MEREKA sama-sama cantik dan berbakat besar dalam bidang seni. Jika Haliza Misbun, 36, dikenali sebagai pelakon berkaliber, adik bongsunya, Amanda, 22, pula pelakon baru yang mula mencari tapak di persada seni tanah air. |
|
Ternyata, dalam enam beradik, hanya Amanda yang mengikut jejak Haliza menjadi anak seni.
Manakala, empat lagi - Salmah, 39, Othman, 34, Rozana, 31, dan Marlia, 28, tidak berminat menceburi dunia glamor itu.
Dalam sesi fotografi yang diatur Rap bersama dua beradik ini, Haliza mengakui sebagai kakak sudah pasti dia menyokong pembabitan adiknya dalam bidang lakonan kerana menyedari bakat besar yang ada padanya.
Malah, Haliza juga menyediakan 'platform' buat adik kesayangannya itu mengembangkan bakat seni sedia ada termasuk memberi peluang Amanda memegang watak utama dalam telefilem terbitan syarikatnya, Halle Pictures Sdn Bhd berjudul, Sophilea yang masih belum ditayangkan lagi.
Manakala, Amanda pula selain mengagumi bakat lakonan Haliza, dia juga menganggap kakaknya itu 'guru' dalam bidang lakonan.
Sekalipun bernaung di bawah bintang yang sama, Taurus, perwatakan Haliza dan Amanda memang jauh berbeza.
Jika Haliza berperwatakan garang dan tegas, Amanda atau panggilan manjanya Mandy pula pemalu, lemah-lembut, bersopan santun dan berbudi bahasa orangnya.
"Pihak luar tidak boleh membandingkan saya dengan Amanda kerana cara kami dibesarkan berbeza. Sekalipun, menjadi anak kedua, tapi kakak sulung saya berkahwin lebih awal dan tanggungjawab sebagai anak sulung juga tergalas di bahu saya.
"Amanda pula anak bongsu dan memang anak manja dalam keluarga sebab itulah dia berpewatakan sedemikian," katanya.
Haliza berkata, hubungannya dengan Amanda cukup akrab sejak kecil lagi.
"Saya juga memberikannya nama Amanda sempena nama model kacukan, Siti Amanda Lokman yang juga idola saya, ketika itu," katanya.
Bagaimanapun, kata Haliza, pada peringkat awal, dia berasa marah apabila mendapat tahu Amanda berlakon drama, tahun lalu.
"Memang, saya beri dia peluang berlakon dalam Rohaya Roy dengan memegang watak saya ketika kecil kerana ingin memberikannya pendedahan dalam bidang seni dan ketika itu usianya baru 14 tahun.
"Rupa-rupanya sejak Rohaya Roy, dia memang sudah lama memendam hasrat untuk bergelar pelakon. Namun, akhirnya, saya merestui minatnya itu kerana saya tahu dia berbakat sebagai pelakon dan nampak 'natural' di hadapan kamera. Saya juga akur, mereka yang bintang Taurus ini degil dan memang nekad untuk mencapai cita-cita dalam hidup.
"Saya juga memberikannya watak utama dalam telefilem Sophilea kerana dia memang sesuai memegang watak itu," katanya.
Apapun, kata Haliza, dia tetap mengawasi perkembangan kerjaya seni Amanda sampai sekarang.
"Saya juga akan memantau dengan pengarah atau produksi mana dia bekerja termasuk watak yang ditawarkan itu sesuai atau tidak dengannya," katanya.
Ditanya perkembangan filem sulungnya, Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami, Haliza berkata, dia masih menyiapkan peringkat akhir suntingan awal (offline) filem berkenaan.
"Filem ini cukup bermakna kerana saya melabur menggunakan duit sendiri. Semua pelakon terbabit dengan proses memasukkan suara filem ini pada 15 Oktober ini. "Selepas proses memasukkan muzik dan kesan khas, barulah saya akan ke Bangkok pula untuk proses pengkelasan warna yang dijangka pada awal November.
"Tayangan perdana filem ini pula dijangka pada Disember di Kedah dan Brunei Darussalam dengan kerjasama badan kebajikan yang belum diputuskan lagi. Jika tiada aral, filem ini dijangka menjengah pawagam pada Mac 2010," katanya.
Sejak Januari lalu, Haliza sibuk dengan projek terbitan Halle Pictures, Kembara Jurnal di Australia.
Dia juga sudah menyiapkan tiga lagi telefilem terbitan produksinya - Sophilea, telefilem komedi Bedah Siasat dan Bebaskan Aku.
Berkongsi cerita peribadinya pula, Haliza yang kini berkawan dengan jejaka dari Perancis juga mengakui perkahwinan adalah perkara terakhir dalam hidupnya.
"Sebenarnya, saya tidak percaya pada institusi perkahwinan kerana melihat ramai pasangan berkahwin yang bercerai berai. Tapi jika saya bertemu dengan lelaki baik atau 'lelaki idaman' yang menganggap perkahwinan itu penting baginya, mungkin saya akan berubah fikiran nanti. Pada masa sama, saya juga masih belum puas mengejar kerjaya seni dicintai," katanya.
Pembabitan Amanda dalam bidang lakonan bermula selepas dia membintangi telefilem Rohaya Roy, kira-kira lima tahun lalu.
Sekalipun, ia hanya watak pembantu, kata Amanda, ia cukup bermakna buatnya.
"Sebenarnya, saya meminati bidang lakonan sejak kecil lagi. Justeru, peluang yang diberikan kakak kepada saya ketika itu menjadi permulaan buat saya melangkah ke bidang lakonan. Sejak Rohaya Roy, minat saya menjadi semakin mendalam dalam bidang lakonan," katanya.
Malah, kata penuntut tahun pertama bidang psikologi ini dia juga menangguhkan dulu pengajiannya kerana ingin memberi tumpuan pada cabang seni yang diminatinya itu.
"Saya juga berlakon untuk kumpul duit untuk membiayai pengajian saya di kolej. Insya-Allah, saya akan kembali meneruskan pengajian pada tahun depan untuk membawa pulang segulung ijazah diimpikan," katanya.
Amanda berkata, dia mula serius berlakon drama tahun lalu dan antara drama lakonannya tahun lalu ialah Front Page, Kekasihku Seru dan Cerita Sebuah Impian.
"Terbaru, saya baru selesai penggambaran projek untuk Agensi Antidadah Kebangsaan dan drama Kasihku Is Setan arahan Fairuz Loy," katanya.
Mengenai wataknya dalam Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami, kata Amanda, dia bawa watak pembantu yang juga pelajar sekolah.
"Penulis skrip filem ini buat watak khusus untuk saya dalam cerita ini. Nama watak saya juga Amanda. Apa yang menarik, Amanda juga juga berkawan rapat dengan Nikki (lakonan Haliza) dan mereka sering bermain paintball bersama dalam cerita ini.
"Pada masa sama, Nikki juga mencurahkan masalah percintaannya dan meminta nasihat pada Amanda. Sekalipun hanya dua babak, ia cukup bermakna buat pelakon baru seperti saya," katanya.
Dalam pada itu, Amanda berkata, dia juga bercita-cita untuk menjadi pelakon berkarakter seperti Haliza.
"Saya akui perjalanan saya masih jauh dalam bidang seni. Sebagai orang baru, banyak lagi ilmu lakonan yang perlu ditimba.
"Saya juga ingin mencuba pelbagai watak dalam drama untuk memantapkan prestasi lakonan sedia ada," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: