Tiga tahun bergelumang sebagai pelakon, Hafreez Adam, 25, menganggap dirinya masih baru dan mentah dalam dunia seni.
Malah anugerah Artis Baharu Lelaki Popular dimenangi di Anugerah Bintang Popular BH 2014 (ABPBH 2014) April lalu sama sekali tidak menjadikan dirinya sombong dan lupa diri.
Katanya, masih terlalu awal untuk dia berasa selesa memandangkan masih banyak ruang dan peluang diperlukan untuk membuktikan bakat dan kemampuan dirinya.“Saya akui kemenangan saya di ABPBH 2014 memang membantu melonjakkan nama untuk lebih dikenali peminat. Namun, itu tidak bermakna saya sudah bagus sangat,” katanya.
Tambah anak jati Kuala Lumpur ini, sejak menang, tak dinafikan tawaran berlakon juga tidak putus-putus tetapi dia hanya melakukan apa termampu.
“Saya tidak cerewet atau memilih watak, cuma berhadapan masalah kekangan masa. Selain berlakon, saya juga perlu menguruskan perniagaan diusahakan.
“Jadi, setiap tawaran diterima bergantung kepada kelapangan masa yang saya ada ketika itu,” katanya.
Hafreez atau Hafreez Adam Aizat Zahalan akui masih banyak yang perlu dilakukannya untuk terus membuktikan bakat kepada peminat. Jadi, tiada sebab dia hendak bersikap terlalu memilih watak.
Cukup dikenali menerusi lakonan mantapnya dalam drama adaptasi novel Bila Hati Berbicara dan Hati Perempuan, Hafreez berkata dia masih mendambakan ruang dan peluang untuk menonjolkan bakat.
“Apa yang boleh dikatakan, saya kini dalam tempoh memberi bukti kepada orang ramai terhadap kemampuan diri walaupun hanya melakonkan watak kecil.
“Oleh itu, saya tidak mahu bersikap ‘demand’ dengan memilih watak. Setakat ini, saya tak pilih karakter sama ada watak utama atau pembantu.
“Pada saya, apa yang diutamakan ialah setiap watak diterima itu mampu untuk saya suntikkan kelainan. Umpamanya, saya mampu melakonkan watak baik dalam cara berbeza-beza,” katanya.
Mengakui dia juga agak selesa melakonkan watak hitam, kalau diberi pilihan Hafreez memang selesa melakonkan karakter antagonis.
Katanya, watak jahat sebenarnya lebih mudah untuk menggali emosi penonton. Contohnya watak Daniel Idrus dilakonkan dalam drama Hati Perempuan.
“Watak antagonis ini mudah membuatkan penonton marah dan beremosi. Ia boleh dikatakan lebih senang daripada melakonkan watak baik.
“Bukan itu saja, menjadi antagonis juga memberi peluang untuk saya menonjolkan banyak transaksi karakter hitam yang akhirnya mampu berubah menjadi baik,” katanya.
Mengenai projek baru, Hafreez baru saja habis menjalani penggambaran telefilem istimewa hari raya, Annyeong Aidilfitri untuk RTM bersama Amyra Rosli.
Hafreez juga akan masuk set penggambaran Misi Kahwin Dhania untuk slot Carekarama di TV3. Kali ini menggandingkan dia bersama pelakon jelita, Diana Danielle.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: