PASANGAN ini menetapkan syarat khas buat peminat yang ingin bergambar bersama Aaisyah.
|
DALAM satu unit bernama keluarga, tidak wujud perdebatan siapa yang lebih dominan. Asalkan hubungan disulami dengan komunikasi dan toleransi, tidak pernah timbul persoalan siapa wajar tampil dahulu dan siapa pula yang akan menyusul kemudian.
Tidak perlu menyelongkar masalah dunia bagi menemui titik garisan persefahaman antara dua insan terutamanya bagi pasangan suami isteri. Sebagai contoh, persoalan mahu beraya di mana pada tahun ini menjelang Aidilfitri tidak lama lagi sudah cukup untuk mengundang sengketa andai sikap bertolak ansur tidak dijadikan amalan.
Pasangan selebriti popular, Rozita Che Wan atau mesra disapa Che Ta bersama suaminya, Zain Saidin juga tidak terkecuali daripada ditebak soalan sedemikian oleh rakan-rakan media.
Biarpun hari raya pertama tatkala julung-julung kali bergelar suami isteri pada tahun lepas disambut bersama keluarga mertuanya, Che Ta, 42, tidak berdepan masalah untuk mengulangi skrip sama pada tahun ini.
“Nanti Zain susah hati, jadi hari raya pertama akan disambut di Kuala Lumpur (ketawa), namun kami tetap akan pulang ke Alor Setar, Kedah (kampung halaman Che Ta) pada hari raya kedua.
“Kemeriahan raya juga masih dirasai di kampung biarpun telah seminggu berlalu, jadi kami membuat keputusan untuk berhari raya di Kuala Lumpur terlebih dahulu pada setiap tahun,” seloroh Che Ta kepada Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi yang diaturkan pihak pengurusan mereka, Laugh Out Loud Entertainment (LOL) di Hotel Sunway Putra di ibu negara baru-baru ini.
Pasangan itu merupakan antara barisan artis LOL yang berkesempatan meraikan majlis berbuka puasa anjuran G2 Network Worldwide Sdn. Bhd. di hotel berkenaan.
Aidilfitri yang istimewa
Mahligai cinta yang dibina Che Ta dan Zain, 31, sejak 13 Disember 2013 juga bertambah istimewa dengan kehadiran puteri tercinta, Aaisyah Dhia Rana yang selamat dilahirkan pada 1 November tahun lepas.
Tatkala kehadiran Syawal pada tahun lepas, Che Ta masih sarat mengandung enam bulan, jadi tidak hairanlah segala persiapan kali ini lebih terarah kepada bayi comel itu yang bakal meraikan Aidilfitrinya yang pertama kali ini.
“Saya percaya seluruh ahli keluarga lebih teruja berbanding Aaisyah. Dia juga semakin membesar dan kini sudah seberat 8.5 kilogram, jadi kemeriahan Aidilfitri pastinya lebih dirasai. Insya-Allah, dia okey,” getus Zain pula.
Menurut Zain, dia tidak terlalu berbelanja sakan pada Aidilfitri kali ini terutamanya mengenai baju raya berbanding persiapan Aaisyah yang kini mencecah usia tujuh bulan.
“Saya hanya memiliki dua helai persalinan baharu, selebihnya masih banyak pakaian tahun lepas. Saya teruja untuk memakai jubah pada Aidilfitri tahun ini terutamanya apabila ia jatuh pada hari Jumaat. Baju raya Che Ta? Sudah tentu banyak seperti biasa,” ujar Zain tertawa.
Che Ta pula mencelah, Aaisyah memiliki sekurang-kurangnya 20 pasang baju raya pada tahun ini.
“Bagi Zain, persiapan mungkin lebih terarah kepada Aaisyah, cuma bagi saya sama saja (tertawa). Bukan apa, saya mahu memastikan pakaiannya sedondon dengan saya. Ada yang dibeli, tidak kurang juga ada yang ditempah awal,” ceritanya lagi.
Biar perhatian masyarakat kini lebih tertumpu kepada Aaisyah berbanding dirinya, sebagai ibu, Che Ta tetap mengambil langkah waspada.
“Ramai yang ingin bergambar bersamanya. Saya tidak kisah dengan syarat Aaisyah dipegang oleh kami. Risau juga jika terjadi perkara tidak diingini termasuk dilarikan insan tidak dikenali,” jelasnya mohon dimengerti.
Rumah terbuka
Seperti mana kelaziman sebelum ini, Che Ta memberitahu, keluarganya kekal mengadakan rumah terbuka khas buat peminat pada hari raya ketiga.
“Menu wajib selalunya laksa dan nasi tomato sementara menu lain pula akan ditempah menerusi katering.
“Kalau nak tahu, pagi-pagi lagi sudah ada yang datang bertandang. Kadang-kadang, saya tidak sempat hendak memakai bulu mata pun sudah ada yang memberi salam,” ceritanya.
Daripada tujuh adik beradiknya, kata Che Ta, hanya dia dan adik lelaki bongsunya yang tiba di Alor Setar pada hari raya kedua.
“Sesiapa yang pulang awal sudah tentu dapat bilik utama, jadi kami dapat tidur sehingga di depan bilik air pun jadilah,” katanya tertawa.
Ungkap Che Ta, kedua-dua anak lelakinya iaitu Ammar Effendy, 19, dan Aniq Ezzra, 17, pula akan menyambut hari raya pertama bersama bekas suaminya sebelum bersama-samanya pulang ke Alor Setar pada hari berikutnya.
“Mereka hanya bersama kami sehingga hari raya keempat sebelum ke Brisbane, Australia (bersama bekas suami),” ujarnya.
Zain pula memberitahu, dia juga berpeluang menikmati suasana hari raya di kampung sebaik mendirikan rumah tangga bersama Che Ta.
“Semasa saya kecil, kami sekeluarga akan bertolak dari Ampang sebelum berkumpul beramai-ramai bersama saudara lain di rumah arwah nenek di Gombak.
“Saya juga memiliki juadah kegemaran ketika Aidilfitri iaitu rendang tok dan juga lontong masakan ibu saya,” katanya.
Tidak pernah iftar bertiga
Sengaja mengajak pasangan ini mengimbau kisah yang berlaku sepanjang Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Menurut Che Ta, dia tidak berkesempatan untuk memasak sebarang juadah berbuka puasa setakat ini.
“Ini kerana, kami sering berbuka puasa di rumah ibu yang terletak berhampiran kediaman di Subang, Selangor. Jadi, kami tidak pernah berbuka puasa bertiga.
“Sudah tentu ia begitu meriah apabila ramai-ramai berkumpul sebelum bersama-sama menunaikan solat Tarawih,” ungkapnya.
Memilih juadah bubur kanji dan buah melaka sebagai menu kegemaran ketika iftar, Che Ta menyifatkan Ramadan kali ini tidak jauh bezanya berbanding tahun lepas.
“Ini tahun kedua kami bergelar suami isteri, jadi tiada sebarang perbezaan ketara. Aaisyah juga tidak banyak meragam sepanjang bulan puasa dan asyik tidur.
“Selain itu, saya turut jarang memasak ketika bersahur memandangkan Zain sedang berdiet,” jelasnya.
Zain pula memberitahu, dia mahu menjadi suami yang lebih baik sejak pulang dari mengerjakan umrah tahun ini.
“Saya mahu menjadi yang terbaik selain lebih memahami mengapa kita perlu bersedekah. Jika dahulu, saya sekadar menahan lapar dan dahaga untuk melengkapkan puasa,” ujarnya.
Cuma satu kata Zain, nafsu makannya dikesan semakin bertambah sejak tiga tahun lepas terutamanya ketika mula bersenam di gimnasium.
“Sebelum ini, saya suka berbuka puasa bersama buah melaka dan juga kuih ketayap. Kini, saya lebih suka makan nasi bersama ayam masak merah terutamanya masakan ibu mertua.
“Saya juga sekadar meminum air seperti jus oren ketika bersahur selain menjamah buah tamar,” jelasnya yang menunaikan solat Tarawih di masjid berbanding di rumah.
Menyentuh mengenai projek terbaharu, Zain menjelaskan dia baru saja selesai menjalani rakaman sesi pertama Oh My English! baru-baru ini.
“Saya lebih banyak berehat ketika Ramadan kali ini, isteri juga sekadar menjalani rakaman program Primadona (bermula kelmarin) dan sesi fotografi sempena Aidilfitri serta tidak terlibat dalam sebarang sesi penggambaran drama,” katanya menutup bicara.