Friday, November 13, 2009

Panggung wayang bersistem digital tiga dimensi di Kuantan


DARI kiri: Tew Kim Tim, Mohammed Mohd. Daud, Irving Chee dan Zailan merasmikan cawangan baru GSC di East Coast Mall, Kuantan.


KUANTAN - Golden Screen Cinemas (GSC) muncul sebagai pengendali panggung wayang pertama yang menyediakan sistem projektor digital tiga dimensi (3D-DPS) di pantai timur apabila cawangan terbarunya dibuka di East Coast Mall (ECM) di sini semalam.

Pengurus Besar GSC, Irving Chee berkata, pembukaan cawangan baru tersebut melibatkan pelaburan sebanyak RM16 juta termasuk pemasangan 3D-DPS di semua sembilan panggung yang disediakan di ECM.

"GSC buat pertama kalinya akan memasang 3D-DPS di pantai timur pada bulan Disember ini. Menjelang 2010, kira-kira 15 filem 3D akan ditayang di ECM dan ia memberi pengalaman baru kepada penonton yang menggemari filem animasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian cawangan GSC di ECM di sini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohammed Mohd. Daud; Pengarah Eksekutif ECM, Datuk Seri Tew Kim Tim dan Pengarah ECM, Datuk Zailan Abd. Ghapar.

Tambah Chee, sebagai promosi sehingga Disember ini, GSC di ECM menawarkan satu pas masuk percuma kepada orang ramai dengan setiap pembelian dua tiket selain akan menerima beberapa cenderahati menarik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: