Wednesday, November 4, 2009

Enam banduan Guantanamo warga China ucap terima kasih


Duta Palau ke Taiwan, Jackson Henry (dua dari kiri) dan ketua bagi penduduk tradisi, Masaichi Etiterngel (tiga dari kiri) meraikan ketibaan empat daripada enam banduan Guantanamo keturunan Uighur yang tiba di Koror.


KOROR - Enam warga China beragama Islam daripada etnik Uighur mengucapkan terima kasih kepada pemerintah Palau kerana memberi perlindungan di negara kepulauan Pasifik itu selepas mereka dibebaskan dari penjara Teluk Guantanamo.

"Perasaan kami secara keseluruhan mengenai Palau ialah sokongan baik yang diberikan (kepada kami). Saya amat berterima kasih kepada pemerintah Palau," kata seorang tahanan, Abdul Ghappar Abdul Rahman.

Rata-rata penduduk kepulauan Palau menyambut baik kedatangan keenam-enam etnik Uighur itu walaupun terdapat reaksi dingin pada awalnya.

Sebelum ini, presiden negara berkenaan, Johnson Toribiong mengumumkan pada Jun lepas bahawa beliau bersetuju memberikan perlindungan sementara kepada mereka.

Kumpulan tahanan Uighur itu dipindahkan ke Kepulauan Palau, bekas wilayah Amerika Syarikat (AS) di Pasifik yang merdeka pada 1994, bagi memenuhi janji Presiden AS, Barack Obama untuk menutup penjara Teluk Guantanamo.

Palau bersetuju mengambil sehingga 12 tahanan Uighur. Tujuh yang lain masih berada di penjara Teluk Guantanamo yang sehingga kini masih menempatkan 215 suspek keganasan.

Kelmarin, Beijing melahirkan kemarahan berhubung pembebasan tahanan tersebut dan menyifatkan mereka sebagai suspek keganasan yang sepatutnya dihantar pulang ke China.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: