Saturday, November 21, 2009

Heroin blockbuster 2012




RAMALAN kalendar Mayan pernah menyatakan bahawa dunia akan kiamat pada 21 Disember 2012. Itu yang menjadi pencetus idea kepada pengarah yang bertanggungjawab dalam merealisasikan filem The Day After Tomorrow dan Independence Day, Roland Emmerich untuk melahirkan produk terbarunya, 2012.

Dalam cerita bencana alam Roland itu, kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah diberi amaran oleh pakar sains termasuk Adrian Helmsley, lakonan Chiwetel Ejiofor bahawa dunia akan berdepan dengan malapetaka yang akan meragut berbilion nyawa.

Presiden AS, Thomas Wilson tahu jika informasi itu terbongkar, ia akan menyebabkan suasana kelam-kabut. Jadi dia membuat keputusan untuk merahsiakannya terlebih dahulu dan pada masa yang sama membina kapal gergasi bersama beberapa negara besar lain untuk menyelamatkan manusia.

Adrian yang juga penasihat kepada presiden nekad untuk membantu sebanyak boleh manusia tetapi Carl Anheuser pembantu kanan presiden bersifat pragmatik. Bagi dia, siapa yang mampu untuk menampung kosnya untuk menaiki kapal itu, dia patut diberi peluang untuk selamat.

Anak presiden, Laura Wilson (Thandie Newton) pula terkejut apabila mengetahui apa yang dirahsiakan oleh kerajaan di bawah pimpinan ayahnya.

Sementara itu, seorang juruhebah radio, Charlie Frost pula memberi amaran kepada dunia bahawa malapetaka semakin mendekati dunia. Apabila lapisan bumi mula bergerak, Jackson Curtis bergelut untuk menyelamatkan keluarganya.

"Saya merupakan sebahagian daripada keluarga presiden tetapi secara tiba-tiba semua itu tidak lagi penting. Apa yang dirasakan penting sebelum itu, tidak lagi dipedulikan lagi. Apabila banjir dan gempa bumi bermula anda menyelamatkan diri.

"Semuanya mengenai asas keperibadian manusia. Ada yang bertuah dan selamat tetapi ia masih mengenai kualiti moral. Dalam keadaan panik dan semua benda telah musnah, mereka yang terselamat perlu ingat bahawa mereka adalah antara manusia terakhir di dunia. Jadi nilai moral itu amat penting," kata Thandie.


KEJELITAAN Thandie telah membolehkan dia membintangi 26 buah filem sejak tahun 1991.


Aktres popular itu pernah menjejak kaki di pejabat Oval untuk memainkan watak Condoleeza Rice dalam filem biografi George Bush arahan Oliver Stone, W.

Maka, apabila dia menerima tawaran untuk watak Laura, dia menyaksikan dirinya sekali lagi berada di White House.

"Ia sangat kelakar. Saya baru sahaja habis rakaman babak terakhir untuk filem W bersama Josh Brolin di pejabat Oval. Dua minggu kemudian, saya berada di set pejabat Oval tetapi untuk filem 2012 yang dibina di Vancouver. Di situ saya memainkan watak sebagai anak kepada Presiden AS.

"Semua orang tahu dengan kewujudan pejabat Oval dan pihak produksi amat teliti dalam menghasilkan set itu supaya semua benda padan dan kelihatan realiti. Satu-satunya benda yang saya perasan adalah warna karpet agak berlainan di Vancouver tapi yang lain semuanya kelihatan sama."

Thandie melakukan banyak penyelidikan sebelum menjayakan watak Condoleeza Rice tetapi dalam 2012, ia memberikan cabaran berlainan. "Saya selalu membaca skrip bagi memastikan percakapan saya sempurna. Tapi tidak kira watak apa yang saya pegang dalam 2012, ceritanya adalah mengenai dunia dalam keadaan kucar-kacir.

"Apabila semua akan benda musnah, anda tidak akan berfikir mengenai identiti anda atau risau mengenai harta benda kerana semuanya akan hilang. Anda hanya akan kembali menjadi seorang manusia yang bergelut untuk menyelamatkan nyawa anda.

"Jadi saya cuma bertanya kepada diri saya, apa yang akan saya lakukan jika saya berada dalam posisi itu. Adakalanya, realiti amat menakutkan.

"Maka, kita perlu menghargai setiap saat dan menyayangi orang tercinta," tambah Thandie yang dilahirkan di London.


THANDIE perlu berendam di dalam air selama beberapa jam untuk filem 2012.


Kesan khas memainkan peranan penting dalam filem seperti 2012. Namun, menurut Thandie, dia percaya pengarah Roland dan penulis skrip, Harald Kloser telah mencipta watak menonjol, cerita menyentuh hati yang bersesuaian dengan setiap babak kemusnahan serta kematian.

"Ada orang yang bertanya kepada saya. 'Adakah anda rasa filem ini akan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai alam sekitar?' Saya tidak pasti tetapi saya tahu filem ini satu persembahan yang menakjubkan. Watak-wataknya direka dengan kepentingan dan keperibadian berbeza.

"Watak saya mewakili kepentingan moral dan kesedaran sosial. Watak Adrian pula menggambarkan dia seorang yang berpengetahuan tinggi dalam bidang sains. Watak Jackson pula merupakan seorang ayah yang ingin mendapatkan kemaafan daripada dua orang anaknya. Kate pula seorang ibu yang sentiasa mahu melindungi keluarganya.

"Filem-filem sebegini hanya berkesan kepada khalayak yang tertarik secara emosi kepada ceritanya. Mereka takut dengan bencana yang berlaku. Ia menyentuh perasaan kerana anda mengambil berat terhadap watak-wataknya di dalamnya."

Dalam filem yang turut dijayakan oleh John Cusack, Amanda Peet, Oliver Platt dan Danny Glover, Thandie memberitahu, walaupun karya ini sarat dengan efek khas, ia sedikit pun tidak menenggelamkan ceritanya yang mementingkan mesej kemanusiaan.

Malah, penggunaan kesan khas yang banyak tidak bermakna Thandie bersama pelakon lain tidak perlu melibatkan diri dalam babak aksi. Aktres berusia 36 tahun itu memberitahu bahawa dia perlu menghabiskan banyak masa dalam air.


DALAM filem 2012, Thandie menjadi seorang wanita bijak yang mempunyai moral positif tinggi serta jauh daripada sifat penting diri.


"Seluar, baju, kasut dan semuanya basah. Saya tidak merungut tetapi saya menghabiskan masa terlalu lama dalam air termasuk di dalam tangki. Nasib baik, krewnya menggunakan air yang panas. Jadi selepas seharian di set rakaman, saya tidak sabar untuk menukar baju kering.

"Ramai yang bertanya sama ada saya takut apabila air yang banyak melimpah ke arah saya? Sebenarya saya tidak takut kerana saya mempercayai krewnya.

"Tapi apabila anda membaca berita menakutkan seperti pentas konsert jelajah dunia Madonna runtuh, anda pastinya tidak boleh meramalkan apa yang akan berlaku. Jadi saya cuma memberi kepercayaan dan keyakinan kepada mereka yang profesional serta berbakat."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: