Friday, November 13, 2009

Rintihan hiba bakal pengantin

menunjukkan bunga plastik yang terselamat dalam banjir." title="SELAMAT ...Nurul Hasrin (kanan) dan ibunya, Supiah
menunjukkan bunga plastik yang terselamat dalam banjir." border="0" width="300" height="233">

LENGGONG: ‘Hanya ini yang tinggal’. Demikian rintih bakal pengantin, Nurul Hasrin Abdul Hamid, 24, sambil menunjukkan dua jambak bunga pelamin dan bunga bilik tidur yang dapat diselamatkan akibat banjir menjelang hari bahagianya.

Nurul Hasrin berputih mata apabila semua kelengkapan persediaan perkahwinan seperti barang hantaran yang siap digubah dan wang tunai lebih RM2,000 hilang dihanyutkan banjir kilat yang melanda rumah orang tuanya di Kampung Bor, dekat sini, kira-kira jam 1.15 pagi semalam.

Beliau berkata, dia pulang ke kampung untuk menziarahi arwah bapa saudara yang meninggal dunia dan tiba di rumah kira-kira jam 11 malam semalam (kelmarin).

“Saya turut mengambil kesempatan untuk memeriksa semua peralatan perkahwinan yang saya dan ibu beli serta hias sejak dua bulan lalu. Saya gembira kerana semuanya lengkap dan sedia untuk digunakan pada hari paling bahagia saya nanti.

“Namun apakan daya, kecuali sejambak bunga pelamin dan bunga bilik tidur, semua peralatan perkahwinan saya termasuk kain pelamin, langsir, bunga telur, almari, set perabot perkahwinan serta beberapa periuk kenduri hilang dihanyutkan banjir yang mencecah sehingga satu meter dalam rumah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Insiden itu menyebabkan Nurul Hasrin kini buntu kerana dia akan melangsungkan perkahwinannya pada 19 Disember depan.


Mengulas kejadian semalam, dia yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Besar Pulau Pinang sejak setahun lalu, berkata kejadian berlaku terlalu pantas.

“Saya sedang tidur apabila ibu, Supiah Husin, 48, tiba-tiba menjerit mengatakan rumah kami dimasuki air. Sebaik terjaga, saya terkejut apabila melihat air memenuhi lantai rumah.

“Keadaan agak cemas kerana air naik mendadak dan deras menyebabkan saya tidak sempat menyelamatkan wang lebih RM2,000 yang disimpan ibu untuk majlis perkahwinan saya.

“Selain itu, kami gagal menyelamatkan semua peralatan perkahwinan dan barangan berharga termasuk dokumen penting apabila diarahkan bapa, Abdul Hamid Deraoh, 52, bersama empat lagi adik saya, supaya keluar menyelamatkan diri dan berlindung di Sekolah Kebangsaan Banggol Belimbing kira-kira 200 meter dari rumah,” katanya.

Menurutnya, dia sudah memaklumkan kejadian itu kepada bakal suaminya, Saharul Mat Isa, 27, yang bertugas di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, pagi semalam.

Beliau berkata, bakal suaminya meminta dia dan keluarga bersabar dan bersyukur kerana mereka terselamat tanpa sebarang kecederaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: