Saturday, November 21, 2009

'Tak kena-mengena dengan saya'


KEPUTUSAN pelakon Nora Danish berundur diri daripada drama Spa Qistina baru-baru ini mengejutkan industri hiburan tanah air. Malah, alasan diluahkannya juga berkait rapat dengan babak akan dilakonkan dengan aktres sensasi, Nur Fasha Sandha Hassan.

Pelakon sitkom Puteri itu dikatakan masih mencari ruang untuk memaafkan Fasha atas apa yang berlaku pada rumah tangganya dengan bekas suami dan memberi syarat kepada penerbit, Global Station Sdn Bhd untuk tidak mempertemukan dirinya dengan Fasha di lokasi.

Bagaimanapun, Nora kecewa dengan sikap penerbit yang disifatkannya tidak peka dengan syarat diberikan hingga dia dan Fasha berada di lokasi sama, baru-baru ini. Nora dicop sebagai pelakon bermasalah kerana bertindak mengikut emosi dan tidak profesional.

Dalam ruangan Soseh-Soseh bertajuk Luka sembuh, parut tetap ada' kelmarin, ada peminat meluahkan rasa kesalnya kerana Nora dicop tidak profesional sebaliknya Fasha dilihat menang dalam konflik ini. Alasannya, apabila berkaitan soal perasaan memang sukar bagi Nora untuk berhadapan dengan Fasha yang pernah mengalami perceraian ketika diri berbadan dua.

Fasha berkata, sama ada Nora mahu memaafkannya atau tidak, terpulanglah wanita beranak satu itu. Katanya Nora berhak membuat apa saja keputusan kerana dia yang empunya diri.

"Apa yang pasti, saya mengenali bekas suami Nora sejak mereka belum berkahwin. Bagaimanapun, disebabkan banyak prasangka buruk mengenai kami, saya mengambil tindakan tidak lagi berhubungan dengannya. Kisah kami 'hanya kawan' yang sudah berlalu.

"Malah, sekarang ini pun saya lebih selesa memberi tumpuan soal karier berbanding peribadi. Tambahan pula, rezeki berlakon pun semakin 'murah' termasuk sebagai duta produk. Setakat ini, kontrak bersama produk Garnier sudah tahun keempat, manakala Habib Jewel (kedua).

"Bukan itu saja, sekarang saya sedang menyiapkan penggambaran telefilem Aidiladha, Khilaf arahan Yeop Hitler Zami. Begitu juga, Disember ini akan terikat dengan penggambaran Spa Qistina yang kini ditangguhkan dan kemungkinan Mac, akan berlakon filem.

"Justeru, saya berasa apa yang berlaku pada Nora tiada kena-mengena dengan saya kerana itu membabitkan urusannya dengan pihak produksi. Maaflah, saya tidak boleh memberi komen lanjut terhadap perkara berkenaan," katanya.

Dalam Spa Qistina, Fasha membawa watak antagonis, Frieda. Katanya, watak itu cukup mencabar kerana dia menjadi punca pada krisis yang dihadapi keluarga Qistina.

"Saya tidak nafikan jika penonton menyaksikan lakonan ini pasti menganggap itulah realiti sebenar. Apapun, saya tidak kisah dan terima saja segala pandangan orang.

"Sebagai pelakon, saya hanya melaksanakan tanggungjawab terhadap karier diceburi. Justeru, semua situasi yang berlaku dianggap remeh dan bukan masalah saya," katanya.

Kata Fasha, memang banyak perkara sedih pernah dilaluinya, tetapi dia tenang dan mengelak berfikiran negatif. Disebabkan itu, dia kuatkan semangat menempuh dugaan kerana yakin berpandangan positif mampu menghilangkan kedukaan hati.

Fasha kini tidak seperti dulu. Kalau dulu, dia suka bermain teka-teki mengenai kisah peribadi terutama cinta, sekarang dia cukup terbuka kepada media untuk berterus terang mengenai apa saja yang dilaluinya.

Bahkan Fasha sedia menjawab setiap soalan diajukan padanya dengan tenang kerana enggan berdepan masalah dengan media. Baginya, apa yang berlaku dulu sangat memberi pengajaran dan berterima kasih atas peluang kedua ini.

"Cukuplah apa yang berlaku dulu dan sekarang saya bersyukur kerana pihak media sudah boleh memaafkan dan menerima diri ini semula. Justeru, dengan peluang kedua diperoleh itu saya akan gunakan sebaik mungkin tanpa melukakan hati sesiapa lagi.

"Lagipun, buat apa saya mahu berselindung perkara yang betul. Setakat ini, apa ditulis media mengenai hubungan saya dan bekas teman lelaki dulu memang betul. Jadi, tidak wajar untuk saya menidakkan kebenaran. Apapun, umum mengetahui hubungan itu sudah berakhir.

"Saya menerima ketentuan ini (putus cinta) dengan tabah dan reda. Malah, saya bersyukur masih kuat hadapi dugaan yang tidak tahu bila penghujungnya. Saya juga akur tidak semua yang dirancang dalam hidup ini menjadi kenyataan seperti diharapkan.

"Namun, terus terang dikatakan kontroversi dengan lelaki dikaitkan dengan saya sedikit pun tidak mengganggu karier seni ini.

"Boleh dikatakan, buat masa ini karier saya berjalan lancar kerana sokongan diberikan keluarga dan peminat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: