Majalah terbitan Kumpulan Karangkraf, Remaja bekerjasama dengan MyTV3 baru-baru ini telah menganjurkan satu aktiviti sukan ekstrem di kalangan ahli MyTV3, pembaca setia Remaja, wartawan dan juga artis.
Aktiviti yang diadakan di Alang Sendayu, Batu 12, Gombak itu dianjurkan bersempena untuk mendekatkan peminat dengan artis-artis pujaan mereka di samping mengeratkan hubungan korporat kedua-dua pihak antara Remaja dan MyTV3.
Pada hari tersebut, kesemua peserta diberi peluang untuk menunggang kenderaan lasak ATV dan buggy. Dengan diketuai oleh seorang marsyal, peserta dibawa untuk mengharungi laluan berlumpur dan berbukit bukau dalam sebuah hutan di kawasan rekreasi Alang Sendayu tersebut.
Antara artis yang sanggup menyahut cabaran sukan lasak ini ialah Tuah Zoqarnain, Chaq, Fazren dan juga Shahz Jazle serta personaliti TV3, Syira Aiyob.
Semua yang terbabit dalam aktiviti itu mula berkumpul di hadapan Zoo Negara, Ulu Klang pada jam 9.30 pagi dan berkonvoi beramai-ramai menuju ke Gombak.
Setibanya di sana, peserta yang terdiri daripada 21 orang itu dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk memulakan aktivit ekstrem tersebut secara bergilir-gilir.
Semua kenderaan lasak ATV dan buggy itu ditaja oleh syarikat G-Moto Sport Sdn Bhd. Sebanyak enam ATV dan sebuah buggy disediakan untuk kegunaan para peserta menyahut cabaran sukan lasak ini. Syarikat ini adalah satu-satunya pengusaha yang menjalankan perniagaan menyewa kenderaan tersebut di seluruh Malaysia.
Menurut Fazren yang popular menerusi drama Spa-Q ini, aktiviti sebegini seharusnya diadakan selalu bagi merapatkan hubungan peminat dan artis pujaan mereka di samping mengeratkan lagi hubungan antara artis dan wartawan yang selama ini banyak membantu karier mereka.
Bagi pelakon drama bersiri Tari Tirana, Shahz Jazle pula; “Ini adalah sesuatu yang menarik dan mencabar fizikal dan mental. Di samping mengeratkan hubungan antara peserta, sukan ini juga memberi satu pengalaman baru kepada saya.”
Sukan ekstrem menunggang ATV dan memandu buggy merupakan sesuatu yang baru dalam arena sukan tempatan. Atas faktor ini, penyampai radio Suria FM, Tuah setuju untuk mengikuti aktiviti ini.
“Sukan ini adalah sesuatu yang baru di Malaysia. Jadi pengalaman sebegini tidak harus dilepaskan oleh sesiapa sahaja. Ianya sesuatu yang menyeronokkan,” jelas Tuah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: