BIARPUN disulami dengan pelbagai kisah kontroversi sebelum ini, pementasan teater Natrah buat kali yang kedua tetap berlangsung dengan jayanya pada kali ini.
Masih mengekalkan Erma Fatima sebagai pengarah, ramai pelakon edisi Natrah terdahulu juga masih lagi dikekalkan, khususnya Maya Karin, Umie Aida dan Remy Ishak.
Ironinya, pasti ramai yang sudah mengetahui tentang sejarah seorang gadis bernama Natrah atau Maria Huberdina Hertogh yang berketurunan Belanda yang lahir di Tjimahi, Pulau Jawa, Indonesia pada 24 Mac 1937.
Konflik gadis tersebut bermula apabia dia diserahkan oleh ibu kandungnya, Adeline kepada Che Aminah setelah suaminya yang merupakan seorang tentera Belanda telah ditawan sewaktu pendudukan Jepun di Indonesia.
Kemudian Natrah dibawa dan dibesarkan di Kemaman, Terengganu sebagai seorang muslim yang tidak lupa mengerjakan solat lima waktu, pandai mengaji serta serasi menjalani kehidupan dalam suasana kemelayuan.
Bagaimanapun, ibu bapa kandung Natrah mengambil keputusan untuk mendapatkan kembali anaknya dan situlah bermulanya kesengsaraan yang dialami oleh Natrah kerana terpaksa berpisah dengan suami dan ibu angkat yang sangat disayanginya itu.
Tidak dinafikan, kisah ini sememangnya adalah sebuah kisah yang sememangnya terpahat dalam lipatan sejarah. Namun apabila ia diangkat ke pentas teater, Erma selaku pengarah mempunyai garapannya yang tersendiri.
“Biarpun ini adalah pementasan yang kedua, ingin saya jelaskan lagi bahawa teater Natrah bukan teater sejarah. Ia hanyalah berkisarkan mengenai kisah cinta seorang wanita yang berlatarbelakangkan sejarah.
“Lihat sahaja filem-filem seperti Titanic misalnya, ia memang merupakan sebuah kisah sejarah. Tetapi apa yang lebih banyak dipaparkan adalah kisah cinta dan itu juga yang cuba saya garapkan dalam teater ini,” ujarnya.
Menurut Erma, dia mahu penonton yang menyaksikan teater berkenaan supaya menghayati cintanya yang sangat mendalam kepada Islam serta ibunya, Che Aminah dan suaminya yang baru dinikahi, Mansor Adabi di sebalik kisah sejarah yang penuh tragik itu.
Bagi penonton yang menyaksikan teater ini akan dihidangkan dengan paparan kisah cinta Natrah kepada Tuhan, ibunya dan suami serta perjuangan mempertahankan akidah seorang wanita Islam yang menjadi rebutan keluarga kandungnya yang beragama Kristian.
Rakan sesama artis
Menonton kolaborasi kali kedua, kedua-dua Maya dan Remy sebagai pasangan suami isteri, Natrah dan Mansor Adabi ternyata mereka berdua seolah benar-benar bercinta!
Menyaksikan beberapa babak yang cukup romantis antara Maya dengan Remy Ishak menerusi teater Natrah kali ini, tidak dinafikan bahawa ada juga yang beranggapan mereka berdua umpama pasangan yang sedang dilamun cinta.
Apatah lagi pengarah teater itu, Erma sendiri mahukan penghayatan cinta yang mendalam termasuk antara Natrah dan Remy, justeru kedua-dua Maya dan Remy sebenarnya memikul tanggangjawab yang berat untuk mewujudkan betapa dalamnya cinta yang timbul antara mereka di pentas.
Ketika ditebak adakah percintaan dirinya dengan Remy bukan sekadar di pentas Natrah, malah turut terjalin di alam realiti, Maya hanya ketawa.
"Itu adalah sekadar lakonan di dalam teater kerana di luar kami hanya sebagai rakan sesama artis sahaja,” tuturnya.
Tambah Maya: "Lagipun saya dan Remy sebenarnya gementar sepanjang pementasan. Namun bila ramai yang melihat babak romantis itu benar-benar menjadi, maknanya kami telah dapat membawakan watak tersebut dengan berkesan sekali.
Mengenai perasaannya dapat bergandingan semula dengan Remy, Maya menyatakan perasaan gembiranya dan yakin gandingan mereka berdua akan lebih melancarkan perjalanan pementasan teater berkenaan.
“Pasti sukar sekiranya mahu mendapatkan keserasian jika berlakon dengan pelakon lain untuk watak Mansor Adabi,” ungkapnya.
Dalam pada itu, Maya menjelaskan, dia masih lagi belum berpuas hati dengan pementasan pada hari yang pertama itu.
Bagi dirinya, memegang watak sebagai Natrah adalah sesuatu yang cukup istimewa. Sebab itu dia memang bersungguh-sungguh untuk menjiwai watak ini agar penonton turut sama menyelami kesengsaraan yang ditanggung Natrah.
Bagi Remy Ishak pula, kali ini sebagai Mansor Adabi dia dikehendaki melakonkan lebih banyak babak menari.
Mengakui ia agak sukar bagi dirinya, memandangkan dia tidak memiliki sebarang pengetahuan tentang tarian, namun apabila diberitahu Erma tentang hal tersebut, Remy menyahut cabaran berkenaan dan menganggap ia merupakan satu perkembangan yang positif dalam perkembangan kerjaya seninya.
"Mulanya agak gementar juga apabila disuruh menari kerana dalam pementasan terdahulu memang tiada babak berkenaan. Namun, saya tetap berusaha melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin,” ujarnya.
Teater Natrah telah mula dipentaskan kepada orang ramai di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 25 November lalu dan berakhir pada 5 Disember ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: