Sunday, June 28, 2015

Adira diselubungi rasa kecewa


ADIRA akhirnya mengaku dia kini sudah putus tunang.


TIADA angin, tiada ribut, tiba-tiba nama penyanyi Adira menjadi bualan hangat awal minggu ini apabila berita ikatan pertunangan bersama jejaka pilihan hatinya yang juga merupakan Presiden Belia Gagasan 1Malaysia, Shahrul Nasrun Kamarudin terputus di tengah jalan.
Sayangnya, berita itu hanya dihidu selepas kira-kira sebulan pasangan tersebut berpisah secara rasmi. Sebaik khabar angin mengenai keretakan hubungan itu tersiar di dada-dada akhbar, barulah masing-masing mengambil pendekatan menjelaskan perkara sebenar.
Belum reda dengan kisah kemusnahan hubungan mereka, timbul pula khabar angin yang mendakwa punca keretakan hubungan yang terjalin selama hampir dua tahun itu disebabkan oleh kehadiran orang ketiga iaitu penyanyi Elizabeth Tan.
Ekoran berita yang tersebar, Elizabeth dan Shahrul tampil memberikan kenyataan kepada media menafikan wujudnya hubungan cinta antara mereka berdua.
Bagaimanapun keadaan menjadi lebih rumit apabila Shahrul sendiri pernah mendakwa Adira hanyalah sebagai kawan wanitanya sahaja kepada Elizabeth sedangkan ketika itu mereka sudah bertunang.
Berkesempatan menemui penyanyi berusia 24 tahun itu baru-baru ini, Adira tenang menjawab segala persoalan mengenai kes putus tunang yang sedang hangat diperkatakan. Ikuti temu bual bersama Sensasi Bintang.
Apa komen anda mengenai status hubungan kalian berdua?
Sebenarnya kami sudah putus tunang secara rasmi sejak Mei lalu.
Komen Adira mengenai kenyataan Elizabeth Tan yang mendedahkan bekas tunang anda pernah mengoratnya ketika kalian berdua masih lagi berhubungan?
Kalau boleh, saya tidak mahu nama Elizabeth Tan terus dikaitkan dengan punca sebenar perpisahan kami kerana dia tiada kaitan dalam hal ini. Bagi saya, perpisahan ini adalah ketentuan Ilahi dan tiada siapa mampu menghalangnya. Setiap manusia tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Inilah ujian dan ketentuan yang perlu saya terima.
Kalau benarlah cerita yang mengatakan bekas tunang anda curang, adakah Elizabeth punca kemusnahan hubungan yang terjalin hampir dua tahun?
Tidak. Saya tidak akan membuka mulut mengenai apa yang telah berlaku. Terus terang, saya ada menghubungi Elizabeth dan berborak dengannya supaya dia tidak rasa dirinya bersalah. Biarlah apa yang berlaku ini menjadi pengajaran buat saya dan Shahrul. Sejujurnya, saya sudah boleh terima hakikat apabila berstatus solo kini.
Jika tidak keberatan, boleh Adira kongsikan punca sebenar keretakan hubungan ini?
Maaf. Ia terlalu peribadi untuk dikongsikan. Lagipun saya mahu menjaga nama baik kedua-dua belah pihak. Saya tetap dengan pendirian untuk tidak mendedahkan punca sebenar keretakan hubungan kami walaupun ramai yang sudah membaca berita ini di laman sosial. Biarlah mereka sahaja yang buktikan asalkan bukan daripada mulut saya.
Mengapa Adira berat hati untuk mendedahkan punca kemusnahan ini?
Saya pernah sayangkan dia dahulu. Sehingga kini, hati saya masih sukar melupakan atau menerima perpisahan ini. Tapi apakan daya, ini jalan terbaik buat kami berdua. Sejujurnya, saya sangat sayangkan dan berterima kasih kepada keluarganya kerana memberikan layanan baik sepanjang saya dan Shahrul menjalin hubungan cinta. Saya berharap khalayak mendoakan yang terbaik untuk diri kami berdua.
Andai kata bekas tunang anda kembali menagih cinta anda semula, adakah Adira akan menerima hatinya kembali?
Terus terang, hati saya masih lagi kecewa dan tidak menjangka perkara seperti ini akan berlaku. Saya fikir, biarlah hubungan yang pernah terjalin ini berakhir dengan ikatan persahabatan sahaja kerana itu lebih baik. Sukar sebenarnya untuk membuat keputusan ini, tetapi saya serahkan soal jodoh ini kepada Yang Maha Esa. Saya reda dan terima segala takdir hidup saya selepas ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: