Sunday, June 28, 2015

Bicara puasa, raya Fizi, Mon, Jimmy & Mamat


DARI kiri Jimmy, Fizi, Mamat dan Mon Ryanti tetap merancang untuk menceriakan pendengar radio Ultra FM walaupun di bulan Ramadan.

KEDATANGAN Ramadan sememang­nya memberi seribu satu rahmat kepada kita semua. Pada bulan mulia ini jugalah, rata-rata umat Islam sibuk melipatgandakan lagi ibadah bagi merebut ganjaran pahala berganda.
Pada masa sama, sebagai khalifah di muka bumi, kedatangan Ramadan bukan menjadi penghalang untuk kita tidak mela­kukan kerja lain dalam meneruskan rutin seharian.
Jika kebanyakan artis menggunakan bulan Ramadan sebagai tempoh berehat seketika daripada bergiat aktif dalam dunia seni, namun masih ada golongan yang meneruskan kerja seharian mereka dalam memperjuangkan industri hiburan di negara ini.
Seperti barisan penyampai radio Ultra FM yang terdiri daripada Fizi Ali, Mamat Sepah, Mon Ryanti dan Jimmy Shanley, mereka ini semua mempunyai tanggungjawab yang perlu dipikul dalam memastikan program radio kendalian mereka berjalan seperti biasa mengikut yang dirancang.
Semestinya kedatangan Ramadan kali ini membawa kisah tersendiri yang boleh dikongsi buat tatapan pengikut setia mereka.
Minggu ini, Sensasi Bintang berkesempatan mendekati empat penyampai radio berstatus selebriti ini untuk berkongsi cerita mengenai pengalaman serta signifikan kedatangan Ramadan dan Syawal pada tahun ini kepada diri mereka.
Jika sebelum ini, Mamat bergandingan bersama Fizi dalam segmen pagi, kini pelakon yang juga pelawak itu mengendalikan segmen petang secara solo bagi mengambil alih segmen bekas penyampai radio Sharifah Shahira.
“Memandangkan saya akan ke udara bermula pukul 3 petang sehingga 8 malam, jadi, saya akan berbuka puasa di konti sahaja bertemankan pendengar-pendengar setia Ultra FM,” katanya.
Jelas Mamat, dia berseronok bekerja pada bulan puasa kerana banyak perkara yang boleh dikupas untuk diketengahkan kepada pendengar.
“Banyak topik yang boleh dicakapkan seperti menu yang sering menjadi pilihan orang ramai untuk berbuka puasa, lokasi menarik untuk menikmati juadah dan lain-lain lagi.
“Kita tidak kering topik untuk dibincangkan bersama pendengar,” ujarnya.
Kata Mamat, dia tetap mengendalikan program seperti biasa dengan gaya dan telatah yang sama.
“Jika bulan Ramadan, tidak semestinya kita pun kena rendahkan tona suara kita. Masih sama seperti sedia kala. Kalau mendatar sahaja takut pula nanti pendengar pun akan mengantuk dan bosan.
“Jadi, apabila petang-petang kita kena hiburkan mereka dan pada masa sama, saya akan tekankan mengenai Ramadan itu juga,” katanya yang berharap dapat pulang ke kampung bercuti menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
KEDATANGAN Ramadan kali ini memberi makna tersendiri buat Jimmy kerana genaplah tempoh setahun usia perkahwinan kedua yang dibinanya selepas rumah tangga pertamanya gagal bertahan lama.
“Syukur, sudah genap setahun usia perkahwinan bersama isteri yang saya nikahi pada tahun lalu.
“Pada Ramadan ini, saya tampil berkepala botak kerana memang ada bernazar jika perkahwinan genap setahun, saya berniat mahu botakkan kepala,” kongsi pengacara program Trek Selebriti itu.
Mengendalikan konti pada sebelah malam, ia banyak membolehkan Jimmy meluangkan masa pada siang hari di rumah sahaja.
“Apabila tiba waktu petang, saya akan ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa sebelum bersiaran pada sebelah malamnya pada pukul 8 malam,” ujar pengacara berusia 35 tahun itu.
Tambah Jimmy, sambutan hari raya nanti, dia akan membawa isteri untuk bercuti ke luar negara.
“Sepatutnya mahu bawa bulan ini berikutan genap setahun usia perkahwinan, namun hasrat itu saya tangguhkan dulu selepas Ramadan untuk bawa isteri pergi berbulan madu buat kali kedua ke luar negara,” katanya yang akan menyambut raya pertama di Kuala Lumpur.
SEPANJANG bulan puasa ini, kata Fizi, selepas bersahur dia akan terus bersiap untuk pergi kerja ekoran mengendalikan segmen bermula seawal pukul 6 pagi.
“Jadi, selepas bersahur, saya akan terus bergerak ke konti untuk bekerja seperti biasa memandangkan akan ke udara pada sebelah awal pagi,” katanya.
Bagaimanapun, bekas peserta program Pilih Kasih itu memberitahu, dia mengalami sedikit masalah pada suaranya ketika bersiaran.
“Memandangkan kerja saya menggunakan suara untuk berinteraksi dengan pendengar, jadi apabila tidak minum air pada siang hari, suara akan jadi cepat serak. Saya memang ada masalah suara cepat jadi serak.
“Bimbang juga jika suara bertukar serak, sebab kerja perlu bercakap. Sampaikan saya perlu beritahu dan minta maaf kepada pendengar akan masalah suara yang dihadapi.
Katanya, pada bulan puasa ini, dia juga tetap meneruskan rutin aktiviti bersenam di gimnasium.
“Bekerja hanya pada sebelah pagi, jadi selepas habis, dapatlah saya lakukan aktiviti lain seperti bersenam di gimnasium.
“Senaman tetap perlu bagi menjaga stamina dan kesihatan tubuh badan. Lagipun sekarang saya sedang berusaha untuk kempiskan perut,” kongsi jejaka berusia 26 tahun itu.
Bercakap mengenai bekerja pada raya pertama, kata Fizi, sudah dua tahun berturut-turut dia diarahkan untuk bertugas.
“Biasanya, jika cuti raya, syarikat akan beri keutamaan kepada mereka yang sudah berkeluarga. Bagaimanapun, untuk raya kali ini, belum ditentukan siapa yang akan bekerja hari raya nanti,” katanya.
JIKA tahun lepas, Mon Ryanti melangkah satu lagi ke fasa baharu dalam hidupnya apabila membuat keputusan untuk berumah tangga pada tahun ini. Penyampai radio yang mengendalikan slot pukul 10 hingga 3 petang itu, kini bakal melalui satu lagi fasa baharu.
Apa yang pasti, kedatangan Ramadan kali ini membawa erti kemanisan tersendiri apabila dia yang juga merupakan seorang aktres bakal menimang cahaya mata sulungnya dalam masa terdekat.
“Sekarang ini, saya memang tengah sarat mengandung dan bakal bercuti minggu depan daripada mengendalikan program radio untuk cuti bersalin.
“Insya-Allah, kehadiran Syawal kali ini saya akan beraya bersama-sama dengan orang baharu dalam keluarga,” ujarnya yang dijangka bersalin pada awal Syawal nanti.
Bekerja pada bulan puasa, aktres filem Keramat itu mengakui pergerakannya agak sedikit terhad.
“Apabila sudah tunggu hari ini, memang kadang-kadang rasa macam tidak larat pun ada. Bagaimanapun, saya tidaklah mengalami sebarang alahan sehingga tidak boleh bekerja. Cuma alahan berlaku tiga bulan pertama sahaja.
“Sekarang ini, kulit wajah sahaja yang merisaukan saya kerana naik jerawat sewaktu mengandung,” katanya.
Bercerita mengenai bulan puasa, kata bakal ibu berusia 27 tahun itu, dia bersyukur dikurniakan suami yang ringan tulang dalam membantunya menyediakan juadah makanan untuk berbuka puasa.
“Jika saya tidak larat, suamilah yang akan masak untuk bersahur dan berbuka,” kongsinya yang akan berpantang di kampungnya di Johor.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: