TELEKOM Malaysia Berhad (TM) dua hari lalu melancarkan portal muziknya yang diperbaharui, Hypptunes (www.hypptunes.com.my) di samping sesi sidang media untuk mengumumkan penajaan TM untuk konsert Hypptunes Rock The World 9, yang akan diadakan pada 19 Disember depan di Sunway Lagoon, Petaling Jaya.
Hypptunes merupakan sebuah portal muzik yang menawarkan kemudahan membuat turun lagu penuh yang sah di sisi undang-undang.
Bersama dengan wajah yang baru yang lebih segar, ciri-ciri yang lebih senang digunakan dan pelbagai pilihan lagu dari artis tempatan dan antarabangsa, laman web ini bersedia untuk menarik perhatian pencinta muzik di serata dunia.
Ia menawarkan muzik dari pelbagai genre, dari lagu etnik, tradisional ke moden, klasik ke kontemporari serta tempatan dan antarabangsa dan juga muzik dari artis-artis saluran utama serta indie dari seluruh dunia.
Ianya mengandungi lebih daripada beberapa ratus ribu lagu dari artis antarabangsa dan tempatan dan ada di antaranya hanya ditawarkan secara eksklusif menerusi Hypptunes.
Muzik portal ini juga menyediakan maklumat mengenai penerbitan muzik terkini, ulasan serta maklumat terkini mengenai muzik tempatan dan antarabangsa.
Menurut Naib Presiden Eksekutif, segmen pengguna, TM, Jeremy Kung, Hyptunes adalah sebahagian dari rancangan TM untuk menawarkan lebih kandungan tempatan dan antarabangsa untuk pelanggan jalur lebar Malaysia.
“Sepanjang tahun ini, TM telah berusaha untuk menawarkan kandungan tempatan dan antarabangsa untuk pelanggan kami dan pengguna internet.
“Hypptunes adalah salah satu dari saluran kami yang disediakan untuk para pengguna internet di Malaysia.
“Selain berfungsi sebagai muzik portal di mana para pengguna boleh memuat turun lagu, Hypptunes berhasrat untuk tampil berbeza menerusi slogannya, ‘Muzik Sebenar untuk Orang Sebenar’ (Real Music For Real People).
“Antara lainnya kami ingin membina sebuah komuniti muzik indie di portal kami yang merangkumi dan menawarkan apa jua semua mengenai dunia indie, dari muzik, maklumat mengenai artis, konsert dan pelbagai lagi.
“Di samping itu, Hypptunes juga memberi peluang kepada artis berbakat yang belum mempunyai album rakaman untuk memuat naik muzik ‘original’ mereka menerusi portal muzik kami untuk ulasan dan pembelian,” katanya.
Kini fail yang boleh dimuat turun terdapat dalam format Microsoft WMA, disimpan menerusi teknologi hak pengurusan digital (DRM) dan juga format MP3.
Kadar bit yang ditawarkan adalah 256K. Disamping itu, semua muzik yang telah dimuat turun menjadi kepunyaan pengguna secara tetap dan tiada sebarang yuran pengaktifan bulanan dikenakan.
Hypptunes kini boleh diakses oleh semua pengguna internet. Pembayaran boleh dibuat menerusi perkhidmatan prabayar TMNet prepaid dan akaun Streamyx, serta menerusi kad kredit.
Untuk mula menikmati muzik hebat menerusi Hypptunes, layari www.hypptunes.com.my dan daftarkan diri sebagai ahli. Untuk maklumat lanjut mengenai TM, layari laman web korporat kami di www.tm.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: