GANDINGAN hebat Datuk Khadijah Ibrahim -Ramli Sarip nampaknya akan berterusan dalam konsert “An Evening with Dato’ Khadijah Ibrahim featuring Ramli Sarip” pada 4 Disember 2009.
Konsert ini akan berlangung di Convention Hall, Tingkat 3, Persada Johor, Johor, anjuran bersama Persada Johor International Convention Centre dan Puteri Pacific Johor Bahru.
Khadijah atau Kathy juga akan menyampaikan lagu-lagu popularnya seperti Doa Buat Kekasih dan Kupendam Sebuah Duka pada konsert satu setengah jam itu.
Konsert yang berserta dengan makan malam ini juga akan dimulakan dengan persembahan Jay Jay CAREFREE.
Manakala tiket untuk persembahan itu berharga RM 180, RM225 dan RM 295 untuk seorang.
Khadijah yang mula menempa nama pada tahun 1978, merupakan antara penyanyi yang mampu bertahan dalam bidang nyanyi selama 30 tahun.
“Ada kejutan untuk penonton yang menonton konsert saya pada hari itu. Oleh itu datanglah dan berikan sokongan untuk menjayakannya,” ujar Khadijah dalam satu sidang akhbar yang diadakan di restoran miliknya, 'Khadijah's Kitchen' di Petaling Jaya semalam.
Sementara itu, Ramli Sarip yang popular dengan gelaran “Bapa Rock Malaysia” berkata penglibatan dalam konsert itu dianggap sebagai tugas.
“Kita mestilah bantu-membantu sesama sendiri kerana ini membantu industri muzik untuk berkembang maju,” jelas Ramli.
Penyanyi dari Singapura itu juga menambah beliau banyak menerima maklum balas daripada peminat serta rakan medianya yang berkata, kebanyakkan daripada lagu-lagu sekarang sukar diterima.
“Ini mungkin pada mereka lagu-lagu kini sukar difahami,” tambah Ramli.
Apabila ditanya mengenai rahsianya kerana masih aktif menyanyi walaupun sudah mencecah usia emas, Ramli berkata beliau menjaga pemakanannya.
“Saya selalu jaga apa yang saya makan dan makan semuanya dengan kadar yang sederhana (moderation).
“Saya juga mengamalkan senaman asas setiap hari,” jelas penyanyi Rock itu lagi.
Bercakap mengenai perkembangan terbarunya, penyanyi yang sibuk dengan projek album baru itu berkata, album barunya dijangka akan dilancarkan pada tahun depan.
Tambahnya lagi antara rahsia seseorang artis dapat bertahan lama dalam industri seni adalah pakej yang dimiliki penyanyi itu sendiri.
“Seseorang penyanyi itu mestilah mengenali kelebihannya.
“Sesetengahnya mempunyai vokal yang kuat dan mereka tidak perlu menari atau beraksi di atas pentas untuk menarik hati penonton.
“Jika mereka sedar suara mereka sahaja tidak mencukupi, maka mereka perlulah menjadi seorang penyanyi dan penghibur untuk terus kekal dalam industri nyanyian ini.
Menurutnya lagi, bergelar anak seni ini bukan mudah kerana ianya memerlukan pengamatan dan pengalaman untuk menjadi seorang anak seni yang berjaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: