Friday, November 13, 2009

Maria Farida Ghairah Jadi Datin?

Maria Farida tidak kisah sering 'disambar' produser untuk watak wanita seksi

HAMPIR 20 tahun aktres jelita ini berkecimpung di dalam bidang seni, namun tidak sekali pun dia mengeluh apabila dirinya sering ditawarkan dengan watak wanita seksi.

Akui Maria Farida, dia sendiri tidak tahu mengapa produser-produser gemar 'mencarinya' untuk watak-watak sedemikian, sedangkan dia juga pernah membuktikan keupayaan membawakan watak lain seperti gadis kampung dan sebagainya.

Namun kata pelakon berusia 39 tahun ini, jika imej seksinya yang dikatakan menjadi faktor dirinya sering diberikan dengan tawaran sedemikian, dia tidak kisah dengan tanggapan seperti.

Kata Maria, perkara itu tidak pernah melunturkan semangatnya. Malah, ibu tunggal kepada Mizan Ashley, 12, ini sentiasa berfikiran positif dan menganggap ia sebagai kepercayaan yang diberikan oleh pihak penerbit.

"Saya sudah lalui macam-macam perkara dan sudah lali dengan kata-kata orang tentang diri saya. Mereka boleh bercakap apa saja. Saya akui, dulu saya selalu risau kenapa asyik watak seksi, jahat dan mak datin yang sering saya dapat.

"Tapi lama-kelamaan saya terfikir, mengapa perlu saya risau dengan perkara seperti ini. Saya tidak mahu terlalu memilih kerana bidang lakonan adalah periuk nasi saya.

"Kalau saya asyik menolak saja tawaran untuk watak macam tu, nanti orang kata saya ni memilih sangat. Bagi saya, jika mereka tidak mahu letak saya untuk watak-watak lain, nak buat macam mana, kan?

"Sekurang-kurangnya, saya harus bersyukur kerana mereka masih percaya dengan bakat saya dan terus memberikan peluang walaupun ketika ini begitu ramai muka-muka baru di dalam bidang ini," kata Maria.

Terbaru, aktres ini sekali lagi diberikan peranan yang 'sama' menerusi filem terbarunya, Datin Ghairah yang selesai penggambarannya baru-baru ini.

Filem yang menyaksikan Maria memegang watak utama di layar perak setelah lebih 10 tahun ini bukan saja dilihat mampu menarik perhatian penonton menerusi tajuknya saja, malah penampilan Maria yang agak 'daring' di dalam filem arahan Sabree Fadzil itu juga dijangka bakal menjadi satu tarikannya.

Ujar Maria, walaupun filem itu belum lagi ditayangkan, dia sudah pun bersedia dengan kritikan yang mungkin akan dilemparkan kepadanya kelak gara-gara imej seksi dan menggoda yang ditonjolkannya di dalam filem tersebut.

"Saya rasa, penonton mungkin akan mengkritik cara pemakaian saya dalam filem tersebut. Tapi, saya tidak rasa ia terlalu 'over'. Nak kata saya seksi sangat pun, tidak lah juga.

Maria akan memegang watak utama di dalam filem Datin Ghairah yang akan ditayangkan tahun depan

"Orang dulu-dulu rasanya lebih 'daring' daripada orang sekarang, tetapi tidak pula diperkatakan. Bagi saya, janganlah menghukum terlalu awal dan asyik cari kesalahan orang saja.

"Tengoklah pula jalan ceritanya macam mana. Lagipun, ini adalah filem komedi dan sejujurnya, saya tidak rasa ia melampau," katanya.

Mengulas lanjut tentang filem tersebut, ujar Maria, dia langsung tidak mempunyai masalah untuk menerima tawaran membintangi filem tersebut kerana begitu teruja untuk bekerja di bawah arahan Sabree.

"Itu adalah sebab utama saya terima, selain kerana selesa bekerja dengan produksi De Baron Sdn Bhd yang menerbitkan filem ini. Apatah lagi saya juga berpeluang bergandingan dengan hero pujaan ramai, Aaron Aziz.

"Memandangkan saya sendiri sudah lama tidak memegang watak utama di dalam filem setelah Bisikan Cinta pada tahun 1995, saya rasa peluang seperti ini tidak patut saya sia-siakan," katanya lagi.

Filem ini berkisarkan tentang seorang datin bernama Gairiah yang mewarisi harta yang banyak setelah kematian suaminya. Kehidupannya yang kaya-raya membuatkan ramai lelaki ingin mendekatinya.

Datin Gairiah bagaimanapun jatuh hati dengan guru tusyen anaknya lakonan Aaron Aziz.

"Karektor saya bukan saja seksi, tetapi seorang yang moden, bergaya dan penggoda. Dari segi watak, rasanya tidak terlalu sukar buat saya kerana saya memang sudah biasa dengan watak-watak seksi seperti ini.

"Apa yang pasti, filem ini memang menyeronokkan. Nantikanlah saja tayangannya tahun depan, ye," tutur Maria dalam nada ceria.

Sementara menantikan tayangan filem itu, pelakon ini juga akan muncul di dalam tiga buah filem iaitu Senario The Movie Episode 2, My Spy dan Jalang.

Senario The Movie dan Jalang masing-masing akan ditayangkan pada 19 November dan 26 November manakala My Spy akan berada di pawagam pada 3 Disember depan.

Walaupun hanya membawakan watak sampingan di dalam ketiga-tiga filem itu, namun kata Maria, dia puas kerana masih berpeluang untuk beraksi di layar perak.

"Walaupun wataknya tetap seksi seperti biasa, tetapi saya gembira kerana dapat kembali berlakon filem. Agak lama juga saya tidak muncul di layar perak dan hanya fokus kepada drama saja," ujarnya yang bahagia dengan hidupnya kini meskipun sudah 10 tahun hidup menjanda.

Ditanya tentang kehidupannya kini, kata Maria, dia selesa menguruskan hidupnya sendirian bersama anak tercinta.

Malah, dia juga menyedari bahawa anaknya itu turut menunjukkan minat untuk bergelar pelakon.

"Tetapi buat masa ini, saya tidak mahu dia berlakon. Biarlah dia belajar dulu dan lepas habis sekolah nanti, barulah fikir sama ada untuk masuk bidang seni atau bidang yang lain," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: