Friday, November 13, 2009

Debaran Penyampai Ikon




SETELAH hampir tiga bulan mempelajari pelbagai ilmu berkaitan kewartawanan penyiaran, enam peserta akhirnya terpilih sebagai peserta akhir Penyampai Ikon yang bakal menamatkan misi mereka untuk menggenggam gelaran juara pada 14 November ini.

Bersiaran secara langsung dari Istana Budaya, Kuala Lumpur, enam finalis yang berjaya melayakkan diri ke pentas akhir ialah Aina Suzaily M. Zailanny, Mohamed Shahril Sarapudin, Hazel Desmond, Khairil Faizi Dalaiil, Aiyshah Baslie dan Beatrice Krishnan.

Babak akhir Penyampai Ikon 2009 turut disiarkan secara langsung menerusi TV2 bermula pukul 8.30 malam.

Selama tiga bulan sebagai peserta Penyampai Ikon, pelbagai aspek dinilai termasuklah disiplin penyampaian, penampilan, keterampilan, etika dan tatacara berhadapan kamera.

Tidak ketinggalan, kandungan editorial laporan serta keupayaan peserta bertindak sebagai pengacara program bual bicara.

Panel juri yang terlibat dalam program tersebut ialah pensyarah Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah yang juga bertindak sebagai ketua juri, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya dan Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin.

Bertemu kesemua peserta akhir Penyampai Ikon baru-baru ini, riak ceria penuh keyakinan jelas terpancar pada wajah keenam-enam finalis .

Merebut peluang sebagai wartawan di bidang penyiaran tentu sekali bukanlah langkah mudah bagi mereka.

Ini kerana, lima daripada enam peserta akhir sebelum ini langsung tiada sebarang pengetahuan dalam bidang kewartawanan apatah lagi bidang penyiaran.

Hanya seorang daripada mereka iaitu Aiyshah yang mempunyai asas pengajian dalam bidang komunikasi media.

Namun, segalanya bukanlah halangan besar buat mereka. Bagi mereka asalkan mempunyai minat mendalam dan disertai usaha pasti jalan buat mereka terbentang luas.

Mempunyai kelebihan dari segi pengalaman bekerja di bidang kewartawanan serta ilmu dalam bidang Ijazah Komunikasi Media ketika menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak lama dahulu memberi sedikit kelebihan kepada peserta yang berasal dari Sarawak ini.

Namun, bagi Aiyshah ketika ini dia masih lagi berdebar memandangkan saingan daripada rakan-rakannya bukanlah satu perkara yang boleh dianggap remeh.

“Biarpun mempunyai pengalaman, namun saingan daripada rakan-rakan saya akui sangat hebat. Mereka mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri.

Bekas pelajar tentera

“Apa yang saya perlu lakukan ketika ini, berlatih dan memastikan yang terbaik daripada saya pada peringkat akhir nanti.

“Segala yang saya pelajari selama tiga bulan di Kolej Penyampai Ikon akan saya gunakan sebaiknya pada malam anugerah itu nanti,” katanya yang diberi tajuk Tsunami di Acheh untuk tugasan akhir itu nanti.

Peserta yang berasal dari Perak, Faizi pula kini dalam proses akhir penyiapan skrip untuk tugasan akhir yang bertajuk 1Malaysia.

Berbeza dengan rakan-rakan yang lain, Faizi agak bertuah kerana tajuknya agak meluas malah berkaitan masyarakat majmuk di negara ini.

Namun, itu bukanlah tiket untuk Faizi bertindak sambil lewa berkaitan kandungan tugasan terakhirnya itu nanti.

“Biarpun tajuk tersebut begitu meluas untuk diperbincangkan namun, apa yang menyukarkan bagi saya ialah mencari paparan yang berbeza.

“Dahulu saya membuat skrip sedikit berjela tetapi untuk malam anugerah itu nanti saya akan lebih fokus dan menyampaikan mesej-mesej sebaik mungkin kerana masa yang diberikan agak singkat iaitu satu minit setengah sahaja,” katanya.

Gemar tersenyum, membuatkan gadis tinggi lampai, Aina Suzaily kelihatan begitu berkeyakinan.

Percaya atau tidak, gadis cantik ini sebenarnya merupakan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ATMA) yang mempertaruhkan keberanian diri menguji bakat sebagai wartawan penyiaran.

Bukan untuk mencari glamor tetapi kata Aina, menyertai Penyampai Ikon membolehkan dirinya menguji ketahanan diri dari segi mental dan fizikal selain mempertaruhkan kepetahannya berkata-kata.

“Apabila sudah melangkah dalam bidang penyiaran, saya kalau boleh tidak mahu berganjak lagi.

“Walaupun sebelum ini saya bekas pelajar tentera, namun tidak mustahil suatu hari nanti saya boleh menjadi seseorang dalam bidang penyiaran,” katanya yang diberi tugasan tentang Gempa Bumi yang berlaku di Padang, Indonesia.

Tambah Aina, pengetuanya, Yusanani Yushak merupakan idola terdekat dengan dirinya kini yang menjadi sumber rujukan buatnya dalam mencari identiti diri sebagai wartawan penyiaran.

Bagi gadis jelita berlesung pipit yang berasal dari Kuching, Sarawak, Hazel pula, pelbagai persediaan dilakukannya termasuk bercakap di depan cermin bagi mengukuhkan lagi intonasi percakapan serta cara penyampaiannya.

“Saya bukan Melayu. Jadi intonasi dan sebutan saya sering menjadi teguran daripada pihak juri.

“Dahulu, pada peringkat permulaan terus terang saya rasa itu satu kekurangan untuk diri saya sehingga membuatkan saya kurang yakin pada diri.

“Namun, lama kelamaan juri kata intonasi saya ada peningkatan dan ini membuatkan saya bersyukur dan kembali berkeyakinan,” katanya yang diberi tugasan tentang isu perperangan, Penderitaan Rakyat Palestin.

Tambah Hazel, diberi tajuk yang agak berat bukan satu masalah besar buatnya.

Sebaliknya, itu merupakan cabaran buatnya dalam menarik minat penonton agar turut ‘terbuai’ sama mengenang nasib serta penderitaan rakyat Palestin yang tertindas akibat perperangan.

Seperti Hazel, Beatrice juga menyatakan kerisauan tentang intonasi serta lontaran suara dalam penyampaian.

Tidak seperti rakan-rakannya yang lain, Beatrice mengambil pendekatan dengan membaca akhbar-akhbar Melayu untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu serta memperkayakan penggunaan bahasa.

“Di rumah, saya lebih banyak berkomunikasi dengan bahasa Bidayuh dan Inggeris.

“Sebab itu saya rasa sebutan Bahasa Melayu ada sedikit kekurangan. Namun saya menganggap ini sebagai satu cabaran buat saya,” katanya yang diberi tugasan Tanah Runtuh di China.

Seorang lagi peserta, Shahril yang berasal dari Kelantan memberitahu, terpilih sebagai salah seorang finalis Penyampai Ikon membuatkannya bersedia dari segi mental dan juga fizikal.

Membawa isu kebuluran pada pentas akhir itu nanti, apa yang diharapkan penonton akan dapat merasai serta memahami mesej yang cuba disampaikan nanti.

“Sampai ke tahap ini saya rasa setiap orang pasti sudah bersedia. Biarpun debaran semakin meningkat namun saya akan cuba menyampaikan mesej terbaik tentang isu yang bakal saya paparkan nanti,” katanya.

Pahit manis bersama Penyampai Ikon

Apa yang bermula pasti akan berakhir. Begitulah juga dengan program realiti Penyampai Ikon yang bersiaran di TV2 pada setiap Sabtu mulai 22 Ogos lalu.

Pengetuanya, Yusanani secara peribadi menganggap pembabitannya dengan rancangan itu memberi cabaran yang bukan kecil buatnya.

“Saya di kira bertuah kerana terbabit dalam program realiti ini sedari awal. Bermula dengan pencarian bakat di seluruh negara, melatih calon-calon di Kolej Penyampai Ikon di samping bertanggungjawab sebagai penerbit eksekutif program ini.

“Saya akui tugas ini tidak mudah. Saya telah mencuba dan melakukan yang terbaik. Berkat sokongan dan dokongan pelbagai pihak di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), tugasan ini dapat saya sempurnakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ini sebahagian daripada hasratnya yang menyokong wawasan KPKK dalam melahirkan program realiti yang mampu membina kerjaya di kalangan graduan muda dalam bidang kewartawanan penyiaran.

“Tahniah buat RTM kerana melakar sejarah dalam mengemudi buat pertama kali program ini menggunakan kepakaran produksi RTM sendiri.

“Terbukti dengan tenaga kerja yang kaya pengalaman maka program ini berjalan dengan lancar.

“Saya telah bersama-sama dengan 17 calon Penyampai Ikon selama hampir tiga bulan dan sepanjang tempoh itu, banyak pahit dan manis yang kami lalui bersama dalam usaha membantu mereka mengejar cita-cita sebagai Penyampai Ikon,” kata Yusanani lagi.

Kepada peminat setia rancangan tersebut, pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan pertandingan akhir, Malam Anugerah Penyampai Ikon 2009 yang bakal disiarkan secara langsung di TV2, pukul 8.30 malam, 14 November ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: