|
MATA khusus untuk melihat. Ada mata kepala dan ada mata hati. Mata disebut melalui ayat 8, surah al-Balad yang bermaksud;
“Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah? Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: Dua mata untuk dia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?”
Seluruh kehidupan ini merupakan ujian. Lulus atau tidak bergantung sama ada terpilih ke syurga ataupun terhumban ke neraka. Pilihan ini bukanlah satu perkara menarik.
Bagi mereka yang berfikir secara bijaksana, manusia sebenarnya hanya mempunyai satu pilihan iaitu memastikan diri menjadi penghuni syurga. Neraka bukan satu pilihan.
Lalu, reja kehidupan ini perlu dilihat melalui kaca mata yang boleh mendekatkan manusia kepada-Nya. Apa sahaja yang mahu kita lakukan biarlah berpaksi kepada lulus ujian daripada-Nya. Melepasi ujian sama ada suka atau duka merupakan satu nikmat tahap tinggi.
Jika kehidupan itu sendiri sebagai nikmat Allah maka, isi kandungan juga sepatutnya dilihat sebagai satu nikmat. Ia satu pakej walaupun ada antaranya tidak menjadi kesukaan manusia.
Biar saya memberi sedikit analogi mudah. Dahulu, semasa usia remaja, saya mendengar orang kampung memanggil ‘spek’. Saya ikut sebutan tersebut. Ia bermaksud cermin mata. Individu yang kena pakai spek dikatakan nikmat penglihatan mereka ditarik semula. Ia membayangkan bahawa Allah SWT telah menghukum hamba-Nya.
Jika benar, saya ditarik nikmat jelas penglihatan seawal usia 10 tahun. Pada masa itu, saya tidak fikir bahawa saya pernah melakukan dosa sehingga ditarik nikmat tersebut. Apatah lagi, saya hanya bermimpi indah dan menarik ketika berusia 13 tahun.
Kata orang, itulah mimpi akil baligh! Maksud saya, penarikan nikmat penglihatan bukanlah kerana dosa-dosa yang telah saya lakukan. Ia mempunyai sebab yang berbeza. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Bagaimanakah perasaan saya?
Saya berasa teruja. Kepercayaan mengenai individu yang pandai sahaja akan memakai spek mempengaruhi perasaan saya. Saya rasa lawa, bergaya dan yang lebih penting pandangan mata menjadi jelas. Allah SWT belum menarik nikmat jelas penglihatan. Bezanya... saya perlu memakai spek.
Kehidupan bersama spek membawa kepada beberapa kekangan. Saya berasa sukar bila mahu bersukan. Saya perlu mengikat spek supaya tidak terjatuh.
Spek ada ketikanya menghalang ketika mahu menanduk bola. Acapkali spek saya senget sebelah bila berlanggar pemain lawan. Namun, bersama spek, saya masih boleh mewakili pasukan daerah dan menjadi johan di Terengganu.
Akhirnya, pada satu ketika, saya mula memakai kanta sentuh jika mahu bersukan. Sungguh... Allah SWT masih lagi memberi nikmat melihat dengan jelas.
Kemudian... setelah 36 tahun berlalu, barulah saya melihat nikmat memakai spek melalui perspektif yang sedikit berbeza. Bila solat, saya membuka spek. Mata saya kabur dan berbalam-balam.
Sungguh... pandangan mata fizikal tidak diperlukan seketika ketika menghadap Allah SWT. Malah, mata saya tidak nampak sejadah yang pada masa-masa tertentu pandai pula merupa-rupa. Ia membantu mencari ketenangan ketika solat.
Dulu, spek berbingkai plastik hitam tidaklah terlalu mahal. Seingat saya, tidak sampai RM30. Namun, dalam tempoh 42 tahun, beribu-ribu kos spek terpaksa saya tanggung. Gila… harga spek terbaharu melebihi RM1,000. Memang harganya begitu mahal berdasarkan pelbagai aplikasi berbeza.
Masya-Allah... Subhanallah... ketika kos serendah RM30, saya mampu melihat dengan jelas. Ia berpadanan dengan gaji dan pendapatan ayah sekitar RM1,000 sebulan.
Ketika kosnya meningkat RM1,000, saya masih mampu membeli spek tersebut bagi mengekalkan penglihatan saya. Tidakkah saya patut bersyukur dengan nikmat rezeki yang dianugerahkan-Nya? Bukankah Allah sudah nyatakan:
“Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi melihat dengan nyata.”
(Terjemahan surah asy-Syuraa: 27)
Pilihan
Allah SWT sentiasa memberi nikmat-Nya kepada sesiapa sahaja sama ada mereka beriman atau tidak. Namun, manusia perlu membuat pilihan sama ada mereka mahu bersyukur atau tidak dengan nikmat yang telah dikurniakan.
Membuat pilihan ini menjadi isu kritikal kepada ramai orang. Ia tidak semudah 1, 2 dan 3. Misalnya, Allah SWT menyatakan melalui ayat 49, surah az-Zumar yang bermaksud:
“Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, dia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripada Kami, berkatalah dia (dengan sombongnya): Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku.
“(Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah dia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).”
Kami mohon keampunan-Mu ya Allah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: