STESEN radio Suria FM sudah dua tahun bertapak dalam industri hiburan tempatan dan sedang meniti popularitinya dari hari ke hari.
Walaubagaimanapun, stesen radio Melayu yang dikelolakan oleh The Star Publications (M) Bhd ini, menampakkan peningkatan yang memberangsangkan dari tahun ke tahun apabila bilangan pendengar semakin melonjak berbanding tahun sebelumnya.
Menurut Ketua Pegawai Penyiaran merangkap pemangku Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Yusry Abu Samah, bilangan pendengar telah meningkat sebanyak 700,000 pendengar secara puratanya.
"Kejayaan paling besar yang dicapai oleh Suria FM adalah peningkatan jumlah pendengar di negeri Pantai Timur, Utara dan sekitar Lembah Klang iaitu sebanyak 25 peratus berbanding tahun lepas.
"Ini bermakna keuntungan iklan juga bertambah baik. Insya-Allah, kita akan cuba untuk meluaskan frekuensi di Sarawak pada tahun 2010 dan berikutnya.
"Kita cuma perlu menunggu kelulusan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia," ujarnya ketika sidang media majlis ulang tahun kedua Suria FM di pejabat stesen radio itu di Bangunan Am Assurance, Jalan Lumut, Kuala Lumpur semalam.
Jelasnya, Suria FM akan cuba ‘menebus maruah’ mulai tahun depan dengan menghidangkan pelbagai program menarik bagi memenuhi citarasa pendengar.
Bak kata Yusry, ‘kandungan program radio adalah ‘Raja’ pada akhirnya dan populariti akan diraih secara tidak langsung’.
"Pada awal tahun depan, Suria FM akan perkenal sesuatu yang baru dari segi kandungan program dan segmen yang akan dapat memenuhi citarasa pendengar.
"Sekarang, kita sedang menjalani proses kajian pendengar dari segi konsep dan rentak lagu serta penyampai radio yang mereka suka.
"Kita juga akan menambah dan menggantikan penyampai radio DJ Akhtar yang meninggalkan Suria FM nanti.
"Jadi, kita akan membuat kajian menerusi badan-badan profesional untuk mencari pendengar yang boleh memutuskan siapa penyampai radio terbaik yang layak menyertai Suria FM.
"Kalau pendengar inginkan penyampai radio di kalangan selebriti, mungkin kita akan ikut cadangan mereka.
"Ini kerana pendengar lebih gemarkan penyampai yang dikenali dan berada dalam kelompok selebriti. Saya tak nafikan memang itu yang kita cari.
"Setakat ini kita sudah mempunyai beberapa calon penyampai radio yang berminat untuk menyertai Suria FM namun kita belum boleh umumkan. Yang pasti kriteria penting yang kita akan lihat juga adalah penyampai radio yang terbaik antara terbaik," ulasnya lagi.
Yusry juga tidak menafikan yang Suria FM mungkin akan mengeluarkan lebih banyak belanja untuk memastikan objektif mereka tercapai.
"Kalau nak keuntungan dan jumlah pendengar yang ramai, jadi kita kena berbelanja lebih sedikit iaitu sama seperti strategi yang digunakan oleh stesen radio lain.
"Tetapi apa yang sudah disajikan di radio lain kita tak nak tiru seperti mengkelaskan peringkat umur pendengar. Sehingga kini, Suria FM kekal mensasarkan pendengar berusia 20 hingga 39 tahun," tambahnya lagi.
‘Bukan jimat bajet’
Dengan konsep mengadakan majlis ulang tahun kedua di pejabat Suria FM semalam, Yusry mengaku mereka cuba melakukan kelainan dan bukannya alasan ‘mahu jimat bajet’.
"Sebagai tuan rumah, kami cuba untuk membuat kelainan dengan mengadakan majlis ini di tempat kita. Dari sini, kita bukan sahaja boleh mengadakan ‘Mini Showcase Khas’ malah turut mengajak lebih 40 artis yang hadir untuk ditemubual di konti radio menerusi ‘Open House Studio’ bermula pukul 8 pagi hingga 4 petang.
"Kita juga menghadiahkan 1,000 ‘kek cawan’ istimewa kepada orang ramai yang hadir menonton ‘mini showcase’ itu," tuturnya.
Antara artis yang telah menjayakan majlis itu adalah Azharina, Azlan & The Typewriter, Sofaz, Fazli Zainal, Dr Fazley, Zehra Zambri, Siti Saerah, Natasha Hudson, Nikki, Farawahida, Siti Saida, Ifa Raziah, Nikki Palikat, Dafi dan Ning Baizura.
Selain itu, Suria FM juga akan mengadakan konsert jelajahnya pada 19 dan 20 Disember ini di Plaza Metro Kajang dan Plaza Alam Sentral, Shah Alam.
Sementara itu konsert jelajah seterusnya akan dilakukan di bahagian Utara pada Januari manakala Selatan pada Februari yang akan dimaklumkan kemudian.
Kudsia ganti Emran hanya spekulasi
Dalam masa yang sama, Yusry menafikan dakwaan Pengurus Besar Saluran Melayu AMP Radio Networks, Kudsia Kahar akan menggantikan tempat Engku Emran Engku Zainal Abidin selaku Ketua Pegawai Operasi Suria FM.
"Dakwaan itu tidak benar....bukan Kudsia menggantikan tempat Emran. Seperti yang kita ketahui dakwaan itu hanya spekulasi. Buat masa ini saya yang dipertanggungjawabkan untuk menyandang jawatan ini.
"Kami juga belum mengetahui tentang siapa penggantinya yang sebenar," ulasnya mengenai isu itu sebelum mengakhiri sidang media.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: