Saturday, November 27, 2010

Mendakap damai alam Taman Negara




SESEKALI dapat menghentikan masa untuk menerokai rahsia khazanah biodiversiti negara akan memberi pengalaman yang tidak ternilai dalam kehidupan.

Pengalaman menjejaki alam flora dan fauna dengan lebih dekat tentu sekali dapat merungkai keajaiban alam semula jadi dan kepentingannya buat ekosistem kehidupan manusia.

Bahkan, mendekati alam semula jadi bukan sahaja mampu menambah ilmu pengetahuan malah memupuk semangat mencintai alam sekeliling kita.

Mungkin ada yang masih tertanya-tanya tentang destinasi yang sesuai untuk merasai pengalaman ekopelancongan.

Mutiara Taman Negara Resort (MTN) yang terletak di salah satu hutan tropika tertua di dunia iaitu Taman Negara, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang merupakan jawapan ideal kepada persoalan itu.

Pengunjung boleh memilih pelbagai pakej percutian menarik yang disediakan resort terkemuka berkenaan. Meneroka Taman Negara yang berkeluasan 4.343 kilometer persegi merupakan hadiah terbaik buat mereka yang mencintai elemen alam termasuk hutan, sungai dan segala penghuninya.

Dianggarkan terdapat 150,000 jenis serangga, 10,000 pokok, 300 spesies burung dan 270 reptilia mendiami kawasan itu. Mustahil seseorang pengunjung itu terlepas peluang untuk menyaksikan kelibat hidupan liar di hutan tropika berkenaan.

“Sukar membayangkan pengunjung yang bertandang ke MTN tidak seronok menikmati keindahan flora dan fauna yang terbentang luas di Taman Negara ini.


KEINDAHAN alam semula jadi dapat dinikmati ketika menyertai aktiviti Canopy Walkaway.


“Pelbagai aktiviti lasak ditawarkan MTN kepada mereka yang gemar mendekati alam semula jadi,” kata Eksekutif Rekreasi MTN, Ramlan Jaafar kepada 21 wakil media yang dijemput selama tiga hari dua malam menikmati keindahan alam semulajadi MTN.

Ramlan menambah, antara aktiviti yang tetamu MTN sertai adalah seperti berjalan malam iaitu nite jungle walk. Berbekalkan lampu suluh sebagai panduan perjalanan, pengalaman merentas hutan pada waktu malam sambil ditemani bunyi sahutan unggas dan serangga sungguh mengujakan.

Katanya, waktu malam merupakan masa yang paling sesuai untuk pengunjung melihat variasi spesies serangga seperti belalang kayu, kala jengking, mentadak mentadu, ular daun, kupu-kupu dan labah-labah yang terdapat di dalam hutan.

“Jika bernasib baik, pengunjung juga akan berkesempatan bertemu hidupan liar yang lebih besar seperti tapir, rusa dan kijang ketika melakukan aktiviti ini,” katanya.

Lebih menarik, kesemua wakil media yang mengikuti aktiviti nite jungle walk di MTN itu berpeluang melihat sepasang tapir sedang asyik mencari makanan. Betapa istimewa dan seronok pengalaman itu hinggakan suasana malam di dalam hutan tropika itu menjadi kecoh sebentar!

Kemudahan calet

MTN menawarkan pengalaman bermalam bersahabatkan alam semula jadi melalui pilihan penginapan termasuk dua unit banglo, 16 calet, 16 rumah tamu dan asrama.

Pengunjung juga tidak perlu berasa bimbang mengenai waktu menjamu selera kerana Restoran Seri Mutiara menawarkan pelbagai pilihan makanan tempatan dan antarabangsa untuk dicuba.

Siapa sangka, di dalam hutan pun hidangan seperti gulai tempoyak ikan patin, sambal hitam, bubur nasi, nasi lemak, tom yam, pasta, spageti, piza dan kuih-muih dapat dinikmati.


PESISIR Sungai Tembeling turut dijadikan tempat riadah.


Selain daripada aktiviti nite jungle walk, kunjungan ke Taman Negara tidak akan lengkap sekiranya tidak melakukan aktiviti Canopy Walkaway yang memerlukan seseorang berjalan merentasi Bukit Teresek dan melintas jambatan gantung sepanjang 530 meter dengan ketinggian 40 meter pada waktu siang untuk memerhatikan pelbagai tumbuhan serta pokok menarik yang terdapat di Taman Negara.

Perasaan gemuruh dan takut terpaksa diketepikan seketika apabila menjejaki jambatan gantung berkenaan kerana bukan selalu dapat menikmati keindahan kehijauan alam semula jadi daripada ketinggian itu.

Ia juga menjadi salah satu lokasi ideal bagi kelompok pemerhati spesies burung.

Sementara itu, pemandu pelancong alam semula jadi Taman Negara, Hamzah Abdul Hamid, 58, berkata, pengunjung boleh melawat perkampungan Orang Asli yang terdapat di Taman Negara untuk mendekati kehidupan mereka dengan lebih dekat.

Dia yang lebih dikenali sebagai Pak Chu, memberitahu bahawa pengunjung turut akan didedahkan dengan dua kemahiran masyarakat Orang Asli iaitu menghasilkan api dan menyumpit.


KEBERANIAN pengunjung di air akan diuji melalui aktiviti dihanyutkan arus Sungai Tembeling.


“Bagi mereka yang menggemari acara lasak pula, terdapat aktiviti water rafting (berakit) dan juga water confidence (bina keyakinan di air) yang menguji kepakaran mengawal diri saat dihanyutkan arus Sungai Tembeling,” ujarnya yang mempunyai pengalaman hampir 20 tahun sebagai pemandu pelancong.

Antara aktiviti lain yang boleh diperoleh apabila mengunjungi Taman Negara termasuk eksplorasi gua, pendakian Gunung Tahan dan membelai ikan kelah di santuari kelah Lubuk Tenor.

Untuk maklumat lanjut mengenai pakej penginapan dan percutian, talian 09-266 2200/3500 boleh dihubungi atau layari laman web www.mutiarahotels.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: