Thursday, November 12, 2009

9 jemaah dijangkiti selesema babi


SEJUMLAH jemaah haji berbaris selepas tiba di sebuah lapangan terbang di Jeddah.


RIYADH - Seramai sembilan orang daripada lebih setengah juta jemaah haji yang tiba bagi mengerjakan ibadah haji telah dikesan dijangkiti selesema babi atau influenza A H1N1, kata Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr. Abdullah al-Rabeeah semalam.

"Kerajaan Arab Saudi berpuas hati dengan situasi kesihatan jemaah haji yang tiba. Daripada 600,000 orang jemaah haji yang tiba, kami mendapati terdapat sembilan orang yang disyaki menghidap H1N1.

"Dua orang daripada mereka dirawat di hospital. Baki yang lain dibenarkan balik setelah menerima rawatan," kata Dr. Abdullah.

Dia berkata, jumlah keseluruhan mangsa jangkitan H1N1 setakat ini yang meninggal dunia ialah 70 orang yang bukan merupakan jemaah haji.

Menteri Kesihatan itu berkata, jumlah kematian itu meningkat daripada 62 orang yang dilaporkan pada permulaan bulan ini.

Menurutnya, jumlah kes keseluruhan yang disahkan ialah 7,000 kes.

Kebimbangan telah meningkat berhubung kemungkinan selesema babi merebak semasa musim haji apabila lebih tiga juta penduduk Islam berhimpun di Mekah dan Madinah di barat Arab Saudi pada bulan ini.

Dr. Abdullah berkata, kerajaan Arab Saudi telah menempatkan kira-kira 20,000 pekerja kesihatan bagi menghadapi wabak selesema babi dan kecemasan lain.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 6,000 kematian akibat selesema babi dilaporkan berlaku di seluruh dunia sehingga 1 November lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: