Friday, November 27, 2009

Hujan jelajah Indonesia 2010


PERSEMBAHAN Hujan pada siri Konsert Hujan Mencari Konklusi Tour 2009 yang berakhir di Kuala Lumpur, baru-baru ini cukup menghiburkan para peminat mereka.


KUMPULAN Hujan akan terus mengembangkan bakat, populariti dan kesinambungan mereka dalam bidang muzik dengan merancang siri konsert bergerak di bandar-bandar besar di Indonesia pada tahun depan.

Menurut pemain keyboard kumpulan itu, Hang Dimas Santoso, perancangan tersebut tercetus selepas percubaan mereka mengadakan beberapa konsert di negara seberang itu pada tahun lalu mendapat sambutan hangat para peminat di sana.

Dimas yang juga berasal dari Indonesia berkata, buat masa ini Hujan juga sedang membuat persiapan yang rapi bagi memastikan siri konsert yang akan diadakan itu kelak lebih baik mutu penganjurannya berbanding tahun lalu.

Tahun lepas, kumpulan itu pernah membuat percubaan dengan mengadakan beberapa siri konsert di beberapa buah bandar utama di Indonesia, antaranya Jakarta dan Bandung.

Apa yang menggembirakan kumpulan itu ialah, sambutan yang diterima sangat baik termasuklah daripada para pelajar Malaysia yang menuntut di sana.

"Sebab itu, azam kami kali ini adalah untuk memastikan supaya siri konsert yang akan kami adakan itu nanti lebih baik daripada segi persembahan lagu-lagu dan juga stamina kami ketika berada di atas pentas. Kami banyak belajar daripada pengalaman pada tahun lalu.

"Jika tiada aral melintang, siri konsert bergerak itu akan diadakan di Yogyakarta sehinggalah ke Pulau Bali. Ini bermakna, kami akan menjelajah bandar-bandar besar di seluruh Pulau Jawa. Tahun depan kami juga akan mengadakan konsert bergerak di Sabah dan Sarawak," katanya pada sidang media selepas konsert mereka di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Konsert itu merupakan konsert penutup Hujan dalam siri Konsert Hujan Mencari Konklusi Tour 2009 yang disaksikan hampir 1,000 penonton dengan mengenakan tiket berharga RM20.

Pada persembahan selama hampir 90 minit itu, Hujan membawakan lagu-lagu popular mereka termasuklah yang dipetik daripada album terbaru mereka berjudul Mencari Konklusi yang sudah pun berada di pasaran sejak beberapa bulan lalu.

Sebagai konsert penutup dalam siri konsert yang diadakan di ibu negara itu, ternyata ia merupakan yang terbaik buat Hujan daripada segi jumlah penonton yang hadir serta sokongan daripada pihak media massa.

Penyanyi utama Hujan, Noh berkata, perkara itu tidak dinafikan memandangkan para peminat mereka lebih ramai di Kuala Lumpur selain ruang tempat persembahan yang lebih besar berbanding lokasi-lokasi sebelumnya.

"Ini adalah siri konsert kami yang paling meriah sekali selain di Kelantan ketika kami mengadakan persembahan di KB Mall, Kota Bharu pada minggu lalu. Paling tidak meriah ialah di Taiping, Perak di mana penonton yang datang sekitar 200 orang sahaja.

"Mungkin promosi di situ agak kurang sedikit. Bagaimanapun, kami bersyukur kerana penyokong Hujan atau 'rangers' kami banyak membantu mempromosikan serta hadir pada siri-siri konsert kami ini," ujarnya.

Paling menggembirakan Hujan tambah Noh, apabila kebanyakan siri konsert mereka kali ini yang diadakan di 10 lokasi seluruh Semenanjung Malaysia sejak Oktober lalu dihadiri oleh kalangan peminat baru yang semakin bertambah bilangannya dari semasa ke semasa.

Vokalis dan gitaris berasal dari Miri, Sarawak ini memberi contoh, beliau mendapati 10 peratus daripada penonton yang hadir pada konsert di Kuala Lumpur merupakan peminat lama, manakala bakinya adalah peminat baru Hujan.

"Namun itu tidak bermakna kami kehilangan peminat lama kerana bilangan peminat baru semakin bertambah. Saya memang jangkakan konsert di Kuala Lumpur ini boleh menarik ramai peminat kerana sasaran kami sekitar 800 penonton sahaja.

"Tetapi sebelum tiga hari konsert ini diadakan jualan tiketnya mencecah 1,000 unit. Ini amat menggembirakan kami. Mungkin sekarang ini ramai peminat Hujan yang sedang menduduki peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

"Jadi ramai yang tidak dapat datang ataupun mungkin keadaan cuaca yang tidak menentu dengan musim hujan dan bajir sekarang ini pun boleh menyumbang kepada faktor tersebut," ujarnya.

Konsert Mencari Konklusi Tour 2009 di Kuala Lumpur itu yang dijayakan oleh dua kumpulan pembuka tirai iaitu Dia dan Couple merupakan siri konsert terbesar yang pernah diadakan oleh Hujan di negara ini.

Jelas Noh, mereka menyewa dan menggunakan sebuah bas bagi tujuan membawa instrumen dan krew yang terbabit sepanjang hampir sebulan lebih siri konsert itu diadakan.

"Secara keseluruhannya kami memperuntukkan sekitar hampir RM30,000 sebagai kos untuk mengadakan siri konsert bergerak ini. Selain bantuan pihak penganjur, kami juga beruah kerana penyokong setia Hujan banyak membantu mempromosikan konsert ini.

"Ramai peminat kami dari Singapura, Johor. malah dari Cardiff (Wales, United Kingdom) pun ada yang datang memberi sokongan pada konsert petang ini," katanya lagi sambil dipersetujui oleh AG Coco selaku gitaris dan Am (dram) pada sidang akhbar tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: