Bagi kanak-kanak yang menyertai walkaton Fun in the Park, cabaran yang dihadapi agak sukar, tetapi ia tetap menghiburkan.
DARI jauh, kelihatan sekumpulan kanak-kanak berjalan kaki dan sesekali mendongak kepala melihat persekitaran Pusat Bandar Putrajaya. Mereka bukan sekadar berjalan, sebaliknya dari lagak yang dipamerkan seperti ada misi penting yang cuba dilunaskan.
Begitulah keadaannya apabila sekumpulan kanak-kanak menyertai satu program walkaton yang unik. Bertemakan Fun in the Park, apa yang jelas, walkaton berpengisian itu turut menyuntik unsur pendidikan, keriangan dan cintakan alam.
Diadakan sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia yang diraikan pada hari Sabtu terakhir bulan Oktober, program itu berjaya menarik lebih 1,000 murid dari sekolah-sekolah di sekitar Lembah Klang.
Merupakan anjuran Perbadanan Putrajaya dan majalah Kawan terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd., Walkathon Fun in The Park mengkehendaki para peserta berjalan sejauh satu kilometer sambil melaksanakan pelbagai cabaran dan mengumpul maklumat yang boleh dilihat pada bangunan dan monumen.
Bermula di mercu pencapaian negara, Monumen Alaf Baru Presint 2, Putrajaya, ia nyata satu lokasi yang baik untuk kanak-kanak mengimbas sejarah kegemilangan negara sekali gus membakar semangat mereka untuk meneruskan kegemilangan itu.
Ia dibahagi kepada dua kumpulan iaitu kategori murid sekolah rendah dan sekolah menengah. Para peserta sedia menghadapi cabaran pada setiap check point yang disediakan. Bergerak secara berkumpulan, peserta perlu menyelesaikan masalah yang diberi sebelum meneruskan perjalanan menuju ke garisan penamat dekat Taman Pancarona di Presint 18.
Antara cabaran yang perlu diselesaikan peserta adalah membina bangunan menggunakan straw dan menjawab beberapa soalan mengenai kawasan Putrajaya.
Bagi kanak-kanak itu, cabaran yang dikenakan agak sukar, tetapi ia tetap menghiburkan. Lebih manis lagi, atas usaha keras merentasi semua halangan, setiap peserta diberi pelbagai barangan sagu hati daripada penaja. Ia termasuklah hamper daripada penaja bersama program itu, Kelab Nuri Bank Rakyat.
Acara walkaton itu dirasmikan oleh Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman. Beliau memberitahu, Monumen Alaf Baru dan Taman Pancarona dipilih untuk acara itu kerana ia tempat yang sesuai bagi aktiviti riadah dan santai sambil menikmati keindahan landskap dan pemandangan tasik yang damai.
Tambahnya, keunikan Monumen Alaf Baru bukan sahaja pada reka bentuk monumennya, bahkan juga himpunan sejarah yang boleh didedahkan kepada kanak-kanak.
Sambutan Hari Kanak-Kanak itu merupakan tahun kedua ia diraikan di Putrajaya.
"Selain acara walkaton, acara lain yang diadakan adalah pertandingan mewarna dan futsal peringkat sekolah rendah.
"Penyertaan adalah percuma, selari dengan matlamat kami untuk menerapkan nilai cintakan alam sekitar kepada masyarakat di negara ini di peringkat kanak-kanak lagi," ujarnya.
Menurut seorang peserta yang baru pertama kali menyertai aktiviti seumpama itu, Rahaina Md. Norazman, 14, menyertai program itu berjaya menerapkan nilai-nilai positif pada kanak-kanak.
"Sambil berlari, ada cabaran yang perlu diselesaikan. Masa nak selesaikan cabaran itulah yang buat kami jadi lebih akrab dan saling membantu," ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya, Presint 16 (1) ketika ditemui Kosmo!.
Sambung Rahaina lagi, sepanjang larian, banyak bangunan pentadbiran dan taman-taman tarikan di Putrajaya telah direntasinya.
Oleh sebab itu, mereka merasakan ia adalah aktiviti yang sihat untuk tubuh dan minda bagi golongan pelajar sepertinya.
"Tugasan tiup belon pun ada. Habis merah muka sebab dalam belon itu, ada pewarna," ujar Rahaina gembira ketika ditemui dekat lokasi garisan penamat.
Ia turut diakui seorang pelajar, Nuraini Nadhirah Anuar, 14, yang ditemui di garisan penamat acara itu.
"Banyak sejarah yang saya dapat lihat di sini. Selain itu, kami juga lebih mengenali kawasan sekitar tempat tinggal kami," katanya.
Tiba di Taman Pancarona, pelbagai acara dan pameran menanti peserta dan orang awam di situ. Selain permainan futsal dan pertandingan mewarna, persembahan pentas turut diadakan.
Antara yang menyeronokkan apabila pelawak terkenal Ropi dari kumpulan Cecupak datang menghiburkan mereka selepas penat menyelesaikan cabaran pada pagi itu.
|
|
Turut menjadi tarikan acara itu adalah persembahan pakaian beragam oleh kanak-kanak. Dua peserta mengambil bahagian. Seorang memakai gaun pengantin, menakala seorang lagi memakai pakaian tradisional masyarakat India. Sesuai dengan lagu iringan, persembahan dua kanak-kanak itu memukau pengunjung.
Turut mengakui keseronokan program itu ialah Nurul Hidayah Miswan, 30, guru dari sekolah berdekatan.
"Saya datang bawa anak-anak murid. Mereka ternyata seronok dengan aktiviti seperti ini. Saya harap ia akan diteruskan pada masa akan datang," ujarnya.
Sementara rakan Nurul, Errwan Dzul Kinani, 30, ingin menceritakan sesuatu yang menarik terjadi pada dirinya di atas pentas utama acara itu.
"Lawak betul Ropi! Saya naik ke pentas untuk menyahut cabaran dia menjadi lelaki seksi. Saya disuruh menari lagu dangdut yang membuatkan semua orang gelak tengok saya," luah Errwan sambil ketawa.
"Saya harap, program seperti ini dapat diadakan pada masa akan datang," tambahnya yang baru pertama kali merasa pengalaman aktiviti itu di Putrajaya kerana sebelum ini, beliau bertugas sebagai guru di Terengganu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: