Saturday, November 21, 2009

Mula hilang seri


Cameron Diaz

Pengkritik berpendapat kerjaya Cameron Diaz dalam bintang filem sudah berada di penghujung

KERJAYA lakonannya mula memuncak apabila dia membintangi filem The Mask, kisah lelaki yang dikurniakan kuasa luar biasa sebaik saja memakai topeng lakonan Jim Carrey. Nama Cameron Diaz kemudiannya terus menjadi sebutan apabila dia membintangi filem My Best Friend's Wedding, bersama pelakon handalan lain iaitu Julia Roberts diikuti filem Charlie's Angels yang pernah mencetuskan fenomena sewaktu disiarkan di kaca televisyen suatu ketika dulu.

Sejak itu, si pemilik nama penuh Camero Michelle Diaz tidak menoleh ke belakang lagi dan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pelakon wanita hebat di Hollywood walaupun ramai yang menyifatkan kejayaannya itu hanya bersandarkan wajah jelitanya. Namun, benarkah wanita ini menempa nama dalam bidang lakonan hanya kerana wajah dan bukannya kerana bakat? Andai benar populariti yang dikecapinya itu hanya berasaskan wajah serta tubuhnya yang seksi pastinya jangka hayat pelakon ini tidak akan kekal lama.

Pun begitu, selepas mengimbas kembali kedudukan pelakon ini dalam carta lakonan Hollywood, ramai pengkritik berpendapat kerjaya lakonan Cameron kian berada di penghujungnya. Apakah ini semuanya berpunca apabila kecantikan yang dimilikinya itu mulai pudar dan kini seri itu dikatakan semakin hilang dari pandangan seperti yang dilihat dalam filem lakonannya sejak kebelakangan ini.

Lebih memburukkan keadaan, dia kini sudah jarang menerima watak yang mampu mencabar kredibilitinya sebagai seorang pelakon sehingga dirinya dibayangi pelakon lain yang diakui hebat dan pernah memenangi Oskar seperti Kate Winslet dan Angelina Jolie. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, filem terbaru, The Box lakonan Cameron juga dipilih sebagai salah satu filem terburuk tahun ini oleh kebanyakan pengkritik filem.

Ramai juga yang membuat andaian bahawa kegagalan filem ini memberi petanda bahawa karier Cameron juga bakal berakhir. Bukan saja dikatakan gagal membawakan wataknya sebagai Norma dengan baik, malah dia juga didakwa membuat keputusan yang silap apabila membintangi filem itu.



Pun begitu, pelakon berusia 37 tahun tidak melihat perkara itu sedemikian sambil memberi alasan mengapa dia menerima tawaran untuk berlakon di bawah filem arahan Richard Kelly itu.

"Saya melihat ada kisah cinta yang cuba ditonjolkan pengarah dalam filem ini. Tapi apa yang lebih membuatkan saya tertarik adalah filem ini menjelaskan mengapa manusia buat apa yang dia ingin buat, makna seorang insan serta apakah kita dibenarkan untuk membuat keputusan seperti ini walaupun kita tahu kesannya. Filem ini mengajar saya bahawa setiap keputusan yang dibuat pasti akan ada akibatnya dan apa yang lebih penting ia mempunyai moral yang baik untuk penonton," kata Cameron dalam satu temu bual.

Walaupun ramai yang mengatakan kerjaya lakonan Cameron bakal berakhir namun tawaran berlakon masih diterima wanita yang bernaung di bawah zodiak Libra ini

Terbaru, Cameron bakal membintangi sebuah filem hebat arahan Michel Gondry, The Green Hornet yang akan menyaksikan dia bergandingan dengan pelakon Seth Rogen.

"Saya memang teruja dan tak sabar untuk ke lokasi filem ini apatah lagi apabila saya akan digandingkan bersama Michel Gondry dan Seth Rogen. Bukan saja teruja untuk berlakon bersama mereka tapi saya juga seronok dengan segala perkara yang membabitkan filem ini," tutur Cameron.



Tidak mahu tergesa-gesa berkahwin



RAMAI orang menyangkakan yang pelakon jelita ini adalah seorang yang terburu-buru dalam soal perkahwinan dan ingin lekas membina keluarga sendiri. Namun bagi si empunya diri, perkara itu adalah sebaliknya.

"Saya mempunyai kehidupan yang sukar untuk dipercayai. Apa yang boleh saya katakan, buat masa ini saya tak pernah terfikir untuk berkahwin kerana saya rasa bahagia dan selesa dengan kehidupan sekarang," katanya ketika ditemubual majalah Parade.

Ditanya soal anak, Cameron berkata dia tidak berfikir ke arah itu walaupun ramai yang menganggap dia bakal mempunyai bayi sendiri satu hari nanti.

"Saya nikmati kehidupan yang saya ada ketika ini adalah kerana saya tidak mempunyai anak. Saya tak fikir dengan mempunyai anak saya mampu menikmati kehidupan seperti ini dan begitu juga sebaliknya.

"Orang juga mungkin boleh membuat andaian bahawa mustahil saya tak mahu mempunyai zuriat sendiri tetapi apa yang boleh katakan adalah, apa yang saya lakukan sebenarnya tidak menjurus ke arah itu," katanya yang tidak mahu terlalu memikirkan soal anak.

Walaupun dia sering kecundang dalam percintaan, namun itu bukanlah halangan untuk Cameron bertemu lelaki yang boleh mengubat kelukaannya. Terbaru, pelakon ini dikatakan mempunyai hubungan intim dengan pelakon Sex and The City, Jason Lewis yang membawakan watak sebagai Smith Jared.

Menurut majalah Gracia, dua selebriti ini kelihatan berdua-duaan di pantai Venice sambil menikmati sushi. Majalah itu juga melaporkan, pasangan merpati dua sejoli itu juga kelihatan saling berpelukan dan seakan tidak mahu dipisahkan antara satu sama lain.

Sebelum ini, Cameron dan Lewis dikatakan berkawan baik. Cuma sejak beberapa bulan ini saja mereka kelihatan serius dalam perhubungan.



INFO

Nama penuh: Camero Michelle Diaz

Nama komersial: Cameron Diaz

Tarikh lahir: September 30, 1972

Umur: 37

Zodiak: Libra

Tempat lahir: San Diego, CA

Filem: The Mask, My Best Friend's Wedding, Charlie's Angels, Shrek, The Swetest Thing, Things You Can Tell Just By Looking at Her,Any Given Sunday, In Her Shoes, The Holiday, In Her Shoes, What Happens in Vegas, The Box and The Green Hornet

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: