Sunday, June 28, 2015

Ayam pansuh makanan eksotik Sarawak

  • Ayam pansuh Ayam pansuh

SEBUT pasal ayam pansuh, sudah pasti ramai yang tahu dan pernah menikmati makanan eksotik tradisional masyarakat Dayak di Sarawak.
 
Makanan tradisional ini begitu sinonim dengan masyarakat Dayak di Sarawak, iaitu Iban, Bidayuh dan Orang ulu.
 
Malah masyarakat bukan Dayak termasuk dari Semenanjung dan pelancong dari luar negara pernah mencubanya ketika mengunjungi Sarawak.
 
Di kalangan masyarakat Iban, makanan yang dimasak di dalam buluh ini disebut ‘ayam pansuh’ atau ‘manok pansuh’, manakala di kalangan masyarakat Bidayuh mereka menyebut ‘syok tanok darum bu-uruk’ atau dalam bahasa Melayu bermaksud ayam masak dalam buluh.
 
Sama seperti lemang, juadah istimewa itu dimasak di dalam buluh dan dibakar dengan kayu api atau lebih baik di atas bara api. 
 
Sebatang buluh sepanjang satu meter mampu memuatkan seekor ayam yang dipotong dadu bersama ramuan khas yang digunakan bersama masakan tersebut.
 
Seorang pengusaha inap desa di Kampung Semadang, Penrissen dekat Kuching, Kerin Sarus, 51, berkata keenakan ayam pansuh bukan sahaja terletak pada resipi aslinya, bahkan ayam yang dibakar di dalam buluh menambahkan aroma harum dan kelazatan daging ayam.
 
Menurutnya, juadah itu lazimnya dihidang kepada tetamu setiap kali tiba musim perayaan di Sarawak, tetapi kini ia sudah dikomersialkan, malah menjadi sajian di restoran.

Menurutnya, ayam yang dimasak di dalam buluh berbeza dari segi rasa dan aromanya dengan ayam yang dimasak di dalam periuk.
 
“Yang dimasak di dalam buluh lebih enak rasanya dan aromanya cukup wangi,” kata Kerin.
 
Katanya, tanpa menggunakan minyak masak dan air, bahan asas pansuh yang sudah digaul bersama ayam yang sudah dipotong akan dimasukkan ke dalam buluh dan dibakar di atas bara api sehingga masak.

“Ini menunjukkan betapa sajian itu boleh dikategorikan sebagai menu sihat kerana disediakan tanpa minyak masak atau bahan pengawet,” katanya.
 
Katanya, ramuan-ramuan untuk memasak lazimnya ditanam sendiri oleh para penduduk, manakala batang buluh diperoleh dari kawasan hutan berhampiran.
 
Berkongsi serba sedikit mengenai cara membuat ayam pansuh, Kerin berkata ayam mestilah segar, lebih baik menggunakan ayam kampung kerana dagingnya yang manis dan buluh yang digunakan mestilah yang baru ditebang untuk menghasilkan aroma yang wangi, sementara pucuk ubi kayu digunakan menutup mulut buluh.
 
Untuk menambah aromanya, beliau mencadangkan ditambah bunga kantan.
 
Kerin berkata, antara bahan-bahan yang diperlukan ialah ayam (ayam kampung), halia, serai, bawang putih, garam, bahan perasa, bunga kantan dan daun ubi.

Katanya, selepas ayam dibersihkan dan dipotong dadu, ia kemudian diperap dengan halia, serai, bawang putih, garam dan bahan perasa secukup rasa selama setengah jam. Daun ubi pula diramas bersama garam untuk mengeluarkan getahnya dan mengurangkan pahit.
 
Semua bahan kemudian dimasukkan ke dalam buluh dan pucuk ubi digunakan untuk menutup mulut buluh sebelum dibakar. Wap yang terhasil daripada ayam yang masak di dalam buluh tersebut akan menjadi kuahnya.
 
“Jangan bakar buluh secara terus, bara adalah yang terbaik. Biarkan sehingga ayam masak, kira-kira setengah jam sebelum dihidangkan,” kata Kerin.
 
Siti Azureen Zukifli, 25, berkata ayam pansuh memiliki rasa yang unik dan sedap dimakan bersama nasi putih.
 
Seorang pelajar dari Universiti Swinburne, Melbourne, Australia, Goldie Yang, 26, yang pernah menginap di inap desa milik Kerin berkata, pertama kali mencuba ayam pansuh beliau terus menyukainya.
 
"Selain rasanya yang unik dan lazat, ayam pansuh merupakan juadah yang menyihatkan kerana tiada minyak serta kaya dengan herba tradisi yang sangat berkhasiat untuk tubuh badan," kata Goldie yang berasal dari China. 
 
Selain ayam dimasak di dalam buluh, masyarakat Dayak di Sarawak turut mengamalkan masakan ikan dan udang di dalam buluh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: