Memasuki edisi kedua, Kejohanan Putrajaya Waterski & Wakeboard World Cup 2009 sememangnya memberikan pengalaman berharga buat para peserta dan pengunjung setianya.
DIA baru setahun melibatkan diri dalam sukan luncur air. Itu bukan penghalang buat Farra Dyana Ariffin, 14, menyertai Kejohanan Putrajaya Waterski & Wakeboard World Cup 2009 yang berlangsung di Kompleks Sukan Air, Persint 16, Putrajaya baru-baru ini.
Lagak peserta kategori slalom itu cukup selamba. Tidak ada sedikit pun rasa tinggi diri terpancar di wajahnya, biarpun dia berpeluang menyertai acara sebesar itu.
"Saya bangga kerana terlibat sama dalam acara bertaraf dunia ini. Walaupun pengalaman pertama, saya tetap puas," kata Farra Dyana yang mula serius dengan sukan luncur air sejak awal tahun ini.
Anak bongsu daripada dua orang adik-beradik itu memberitahu, sebagai persediaan menyertai kejohanan dia telah menjalani latihan selama empat bulan untuk meningkatkan kemahirannya. Ditemani ibu bapanya, latihan tersebut diadakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad di Kompleks Sukan Air, Putrajaya.
Bertubuh kecil, Farra Dyana mengaku dia cukup bersemangat untuk menyertai kejohanan itu atas dorongan yang diberikan oleh kedua ibu bapanya.
"Saya tahu atlet-atlet lain pun sangat hebat. Banyak teknik yang dapat saya lihat ketika mereka beraksi. Ilmu itu akan saya aplikasikan pada masa akan datang.
"Ibu banyak memberi kata-kata semangat sehingga saya amat meminati sukan ini. Malah, dia yang selalu mencari peluang untuk saya kembangkan bakat," kata Farra Dyana yang turut aktif dengan aktiviti sukan lasak lain.
Dianjurkan oleh Persekutuan Ski Air Malaysia (MWSF), acara bertaraf antarabangsa itu menerima lebih 3,000 pengunjung untuk melihat kehebatan peluncur air tempatan dan luar negara beraksi.
Teknik meluncur
Setiausaha Kehormat MWSF, Phillipa Yoong menyatakan kejohanan itu disertai oleh atlet-atlet dari Perancis, Kanada, Belgium, New Zealand dan Mexico.
"Tasik ini telah menjadi tuan rumah kepada kejohanan sama yang diadakan tahun lepas. Sebabnya, kemudahan di tasik ini sesuai untuk kejohanan dunia. Ia bukan sahaja mendapat liputan
Mengharap agar kejohanan itu dapat diteruskan lagi pada tahun akan datang, Phillipa menegaskan bahawa acara itu nyata memberi ruang buat peminat sukan luncur air untuk mengenali teknik meluncur dengan lebih baik sewaktu kejohanan berlangsung.
Kategori yang dipertandingkan dalam kejohanan itu terdiri daripada Slalom, Tricks dan Jump.
"Saya harap, semua yang hadir terhibur dan berpuas hati dengan persembahan dan aksi atlet luncur air menerusi pelbagai kategori yang dipertandingkan," kata Phillipa.
Turut hadir pada hari terakhir kejohanan itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman.
Samsudin memberitahu, kemudahan untuk aktiviti sukan air akan dinaik taraf dari semasa ke semasa untuk menjadikan kompleks sukan air itu terus menjadi lokasi kejohanan sukan air.
"Saya bangga kerana Kompleks Sukan Air Putrajaya dipilih menjadi tuan rumah buat kali kedua kejohanan sukan ini. MWSF telah membantu kami merealisasikan impian untuk menjadikan kompleks sukan air ini sebagai lokasi penganjuran sukan air yang utama di Malaysia," ujarnya.
Sementara pengunjung tempatan yang hadir menyaksikan acara itu memberi reaksi positif.
"Aksi mereka memang hebat! Tak sia-sia datang walaupun panas dan hujan renyai seketika," kata seorang pengunjung Saiful Azri Idris, 28, merujuk kepada persembahan mantap para peserta peluncur air tersebut.
Sorakan gemuruh
Selain memuji kehebatan peserta yang mengambil bahagian acara akhir sukan lasak bertaraf dunia itu, Saiful Azri juga mengakui bangga kerana Putrajaya dipilih menjadi tuan rumah kepada acara itu.
"Saya jamin, semua pengunjung yang datang menonton acara ini tidak akan kecewa. Mereka pasti terhibur dengan pertandingan ini," ujar Saiful Azri yang bekerja di Putrajaya.
Petang itu, kelihatan penonton begitu asyik menyaksikan persembahan atlet luar negara.
Mereka bersorak dengan penuh semangat setiap kali melihat peserta menunjukkan aksi. Terutama aksi jump yang juga merupakan kategori terakhir pertandingan yang berlangsung selama dua hari di situ.
Selepas beberapa peserta membuat lompatan, sorakan yang diberi tetap sama. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka sebenarnya tidak menetapkan mana-mana kumpulan untuk disokong. Sebaliknya, sesiapa yang beraksi hebat, dia akan mendapat sorakan.
Seorang lagi pengunjung, Samzaiha Mohd Isa, 31, memberitahu, pengalaman menyaksikan kejohanan itu adalah kenangan manis buat dirinya yang baru pertama kali menyaksikan acara itu secara lebih dekat.
"Saya terhibur dengan persembahan jump oleh peserta tempatan. Mereka berbakat dan boleh menjadi pelapis sukan luncur air negara," katanya.
Tambah Samhaiza lagi, acara itu telah menarik pengunjung pelbagai golongan dan peringkat usia.
"Kalau ada kanak-kanak, mereka suka dengan aktiviti jualan dan pameran yang ada di sini. Ibu bapa pula boleh tonton persembahan sambil beriadah," katanya yang berasal dari Putrajaya.
Pentas kejohanan luncur air itu tidak sahaja tertumpu pada pemandangan dan aksi atlet di atas air. Sebaliknya ia turut diserikan dengan persembahan beberapa orang artis terkenal tanah air.
Bagi Nor Hafiza Razali, 25, pula dia ada pengalaman berbeza. Dia sebenarnya agak terkilan kerana tidak dapat menyaksikan peringkat akhir kejohanan itu dari mula.
"Saya tak tahu hari akhir habis awal. Tak sempat tengok aksi mereka. Harap tahun depan dapat diadakan lagi kejohanan ini di tempat sama," kata Hafiza yang meminati sukan lasak itu selepas menonton kejohanan sama di televisyen tahun lepas.
Ketika ditemui, Hafiza hanya sempat memberitahu nama peluncur dari Amerika Syarikat (AS), Freddy Krueger diumumkan sebagai juara kejohanan luncur air Putrajaya 2009.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: