NEW YORK - Bintang pop, Mariah Carey nyaris ditimpa aib apabila dia hampir terjatuh akibat tergelincir semasa menaiki pentas rancangan bual bicara popular di Amerika Syarikat (AS), The Jay Leno Show di sini.
Walaupun kakinya tergelincir, Carey yang memakai kasut tumit amat tinggi itu masih mampu mengekalkan imbangan badannya kelmarin.
"Sebenarnya, adegan saya tergelincir sebentar tadi hanya lakonan semata-mata," katanya sambil tertawa untuk menutup malu.
Ketika muncul dalam program televisyen yang disiarkan secara langsung itu, Carey memakai gaun ketat sekali gus menampakkan susuk tubuhnya.
Selepas menenangkan diri, dia bercerita mengenai majlis perkahwinannya dengan Nick Cannon yang merupakan seorang hos program televisyen sebelum menunjukkan kepada penonton tentang cara-cara memakai wangian terbarunya, Forever.
Carey yang popular menerusi lagu-lagu seperti Dreamlover dan Fantasy itu akan muncul di layar perak menerusi filem terbarunya, Precious tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: