Friday, November 6, 2009

Tembok pemisah ideologi

Runtuhnya tembok Berlin mengimbau sejarah penyatuan antara Jerman Timur dan Jerman Barat yang kini menjadi sebuah negara Jerman yang sangat besar.




"Ini perkara yang sangat emosi bagi saya," ujar Gerhard Kriedner, 69, salah seorang daripada 90 artis yang terlibat dalam aktiviti mengecat semula mural dinding Tembok Berlin, Jerman baru-baru ini.

Dia bukan sekadar terlibat dengan aktiviti sempena ulang tahun ke-20 runtuhnya Tembok Berlin itu, malah Kriedner sebenarnya adalah antara individu yang berjaya merentas 'tembok sempadan' itu, dari Jerman Timur ke Jerman Barat semasa muda.

"Tembok ini berdiri sebagai lambang kurangnya kebebasan pada waktu itu," katanya yang mengecat semula mural yang pernah dilukisnya selepas sebulan runtuhnya tembok itu pada 9 November 1989.

Pada 9 November ini, rakyat Jerman akan menyambut ulang tahun memperingati runtuhnya Tembok Berlin yang genap dua dekad. Tembok yang menjadi simbolik Perang Dingin itu dibina selepas Perang Dunia Kedua pada 13 Ogos 1961.




Pembinaan tembok itu telah tercatat dalam rangkuman sejarah dunia. Ia bukan sekadar tembok, sebaliknya ibarat tirai besi yang menjadi garisan pemisah antara penduduk Jerman Barat dan Jerman Timur.

Menurut laman web The History Channel dan wikipedia.com, tembok itu dibina mulai 13 Ogos 1961 iaitu selepas 15 tahun Jerman Timur ditubuhkan. Idea pembinaan tembok itu datang daripada pemimpin Jerman Timur sendiri, Walter Ulbricht dan diluluskan oleh pemimpin Rusia ketika itu, Nikita Khrushchev.

Ini kerana, mereka tidak mahu lagi tenaga kerja muda yang produktif dari Jerman Timur berhijrah ke Jerman Barat yang dikuasai oleh Perancis, British dan Amerika Syarikat (AS). Dilaporkan, sebelum tembok itu didirikan, kira-kira 3.5 juta penduduk Jerman Timur telah berhijrah ke Jerman Barat.

Menurut pensyarah kanan Program Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Ahmad Nidzamuddin Sulaiman, tembok itu dibina hanya kerana ada perbezaan ideologi sahaja.

"Pada masa itu, Jerman Timur dibentuk oleh Kesatuan Soviet yang mana mereka diperintah ikut cara komunis, manakala Jerman Barat pula diperintah ikut cara kapitalis AS," ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Runtuhnya tembok itu telah menyebabkan penyatuan semula antara Jerman Timur dan Jerman Barat sekali gus membentuk sebuah negara Jerman yang besar seperti hari ini.


Blok-blok monumen Tembok Berlin untuk memperingati sejarah.


Tembok itu pada awalnya bukanlah berupa tembok batu, sebaliknya bermula dengan pagar. Ia kemudian dibaiki sebagai pagar berduri antara tahun 1962 hingga 1965. Tembok batu hanya dibina pada tahun 1965.




Terdapat 116 menara tinjau dan lapan pintu masuk bagi lawatan rasmi dari Jerman Barat ke Jerman Timur. Di situ, terdapat beberapa pintu digunakan untuk berhubung dengan negara Poland, Czechoslovakia dan Denmark. Perjanjian pada 1972 telah membuka pintu masuk itu dengan lebih luas.

Sepanjang tempoh tembok itu berdiri teguh (1961-1989), banyak impak negatif berlaku pada Jerman Timur selaku pembinanya sendiri.

Ketika Jerman Barat yang dibangunkan kapitalis Barat berasaskan ekonomi pasaran bebas terus mengecapi kekayaan, keadaan sebaliknya berlaku di Jerman Timur. Ini kerana mereka masih mengamalkan kerajaan autokratik dan berkiblatkan komunis Soviet Union.

Tembok itu bukan sekadar tembok sempadan, bahkan ada peristiwa berdarah dan ada keluarga yang terpisah. Bilangan penduduk Jerman Timur yang mati turut meningkat.

Sebanyak 239 terbunuh ketika menyeberangi tembok setinggi 3.6 meter sepanjang lebih 140 kilometer itu. Ramai yang turut cedera.


PENDUDUK Berlin meraikan runtuhnya Tembok Berlin pada 1989.


Antara yang menjadi mangsa ditembak kerana cuba menyeberangi tembok itu ialah Peter Fechter yang ditembak pada 17 Ogos 1962. Sementara orang terakhir ditembak kerana kesalahan melintasi Tembok Berlin ialah Chris Gueffroy pada 6 Februari 1989.

Hanya 5,000 individu yang berjaya menyeberangi tembok itu untuk berhijrah dari Jerman Timur ke Jerman Barat.

Untuk melepasinya pula, ada yang cuba terjun dari bangunan di tepi tembok. Ada yang membina pesawat kecil dan mendarat di Berlin Barat.

Hampir menyamai fungsi Tembok Besar di China, tembok itu bagaimanapun tidak memisahkan aspek lain seperti sosial dan budaya.


Hanya bahagian tembok batu ini dikekalkan sehingga sekarang sebagai tinggalan sejarah.


Kekayaan yang dimiliki Jerman Barat turut mendorong bekas Menteri Luar Jerman iaitu Hans-Dietrich Genscher melarikan diri dari Jerman Timur ke Jerman Barat.

Penganalisis politik tempatan, Profesor Mohammad Agus Yusoff, memberi pandangan bahawa, pembinaan tembok itu akhirnya telah dimanipulasikan untuk memburukkan Jerman Timur dan sistem komunis.

"Pembinaan tembok itu ibarat memberi makna bahawa komunis bermakna tirai besi atau hidup dalam tembok batu," ujarnya.

Proses liberisasi lewat 1980-an telah membawa kepada keruntuhan Kesatuan Rusia hingga membenarkan pendemokrasian Jerman Timur.

"Demonstrasi demi demonstrasi juga telah dibenarkan di Jerman Timur kerana pada tahun 1987, kemelesetan ekonomi dunia merosot begitu teruk.

"Kesatuan Sekerja mengambil alih corak kepimpinan kerajaan Jerman Timur dan mendesak Tembok Berlin diruntuhkan agar mereka mudah bekerja di Jerman Barat yang menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan," kata Mohammad Agus.

Tembok yang dibina oleh pihak Jerman Timur itu akhirnya dimusnahkan sendiri oleh mereka. Siapa sangka ketika itu, pembinaan tembok yang mengambil masa beberapa tahun dan menelan kos yang tinggi, diruntuhkan hanya dalam beberapa minggu sahaja.

Akhirnya pada 3 Oktober 1990, berlakulah penggabungan Jerman Barat dan Jerman Timur.


KEJAM. Sesiapa cuba menyeberangi tembok ini akan ditembak.


Penggabungan itu menguatkan lagi Kesatuan Eropah, dolar Eropah dan menjadi saingan kuat kepada kuasa AS.

Bagaimanapun hari ini, tembok itu masih mempunyai saki-baki. Ia hanya blok simen biasa. Tetapi ia tidak mungkin akan dilupakan kerana ia amat bermakna pada dunia dan masyarakat Jerman sendiri.

"Runtuh tembok Berlin, runtuh juga komunis. Apa yang tinggal hanya sejarah. Jika tembok itu hilang sekali pun, sejarah mengenainya tidak akan hilang," ujar Mohammad Agus.

Ironinya, bekas Presiden Kesatuan Soviet, Mikhail Gorbachev baru-baru ini mengakui berasa bangga dengan peranannya yang menyebabkan runtuhnya Tembok Berlin.

Gorbachev berkata demikian sebagai membalas kritikan pelbagai pihak dari Rusia yang menuduh beliau sebagai punca Kesatuan Soviet berpecah.

"Saya berasa bangga bahawa kita, iaitu negara di Barat dan Timur Eropah berjaya menemui satu pendekatan yang mengambil kira kepentingan semua pihak," ujarnya.

Beliau juga membayangkan bahawa pemimpin pada masa itu sebenarnya tidak mempunyai pilihan, melainkan menamatkan persengketaan antara Jerman Timur yang merupakan negara Komunis dengan Jerman Barat yang disokong oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

"Ia bukan perkara memalukan. Faktanya sebelum ini, terdapat sebuah negara yang terbelah dua yang terletak di tengah Eropah, di tengah dunia serta mempunyai populasi yang ramai," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: