Sunday, June 28, 2015

Ayda-Nabil makin mendapat tempat

  • Nabil Ahmad dan Ayda JebatNabil Ahmad dan Ayda Jebat

MANUSIA hanya merancang, namun Tuhan menentukan segalanya. Mula mencipta nama menerusi program realiti televisyen, Nabil Ahmad dan Ayda Jebat kini mampu membuktikan bakat dan kemampuan dalam bidang yang diceburi dengan baik.
 
Siapa sangka, hari ini mereka berdua berjaya meletakkan diri di kelas yang tersendiri sebaris dengan nama-nama besar lain.
 
Watak Armel Aisya menerusi drama rantaian popular, Rindu Awak 200% berjaya melonjakkan nama Ayda dalam industri hiburan tanah air.
 
Rentetan daripada populariti drama tersebut, ramai mula memberi perhatian terhadap bekas peserta Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) itu.
 
Tawaran lakonan turut menyebelahinya, dan sejak itu wajah aktres berusia 22 tahun itu bukan lagi asing di kaca televisyen tempatan.
 
Enggan mahu dikenali dengan hanya satu drama, Ayda terus mewarnai perjalanan kariernya dengan pelbagai tawaran lakonan lain dan nyata ia tidak mengecewakan peminat.
 
Biarpun tidak terlepas daripada kontroversi, Ayda berjaya membuktikan bakat lakonannya seiring dengan populariti yang digapainya.
 
Terbaharu, Ayda memberitahu dia bakal terlibat dengan telefilem Nusyuz Cinta arahan Osman Ali yang bakal memberinya pengalaman yang berbeza.
 
“Alhamdulillah, tawaran kali ini mungkin lebih berbeza dan saya amat gembira kerana terpilih untuk terlibat sama.
 
“Dalam telefilem ini saya akan membawa watak anak orang asli yang akan memeluk agama Islam.
 
“Bagaimana mahu bawa watak itu, dari segi pertuturannya mungkin berbeza, jadi saya perlu belajar dan membuat kajian terlebih dahulu. Sudah pasti ia akan beri pengalaman baharu untuk saya,” katanya teruja.
 
Tidak mahu menghadkan bakatnya dalam lakonan semata-mata, Ayda memberitahu dia juga bakal tampil dengan single pertamanya Siapa Diriku ciptaan Omar K.
 
“Saya terlibat dalam dunia hiburan ini pun bermula dengan bidang nyanyian, jadi memang saya akan meneruskannya dan manfaatkan peluang yang ada.
 
“Secara jujurnya memang saya agak gugup untuk tampil sebagai penyanyi memandangkan peminat mengenali saya sebagai pelakon, tapi tidak salah kalau saya mencubanya terlebih dahulu.
 
“Selepas Aidilfitri ini saya akan lebih fokus pada single ini untuk mempromosikannya, sama juga seperti bidang lakonan,” ujarnya.
 
Perkara sama turut dilalui oleh Nabil yang saban hari dilihat semakin komited dalam kerjayanya.
 
Bakat semula jadi yang dimiliki pelawak ini nyata memberi tuah buat dirinya untuk terus dikenali.
 
Sentiasa memiliki pemikiran ke hadapan, Nabil tidak mensia-siakan peluang dan kepercayaan yang diberikan kepadanya dalam apa jua bidang yang diceburi.
 
“Saya bersyukur kerana rezeki menyebelahi saya. Mungkin rezeki anak-anak saya.
 
“Selagi diperlukan saya akan teruskan kerjaya ini dengan sebaik mungkin,” tuturnya.
 
 
Ayda-Nabil makin mendapat tempat 
 
Tidak terhenti setakat itu, bakat dua anak seni ini diasah melalui penglibatan dalam proses mengalih suara melalui filem pecah panggung, Transformers: Age Of Extinction yang bakal bersiaran di HBO dan HBO HD pada 17 Julai 2015, jam 9 malam.
 
Teruja menjayakannya, baik Nabil mahupun Ayda, kedua-duanya mengakui inilah pengalaman pertama yang tidak dapat dilupakan.
 
Berkongsi lebih lanjut, Ayda yang memegang watak Tessa Yeagar lakonan Nicola Anne Peltz mendedahkan dia hampir pengsan kali pertama terlibat dalam proses alih suara itu.
 
“Saya terima tawaran ini pun kerana ia sesuatu yang baharu buat saya, tapi tidak sangka alih suara untuk satu karakter sangat mencabar berbanding berlakon.
 
“Saya perlu peka dengan masa dan setiap pergerakan karakter itu supaya ia seiring dengan suara saya.
 
“Banyak juga dialog yang perlu saya lontarkan. Memang mencabar sehingga saya juga terpaksa buat pergerakan seperti watak itu untuk dapatkan ‘feel’ yang sama seperti berlari, terjatuh, dan macam-macam lagi.
 
“Sebab itu hari pertama selepas 15 minit dalam studio tiba-tiba saya terus rasa penat dan hampir nak pengsan. Saya minta berehat sekejap dan pihak produksi beri saya makanan dan coklat,” katanya sambil tertawa.
 
Sama seperti Ayda, Nabil turut meluahkan perasaan terujanya membawa watak Brains.
 
“Walaupun bukan watak utama, tapi tawaran ini sangat berharga buat saya tambahan pula ia sebuah filem antarabangsa yang mendapat sambutan hangat di sini.
 
“Banyak pengalaman baharu saya peroleh sepanjang terlibat dengan proses alih suara ini. Memang susah tapi menyeronokkan,” ujarnya.
 
Selain Nabil dan Ayda, barisan pelakon lain yang terlibat termasuk Hisyam Hamid, Faizal Ismail, Ahmad Nabil, Sharnaaz Ahmad, Akim Ahmad, Hazama, Syazwan Zulkifli, Scha Alyahya, Elizabeth Tan, Fakhrul Razi dan Syafiq Kyle.

 
Berhabis demi penampilan
 
Baru-baru ini, nama Nabil menjadi perhatian apabila imej terbaharunya berbadan sasa berjaya mencuri perhatian masyarakat.
 
Bercerita lebih lanjut, Nabil akui berhabis ribuan ringgit untuk memiliki tubuh badan yang dimilikinya sekarang.
 
“Saya bermula sejak beberapa bulan lalu dan sudah mendisiplinkan diri dari segi pemakanan harian dan aktiviti di gym bersama seorang jurulatih kesihatan peribadi.
 
“Memang kos untuk mendapatkan tubuh badan seperti ini agak tinggi dan RM10,000 yang saya belanjakan itu adalah kos setahun.
 
“Saya memang mengambil makanan diet dan kosnya bukan murah.
 
“Selain itu saya gunakan khidmat jurulatih peribadi dan dia hanya menjaga saya saja sebab saya mahu dia yang ikut jadual saya

“Sepanjang bulan puasa ini juga, selepas kerja atau solat Terawih, saya memang berada di gym sehingga lewat malam,” katanya yang akui keputusan itu diambil atas tawaran untuk muncul dalam sebuah iklan produk kesihatan yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
 
Ayda tak kisah diperguna
 
Sekali lagi digandingkan bersama Zul Ariffin menerusi drama adaptasi MAID mengundang pelbagai persepsi mengenai dirinya.
 
Tidak ambil pusing perkara itu, Ayda mahu lebih bersikap profesional dan sebagai pelakon akan beri yang terbaik dalam menggalas tugasnya.
 
“Sebenarnya kalau penerbit atau stesen televisyen mempergunakan keserasian kami untuk mempromosikan drama, bagi saya ia sesuatu yang baik dan sebagai pelakon sudah tentu saya gembira.
 
“Bagi saya rezeki tidak perlu ditolak. Apa yang penting, bagaimana kami mahu jadikan lakonan itu lain daripada drama yang terdahulu.
 
“Saya tidak ambil pusing kalau ada yang mempertikaikan kenapa kami sering digandingkan bersama, tapi yang penting bagaimana caranya kami mahu hasilkan sesuatu yang berlainan,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: