PASUKAN Negeri Sembilan yang menjuarai Piala Malaysia Sabtu lepas akan mendapat ganjaran berjumlah RM200,000.
Demikian tegas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan berkata, bonus itu akan dibayar kepada para pemain dalam masa terdekat.
Katanya, ramai yang tidak menyangka pasukan Negeri Sembilan boleh menang malah merasakan Kelantan akan membelasah pasukan berkenaan pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.
"Ini semangat yang nak kita tanam, kita mesti ada kepercayaan pada diri sendiri dan kalau kita sudah letak matlamat, kita mesti mencapai matlamat itu, kita kena kerja keras," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seremban semalam.
Sebelum ini, pasukan Hoben Jang Hoben itu mendapat ganjaran RM50,000 apabila berjaya melangkah ke separuh akhir dan selepas itu menerima RM100,000 selepas layak ke perlawanan akhir.
Katanya, untuk merayakan kemenangan itu, satu program khas akan dibuat pada malam Sabtu ini di padang Majlis Perbandaran Seremban.
"Pada sebelah pagi, kita akan arak Piala Malaysia dan pemain dalam sebuah bas terbuka melalui bandar Seremban, Senawang dan Ampangan," katanya.
"Selain pertunjukkan bunga api, program itu akan melibatkan persembahan hiburan dan pelbagai aktiviti menarik."
Beliau bagaimanapun melahirkan rasa kesal kerana tidak dapat menunaikan permintaan ramai rakyat negeri ini yang mahukan kerajaan negeri mengumumkan cuti khas sempena kemenangan Negeri Sembilan.
"Kalau kita umum cuti yang tidak diwartakan ini, ia akan melibatkan banyak kos. Kita negeri yang ada banyak industri, pihak industri terpaksa menanggung kos yang banyak seperti pembayaran gaji apabila pekerja terpaksa bekerja pada hari tersebut," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: