KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan warga Australia kini dilema selepas isteri dikahwininya di Singapura April lalu tanpa restu keluarga akan dikahwinkan dengan pasangan pilihan keluarga mentuanya, Januari ini.
Isterinya, Nadia Abdul Aziz, 25, warga tempatan dan juga pensyarah di sebuah universiti tempatan dikahwini tanpa mendapat restu keluarga mentuanya sekalipun sudah berjumpa untuk memaklumkan hasratnya itu.
Najmalden Mohammad Saide, 36, berkata, kehidupannya lebih tertekan apabila sehingga kini tidak mengetahui khabar berita mengenai isterinya, walaupun beberapa kali menghubungi keluarga mentuanya itu.
Katanya, dia hanya sempat menikmati hidup sebagai suami isteri selama empat hari sebelum dihalang bertemu lagi dengan isterinya itu ketika datang bersama-sama untuk berjumpa mentuanya bagi memaklumkan pernikahan mereka.
“Sejak itu, saya pernah beberapa kali cuba memasuki negara ini bagi berjumpa isteri tetapi gagal sebaliknya saya ditahan di lokap atas alasan cuba mengganggu isteri saya,” katanya yang sering berulang-alik dari Australia ke Malaysia semata-mata untuk berjumpa isterinya itu.
“Baru-baru ini saya dimaklumkan Nadia akan dikahwinkan dengan lelaki pilihan bapanya sedangkan dia adalah isteri saya yang sah. Berikutan itu, saya pada 5 November memfailkan permohonan pengesahan perkahwinan di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur,” katanya.
Selain itu, mahkamah juga telah mengeluarkan perintah injuksi menghalang pernikahan isterinya sehingga permohonan pengesahan perkahwinan mereka selesai.
“Pulangkan isteri saya dan restuilah perkahwinan kami kerana saya sayangkannya. Pelbagai cara saya lakukan untuk berbincang secara baik dengan mentua bagi menyelesaikan pertikaian ini namun gagal,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: