Namanya mungkin masih asing dalam kalangan peminat industri seni. Hakikatnya Didi Astillah, 19, mula berkecimpung dalam bidang itu seawal usia tiga tahun.
Walaupun masih jauh menuju puncak populariti, Didi tetap meneruskan minatnya. Dia tampil dengan album sulung, Didi Astillah memuatkan enam lagu. Tiga dihasilkan sepenuhnya komposer terkenal tanah air, LY manakala tiga lagu lagi mendapat sentuhan Posan Tobing dari Indonesia.
Didi atau Dayang Nazilah Awang Astillah gembira berpeluang menyanyikan lagu ciptaan dua komposer terkenal. Katanya, mendengar dua nama komposer hebat itu, dia sangat gembira dan teruja bekerja dengan mereka.Katanya, walaupun sudah lama dalam industri, dia sebenarnya masih baru. Sudah pasti bekerja dengan mereka adalah peluang keemasan buatnya.
Walaupun albumnya itu berada di pasaran sejak tahun lalu, sehingga kini Didi masih gigih mempromosikan buah tangannya itu.
“Album sudah dilancarkan, saya sekarang dalam usaha memperkenalkan lagu untuk dimainkan di radio. Lagu pertama, Fikirkan Kamu sudah dimainkan di beberapa stesen radio.
“Sekarang mahu perkenalkan lagu Pujaan Hati. Ia antara lagu kegemaran saya. Lagu itu sangat santai dan mudah menarik pendengar. Muzik yang agak rancak sesuai dengan usia saya.
“Liriknya menceritakan kisah seseorang yang jatuh cinta dan lagu itu rancak sesuai dengan konsep pop dance yang saya bawakan,” katanya.
Tidak hanya menyanyi, anak komposer muzik itu juga turut mempunyai bakat dalam bidang lakonan. Dia pernah membintangi filem Skrip 7707 dan Damping Malam. Didi turut menjayakan telefilem Potret Aidilfitri dan Cinderella Story. Drama pula Adi Dan Abah, Bunga Merah Punya, Kemelut Rindu serta Kelas Sebelah.
Ketika masih kecil, Didi banyak memberi tumpuan pada bidang lakonan. Namun, menginjak usia remaja, dia lebih cenderung pada nyanyian.
Apatah lagi dengan pengaruh ayah dan ibunya yang juga terarah pada muzik, keadaan sekeliling banyak mempengaruhi dirinya untuk memilih seni suara.
Bagaimanapun, kata Didi, dia tetap menyukai kedua-dua cabang seni itu. Hanya buat sementara waktu dia memberi tumpuan lebih pada muzik. Namun tetap menerima tawaran berlakon.
“Mungkin ketika zaman kanak-kanak saya banyak terbabit dengan lakonan berbanding nyanyian. Sebab itu sekarang saya ingin memberikan tumpuan pada muzik pula.
“Tidak lama lagi drama Solusi Afrina disiarkan di TV Alhijrah dan ada satu lagi untuk HyppTV tetapi saya tidak tahu tarikh kedua-dua drama itu akan disiarkan. Lagi pun penggambaran sudah lama dijalankan.
“Sekarang saya berlakon hanya sebagai sampingan. Tapi tidak bermaksud keadaan ini akan kekal sampai bila-bila. Mungkin selepas nyanyian semakin kukuh, saya beralih pada lakonan pula. Kalau boleh saya mahu kedua-duanya berjalan seiring,” katanya.
Mengenai aktiviti sepanjang Ramadan, Didi tetap aktif dengan aktiviti seni. Apa saja undangan yang datang, dia pasti akan cuba memenuhi dan memeriahkan majlis berkenaan.
Tidak pernah terlintas di fikiran untuk sengaja mengurangkan aktiviti. Ramadan bukanlah alasan untuk menolak peluang yang diberikan. Malah ketika inilah rezeki datang lebih daripada hari biasa.
Mengenai Aidilfitri, Didi mengakui sudah empat tahun tidak balik beraya di Sabah. Namun, kali ini suasana berlainan kerana dia akan menyertai ibu bapanya balik beraya di sana.
“Setakat ini jadual saya masih kosong sepanjang Ramadan. Bagaimanapun, bermula minggu hadapan ada beberapa program yang akan saya jayakan serta jemputan untuk dipenuhi.
“Raya tahun ini saya akan balik ke Sabah. Memang jarang balik sebab jadual agak padat. Tahun ini baru berpeluang berjumpa dengan saudara-mara di Sabah. Saya akui ramai lagi sepupu yang saya tidak kenal.
“Ada juga beberapa juadah tradisional Sabah yang saya tidak tahu. Kalau nampak makanan lain daripada yang lain selalunya saya akan tanya ibu. Saya juga banyak duduk dengan ibu sepanjang beraya di rumah keluarga. Konon malu,” selorohnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: