GUA dijadikan tempat bertapa dan memuja menjejaskan imej pelancongan pantai Bukit Keluang di Besut.
JERTIH: Keunikan pusat perkelahan Bukit Keluang di Besut yang mempunyai banyak gua batu menjadikan tempat itu sentiasa dikunjungi ramai pengunjung dan pelancong.
Selain ada lebih 15 gua pelbagai bentuk, Bukit Keluang mempunyai daya tarikan tersendiri kerana pantainya bersih serta pemandangan indah terutama panorama waktu senja.Pusat perkelahan terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar ini sudah lama popular dan antara pusat pelancongan paling menarik kerana mempunyai gua di tepi pantai.
Tinjauan Edisi Timur ke Bukit Keluang mendapati kebanyakan gua dicemari dengan sampah sarap serta alat pemujaan seperti lilin, kertas, kain kuning yang ditinggalkan pengamalnya.
Orang ramai yang berkunjung mendakwa kerap melihat individu dan berkumpulan antara tiga hingga lima orang keluar masuk ke beberapa gua di situ yang dikatakan dijadikan pusat bertapa dan pemujaan ilmu hitam
Seorang pengunjung, Mohd Zainuddin Mohamad, 42, mendakwa pernah menemui kumpulan seramai sembilan orang sedang melakukan pemujaan di dalam salah satu gua di bukit itu kira-kira jam 1 pagi.
Saya sering datang ke sini untuk memancing di muara sungai pada waktu malam dan kerap menemui mereka yang keluar masuk dari gua berkenaan.
"Saya tidak pasti apa yang mereka lakukan tetapi saya dimaklumkan ada orang yang melakukan pemujaan ilmu hitam," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali, mendakwa beliau sendiri pernah menemui beberapa ahli kumpulan menjadikan gua di Bukit Keluang itu sebagai tempat bertapa.
"Kes terbaru ketika gerakan mencari gadis yang sering ghaib, Siti Balqis Mohd Noor, 22, apabila saya ternampak beberapa orang di dalam beberapa gua di Bukit Keluang lewat malam, kira-kira sebulan lalu.
"Mereka seperti bertapa yang turut membawa kain kuning dan lilin," katanya yang percaya mereka melakukan amalan khurafat dan bertentangan dengan syariat Islam.
Berikutan itu, Ramlan meminta pihak berkuasa agama termasuk Pejabat Agama Daerah Besut membuat siasatan dan memantau pergerakan individu atau kumpulan menjadikan gua di Bukit Keluang yang juga tempat pelancongan, sebagai pusat pemujaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: