SHAH ALAM - Wisma Putra belum memberi sebarang maklum balas berhubung perintah Mahkamah Tinggi Syariah di sini kelmarin untuk menjejaki seterusnya membawa pulang Ferris Mokhtar Van de Ven, 5, ke Malaysia.
Itu kata Elis Syuhaila Mokhtar, 34, dalam usaha mencari anak tunggalnya seperti yang diperintahkan mahkamah.
"Sehingga petang ini (semalam) tidak ada perkembangan terkini dari Wisma Putra untuk bantu saya mencari Ferris," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Elis, dia sebelum ini telah beberapa kali ke Wisma Putra dan mencadangkan agar satu surat polis antarabangsa (Interpol) dikeluarkan untuk mengesan anaknya.
Bagaimanapun, kata Elis, Wisma Putra tidak memberi sebarang reaksi sebaliknya memberi dua pilihan kepadanya iaitu sama ada menggunakan orang tengah atau melantik peguam di Belgium.
"Kita telah gunakan orang tengah iaitu melalui bantuan Biro Aduan Pemuda UMNO tetapi gagal selepas Firdaus (suami) bertindak menghubungi mereka dan bertegas tidak menyerahkan Ferris yang ada bersamanya di Belgium," jelasnya.
Kelmarin, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan hak penjagaan Ferris diserahkan kepada Elis selain membenarkan hak lawatan kepada suaminya, warga Belanda, Firdaus @ Frank Theodorus van de Ven, 40, di rumah Elis serta di bawah jagaan wanita itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: