|
|
KUALA LUMPUR - Seminggu selepas memfailkan permohonan pengesahan pernikahan, seorang warga Australia yang berasal dari Iraq terpaksa memohon perintah injunksi bagi menghalang isterinya yang telah terpisah sejak tujuh bulan lalu berkahwin dengan lelaki lain.
Saide Najim Alden Mohammad (gambar), 38, selaku plaintif memfailkan kedua-dua permohonan tersebut di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam menerusi peguam syarie, Zaini Zainol.
Terdahulu, pada 5 November lalu, ahli perniagaan yang telah menetap di Australia selama 11 tahun itu memfailkan permohonan untuk mengesahkan pernikahannya dengan wanita dikenali sebagai Nadia, 26.
Nadia merupakan seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Shah Alam.
Permohonan pengesahan nikah dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.
Bagi permohonan perintah injunksi untuk menghalang perkahwinan isterinya, ia dibuat mengikut Seksyen 199 dan 200 Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Menurut Zaini, pihaknya memfailkan kedua-dua permohonan tersebut bagi menghalang isteri anak guamnya bernikah lain kerana mereka adalah pasangan suami isteri sehingga kes pengesahan nikah mereka selesai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: