Thursday, November 12, 2009

FAM dapat 'diskaun'


AZZUDDIN menunjukkan senarai kerosakan stadium daripada Kompleks Sukan Negara yang dikemukakan kepada FAM.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) diberi 'diskaun'.

Kelmarin, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil mendedahkan bayaran kerosakkan yang perlu dibayar oleh FAM ialah RM214,000.

Semalam, anggaran kerugian yang dikemukakan kepada FAM ialah RM138,150.

Mungkin disebabkan 'diskaun' itu, FAM mengenakan denda minimum kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gara-gara penyokong mereka yang bertindak liar merosakkan fasiliti di Stadium Nasional Bukit Jali pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2009.

Berdasarkan anggaran terbaru yang dikemukakan pihak stadium kepada FAM semalam, badan induk bola sepak negara itu selaku penyewa bagi final Piala Malaysia 2009 hanya perlu membayar sebanyak RM138,150.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek menyatakan di Parlimen bahawa jumlah kerosakan fasiliti di Stadium Nasional, Bukit Jalil ialah sebanyak RM214,000.

Malah Pengurus Besar Kompleks Sukan Negara, Wan Nor Azinah Zaniby Wan Hashim yang ditemui Kosmo! di pejabatnya kelmarin turut memberikan jumlah yang sama.

Namun Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM petang semalam memberitahu, anggaran kerosakan yang dikemukakan pihak stadium ialah RM138,150 dan bukannya RM214,000.

"Pagi semalam (kelmarin) semasa mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, wakil stadium memberitahu anggaran kos kerosakan ialah RM128,600. Jadi saya anggarkan kami perlu bayar sekitar RM150,000.

"Tapi petang tadi (semalam) semasa mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM, wakil stadium memberitahu anggaran kos kerosakan terkini ialah RM138,150. Lain-lain jumlah yang dinyatakan, itu saya tidak boleh komen," kata Azzuddin.

Namun Azzuddin berkata, FAM tiada masalah untuk membayar kos kerosakan tersebut memandangkan mereka sudah biasa dengan perkara seumpama itu dan ia juga sudah termaktub dalam kontrak antara FAM dan pihak stadium terbabit.

"Tiada masalah kerana ini bukan perlawanan pertama FAM perlu bayar ganti rugi. Ketika perlawanan Manchester United (Julai lalu) dan final Piala FA (April lalu) juga berlaku kerosakan dan FAM kena bayar.

"Ia sudah menjadi tanggungjawab FAM kepada pihak stadium kerana mengikut kontrak sewa stadium, apa-apa kerosakan berlaku, kita akan bayar," jelasnya.

Jumlah anggaran kos kerosakan terbaru itu mengalami perbezaan ketara kerana mengikut butiran yang dikeluarkan kelmarin, harga seunit kerusi penonton ialah RM500 manakala butiran yang dikeluarkan semalam menyatakan kos seunit kerusi tersebut hanyalah RM150.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: