Tuesday, November 3, 2009

Belum puas menari, Anita dan suami tersingkir 'Sehati Berdansa'

Pasangan Anita Baharom (dua dari kiri) serta suaminya Mohd Ismadi Ismail.

MINGGU kedua program ‘Sehati Berdansa’ pada musim ketiga kali ini menyaksikan penyingkiran pasangan Anita Baharom serta suaminya Mohd Ismadi Ismail.

Mereka adalah pasangan pertama yang disingkirkan dalam program itu pada malam yang bertemakan ‘Malam Disko.’

Anita merupakan seorang pelakon manakala suaminya bekerja sebagai seorang penerbit. Mereka disingkirkan selepas mendapat peratusan undi yang terendah iaitu 41.74 peratus.

Pertandingan tarian yang disertai oleh para selebriti dan pasangan masing-masing, merupakan adaptasi dari program India, 'Nachbaliye'.

Sebanyak 50 peratus markah diberikan oleh juri dan sebahagian lagi berdasarkan undian penonton melalui SMS atau talian tetap.

Anita serta suami berpakaian sedondon berwarna putih dan merah jambu ala disko era 70-an itu memang tidak dapat menahan sebak apabila diumumkan sebagai kumpulan pertama disingkirkan dari sembilan kumpulan yang bertanding.

Menurut Anita yang berasal daripada keluarga seni dari Sungai Petani, beliau belum rasa puas menari lagi.

"Saya hampa kerana tidak dapat menyumbang wang yang lebih kepada badan kebajikan saya iaitu Persatuan SLE Malaysia," ujar Anita dalam satu sesi temu bual selepas program ‘Debaran Sehati Berdansa’ malam semalam. Itu juga merupakan program penyingkiran.

Anita merupakan seorang pelakon manakala suaminya bekerja sebagai seorang penerbit.

Ismadi pula reda dengan keputusan itu dan tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini.

“Memang lumrah program realiti dan adat pertandingan kerana hanya boleh ada satu pemenang,” kata Ismadi.

Dengan penyingkiran ini, wang sebanyak RM 2000 akan disumbangkan kepada Persatuan SLE Malaysia manakala pasangan tersebut menerima sebuah piala, setiap seorang.

Anita serta suami memilih badan kebajikan ini, kerana Anita sendiri menghidapi penyakit SLE.

SLE adalah singkatan untuk Systemic Lupus Erythematosus (SLE). Ia adalah penyakit kronik auto-imun di mana badan pesakit menghasilkan protein darah dengan banyaknya. Protin darah yang dipanggil antibodi ini dengan sendirinya memberi tindak balas terhadap tisu seseorang.

Pelakon ini disahkan menghadapi penyakit SLE semasa dia selamat melahirkan anaknya.

Walaupun sekarang Anita berada dalam keadaan stabil, beliau masih mengambil ubat untuk mengawal penyakit yang tidak boleh sembuh sepenuhnya.

Kini tinggal lapan pasangan 'Sehati Berdansa' yang akan meneruskan perjuangan mereka pada minggu hadapan.

Dalam pada itu, Anita mendakwa jika diberi peluang sekali lagi, pasangan tersebut akan berusaha dengan lebih gigih untuk memperbaiki mutu persembahan.

“ Kami akan meningkatkan prestasi kami tetapi apakan daya nasib tidak menyebelahi kita,” jelas Anita lagi.

Pasangan yang telah empat tahun mendirikan rumah tangga ini mempunyai seorang anak.

Sementara itu, juri tetap untuk pertandingan itu iaitu Joseph Gonzales memberi komen yang Ismadi sering pandang ke bawah semasa menari.

Antara juri lain yang mengadili pasangan tersebut semalam ialah Peter Ong dan Anita Sarawak. Mereka merupakan juri undangan untuk pertandingan minggu kedua program Sehati Berdansa.

Komen lain yang diberikan oleh juri adalah Ismadi agak kaku di hadapan camera walaupun pasangan tersebut dilihat menjiwai lagu yang dipersembahan. Semalam, pasangan itu menari untuk lagu ‘Pilihlah Aku’ dibawah tunjuk ajar jurureka tari Emma atau nama sebenarnya Masisza Ismail.

Menurut Emma, salah satu punca yang membawa kepada penyingkiran pasangan itu adalah Ismail tidak biasa menari.

“Tetapi, saya berasa jika diberi masa dan peluang pasti prestasi Ismadi akan bertambah baik,” tambah Emma lagi.

Sebelum pertandingan bermula, Anita sangat berharap yang genre yang dipilih untuk minggu ini adalah tarian tradisional.

“Saya akui yang saya dan Ismadi memang tidak pandai membawa tarian disko. Saya pasti akan lebih berpuas hati sekiranya tema minggu ini adalah seperti yang saya inginkan,” ujar Anita lagi.

Selain itu, pasangan Sazzy dan Nazril mendapat peratusan undi yang tertinggi iaitu sebanyak 53 peratus, diikuti oleh pasangan Didie dan Sham dengan 50 peratus, Dira dan Ash (50 peratus), Isma dan Zul (48 peratus), Sein dan Nana (48 peratus) Enot dan Zainul (43 peratus) Mirna dan Norah (43 peratus) manakala Oshin dan Nazril (42.07 peratus).

Program ‘Sehati Sedansa’ ini akan ke udara secara langsung dari Studio Satu, Astro Bukit Jalil dari hari Isnin sehingga Khamis pada pukul sembilan malam. Ia akan keudara di Astro RIA melalui saluran 140 Astro.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: