TANPA disedari, kita kini sudah memasuki minggu kedua menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, bulan mulia dalam kalendar yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam.
Apa yang pasti, bulan yang paling dinantikan itu sentiasa menyuntik pelbagai emosi buat seluruh umat Islam di negara ini.
Mana tidaknya, kedatangan bulan ini meningkatkan semangat berganda dan iltizam umat Islam bagi meneruskan rutin harian walaupun pada masa yang sama bersabar dalam menjalani ibadah puasa.
Begitulah yang dihadapi dua penyampai radio Suria FM, Adibah Noor dan Farish Aziz tatkala menyambut kedatangan Ramadan.
Walaupun terpaksa menahan lapar dan dahaga ketika mengendalikan rancangan masing-masing, Adibah yang terkenal menerusi rancangan Ceria Pagi Suria seawal pukul 5 pagi, manakala Farish untuk slot Ceria Pagi Sabah, dua penyampai radio itu tetap ceria dan bertenaga.
Bertemu Adibah dan Farish, Sensasi Bintang menyusuri perjalanan puasa mereka berdua pada tahun ini sebagai penyampai radio di Kumpulan Star Radio.
Apakah segmen menarik yang disajikan kepada pendengar Suria FM sepanjang bulan Ramadan ini?
ADIBAH NOOR: Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, saya bersama Baki Zainal akan membincangkan topik-topik yang lebih santai dan memperbanyakkan segmen keagamaan dalam durasi lima jam ke udara. Menariknya, pada setiap hari Khamis, kami akan menjemput tetamu undangan yang mempunyai latar belakang agama untuk memberikan penjelasan mengenai topik berkaitan percanggahan dalam syariat agama.
FARISH AZIZ: Slot Ceria Pagi Sabah yang dikendalikan bersama Lotter masih mengekalkan segmen-segmen menarik seperti sebelum ini. Cuma, sempena Ramadan ini, kami berkongsi maklumat dan membincangkan topik-topik asas dalam bulan Ramadan, namun tidak terlalu menyeluruh seperti yang dilakukan pada Ceria Pagi Suria.
Apakah cabaran tugasan yang dihadapi pada bulan puasa berbanding bulan-bulan lain?
ADIBAH NOOR: Bekerja pada bulan puasa sudah menjadi rutin tahunan. Walaupun terpaksa bersahur di konti kerana perlu menghiburkan pendengar seawal pukul 5 pagi, tetapi saya tidak meletakkan ia sebagai cabaran atau bebanan kerana sudah biasa.
FARISH AZIZ: Tahun ini merupakan tahun keempat saya berkhidmat sebagai penyampai radio di Suria FM. Meskipun bekerja pada bulan Ramadan, saya perlu sentiasa bersemangat untuk menghiburkan pendengar sehingga pukul 10 pagi. Segelintir individu menganggap kerjaya ini mudah, tetapi dalam bulan Ramadan mulut cepat kering dan tekak terasa haus. Pengalaman menjadi pengacara sebelum ini banyak membantu saya melunaskan kerjaya ini dengan baik terutamanya pada bulan mulia ini.
Bagaimana kalian memastikan diri sentiasa cergas dan kekal bertenaga sepanjang menjalani ibadah puasa?
ADIBAH NOOR: Setiap kali waktu sahur, saya akan mengambil makanan secukupnya. Kebiasaannya rakyat Malaysia berpuasa lebih daripada 13 jam, jadi kita memerlukan tenaga yang mencukupi untuk meneruskan rutin harian. Pengambilan air mestilah cukup bagi memastikan tubuh sentiasa bertenaga.
FARISH AZIZ: Saya jenis yang bangun untuk bersahur. Cukuplah sekadar makan buah kurma kerana khasiat di dalamnya membantu membekalkan tenaga sepanjang hari.
Adakah kesibukan kalian bekerja mempengaruhi ibadah puasa?
ADIBAH NOOR: Bagi saya, kerja itu ibadah. Selagi kerja yang dilakukan masih berada di landasan yang lurus dan halal, saya rasa ia tidak perlu dipertikaikan. Ibadah itu ada banyak peringkat dan cabangnya, tetapi itu tidak bermakna seseorang yang sibuk bekerja perlu mengabaikan tanggungjawab perintah daripada-Nya.
FARISH AZIZ: Kesibukan kerja bukan alasan untuk tidak beribadat, malah pada hari biasa pun kita perlu menunaikan kewajipan sebagai umat Islam. Sejujurnya, bekerja di bulan Ramadan langsung tidak mempengaruhi amal ibadat seseorang, bahkan ia memberi keseronokan tambahan.
Ceritakan bagaimana dengan puasa kalian pada tahun ini?
ADIBAH NOOR: Bulan Ramadan tahun ini sama sahaja dengan tahun-tahun sebelumnya. Kalau ada waktu terluang, saya akan pulang ke rumah keluarga di Keramat, Kuala Lumpur untuk berbuka bersama.
FARISH AZIZ: Tahun ini, saya berkesempatan menyambut Ramadan di Kuala Lumpur selepas beberapa tahun menyambutnya di Sabah. Perkara yang paling saya nantikan adalah untuk mengunjungi bazar Ramadan di sini kerana kemeriahannya tidak dapat dirasai di tempat lain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: