafikan dakwaan itu dan mengangapnya sebagai gosip yang sengaja disebarkan oleh media Indonesia. Menurut Rossa, hubungannya dengan Pasha tidak lebih daripada rakan artis.
“Kami memang rapat. Tapi tak sampai bercinta. Mungkin sebab kami dalam industri yang sama (menyanyi) maka kami mudah digosipkan. Memang sebelum ini orang nampak saya dan Pasha ‘cocok’ bersama dan ramai yang suruh kami berpacaran (bercinta).
“Tapi saya masih belum bersedia untuk ke arah itu, dan saya kini senang menikmati masa ‘single’ yang ada. Buat masa ini saya lebih selesa tumpukan pada karier dan anak saya,” kata Rossa yang terkenal dengan sikapnya yang ramah dan mesra media.
Akui dirinya berasa ‘sunyi’ tanpa seorang suami mahupun kekasih, kata Rossa, dia bagaimanapun cuba menyesaikan diri dengan kehidupan barunya.
“Sunyi memanglah sunyi, tapi saya cuba sibukkan diri dengan kerja dan ia dapat membantu saya untuk melupakan semua hal itu. Soal jodoh, saya tak kisah dengan sesiapapun, tetapi sudah semestinya saya mengharapkan jodoh yang lebih baik dari sebelumnya,” katanya.
Menurut Rossa, selain beragama, jejaka itu juga harus menerima satu-satunya anak dan juga buah hatinya, Muhammad Rizky Langit Ramadhan, 3, yang dianggap begitu penting dalam hidupnya.
Kenangan berakhir
Melihat keletahnya yang sentiasa ceria jelas menunjukkan dia bahagia dengan kehidupannya sekarang. Ternyata luka penceraiannya dengan pemain dram kumpulan Padi, Yoyo, kini sudah pulih sepenuhnya.
Menurut Rossa, walaupun perkahwinannya dengan Yoyo sudah berakhir, namun hubungan mereka masih terjalin dengan baik. Malah Rossa juga bersyukur kerana Yoyo tidak pernah melupakan tanggungjawabnya terhadap anak mereka.
Jelas Rossa lagi, hubungan baiknya dengan Yoyo, bukanlah petanda bahawa mereka akan kembali rujuk semula, kerana perasaannya terhadap Yoyo sudah berakhir.
“Saya gembira kerana hubungan saya dan Yoyo masih baik. Tetapi untuk kembali bersama, tidak mungkin kerana saya sudah tidak ada perasaan terhadapnya. Sehingga kini, saya tidak pernah menghalang dia untuk bertemu Rizky walaupun Rizky di bawah jagaan saya. Dia bebas berjumpa dengan Rizky pada bila-bila masa yang dia mahu,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Ayat-Ayat Cinta dan Atas Nama Cinta ini.
Duta ‘Enjoy Jakarta’
Jika sebelum ini Kris Dayanti (KD) dipilih sebagai duta untuk mempromosikan Jakarta, kali ini giliran Rossa pula mengambil alih tempatnya sebagai duta ‘Enjoy Jakarta’ bagi mempromosikan negara itu. Pemilihannya itu secara tidak langsung telah mengetepikan KD sebagai diva popular di negara itu.
Tidak mahu dibandingkan dengan KD, Rossa melihatnya sebagai satu penghargaan yang diberikan oleh Jakarta City Government Tourism & Culture Office (JTCO) untuknya menjalankan tanggungjawab mempromosikan negaranya sendiri.
“Setahu saya, kontrak KD sebagai duta ‘Jakarta’ sudah pun habis. Saya pun tak tahu kenapa saya dipilih untuk menggantinya. Apa pun, ini soal kepercayaan dan tanggungjawab yang harus saya jalankan dengan sebaik mungkin untuk mempromosikan Jakarta.
“Saya menerima tawaran ini bukannya kerana wang tetapi kerana merasakan tanggungjawab saya terhadap negara sendiri. Walaupun saya bukannya lahir di Jakarta, tapi di ibu kota inilah saya banyak mengecapi kejayaan. Semuanya bermula di sini” katanya yang menerima tawaran tersebut sejak 4 bulan lalu.
Sebagai duta ‘Enjoy Jakarta’ Rossa berkata, dia akan menjaga imej dan kelakukannya dengan sebaik mungkin agar dapat menjaga nama baik Jakarta di mata dunia. Selain berusaha untuk mempromosikan Jakarta, dia juga akan melengkap dirinya dengan pelbagai pengetahuan tentang keindahan di Jakarta agar mudah untuk dikongsikan dengan orang ramai nanti.
Sementara itu, Pengarah Perhubungan Awam JTCO, Cucu Kurnia berkata, pemilihan Rossa sebagai duta baru mempromosikan Jakarta adalah bertepatan dengan kreteria yang mereka inginkan. Selain dapat memberikan komitmen, Rossa juga mempunyai imej dan personaliti yang baik.
Tentang KD pula, pihaknya menafikan ada masalah sehingga mereka memilih duta yang baru dan menegaskan bahawa kontrak KD sememangnya sudah pun berakhir sebelum perlantikan Rossa sebagai duta baru.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: