Thursday, November 26, 2009

Azharina Elak Dapat Suami Pisau Cukur!

Azharina sedang sibuk dengan perniagaan dan karier seninya.

PENGALAMAN kecundang dalam perkahwinan di usia muda banyak mengajar penyanyi dan usahawan Azharina Azhar untuk berhati-hati dalam memilih pasangan hidupnya selepas ini.

Pemilik suara lantang yang kini popular dengan lagu ‘Rawan’ ini berkata sebolehnya dia ingin mengelak daripada mendapat suami jenis pisau cukur.

“Saya mahu elak suami yang jenis nak makan harta isteri. Apa yang saya lihat sebelum ini, banyak orang memandang saya dengan maksud tersendiri dan tidak kurang juga hendak mengambil kesempatan dengan apa yang saya ada.

“Saya pernah lalui satu fasa untuk ada ‘masjid’ yang indah tetapi akhirnya ia runtuh di tengah jalan,” katanya yang sedang sibuk dengan perniagaan dan karier seninya.

Menurut Azharina, sejak bercerai dengan usahawan Datuk Shukri Mohamed kira-kira tiga tahun lalu, dia banyak menumpukan kepada syarikatnya, Top 3 Production Sdn Bhd dan Azharina Entertainment.

Syarikat produksinya telah membuat ratusan ‘trailer’, ‘teaser’, iklan, pesanan khidmat awam, dokumentari dan video korporat untuk pelbagai syarikat dan pertubuhan.

“Sudah lebih dua tahun saya menyolo dan sekarang memang saya sengaja menutup pintu hati saya untuk mana-mana lelaki kerana sibuk dengan kerja dan tiada masa untuk mencari teman lelaki.

“Kalau berjumpa dengan lelaki yang mula hendak memikat saya dan mengajak saya ke tempat yang tidak sepatutnya, saya akan terus ‘direct’ soal mereka sama ada saya suka atau tidak dengan lelaki itu.

“Bukan apa, sebab dalam umur 24 tahun seperti saya ini sudah mempunyai beberapa buah rumah dan mengumpul ‘rezeki’ dengan kemampuan sendiri. Jadi, mungkin itulah kelebihan yang lelaki akan nampak pada saya,” tambahnya lagi.

Malah Azharina tidak hairan jika dia tidak berkahwin kerana sikapnya yang amat memilih itu. Namun dia tidak menolak andai bertemu jodoh suatu hari nanti.

“Sekarang ini, saya tidak terlalu memikirkan soal jodoh tetapi kalau ada jodoh dengan sesiapa, alhamdulillah. Tetapi jika tiada jodoh pun saya tetap bersyukur kerana saya belum terfikir untuk berkahwin lagi. Kalau kawan tu memang ramai.

“Kalau saya keluar dan bertemu dengan mana-mana lelaki pun atas urusan bisnes. Lelaki yang ingin menjadi suami saya perlu tahu yang keluarga saya bukan seperti keluarga lain. Jadi, saya akan kahwin dengan orang yang beriman,” katanya yang turut mempromosikan program terbitan syarikatnya, ‘Dari Tawau ke Simpang Mengayau’ yang sedang disiarkan di RTM1 pada setiap Selasa, pukul 2.30 petang.

Namun begitu, atas memikirkan nasibnya pada masa hadapan, Azharina telah memikirkan untuk mengambil anak angkat pada tahun depan.

“Saya memang ada terfikir tentang siapa yang akan menjaga saya semasa tua nanti. Tetapi sekarang saya bersyukur kerana mempunyai anak saudara sebagai tempat bermanja.

“Lama mana saya hendak bergantung harap dengan mereka. Jadi, saya fikir untuk mengambil anak angkat pada tahun hadapan kalau ada rezeki dan setelah rumah saya siap.

“Sebelum ini saya pernah menjaga empat orang anak angkat tetapi telah dipulangkan kepada penjaga mereka,” tuturnya yang baru sahaja kehilangan datuk tersayang, penyanyi Datuk M.Y. Ahmad, 71, pada 30 Ogos lepas akibat sakit tua.

Arwah datuknya pernah merakamkan lagu dengan penyanyi Datuk Ahmad Jais suatu ketika dahulu.

Dalam perkembangan lain, Azharina juga sedang menyiapkan album terbarunya, ‘Rawan’ yang telah selesai menjalani proses rakaman.

Selain lagu ‘Rawan’, album itu juga turut memuatkan sembilan buah lagu lain. Antaranya, ‘Rasa’, ‘Gitar Berbunyi’ (lagu nyanyian semula yang dipopularkan oleh Wan Chik Daud), ‘Hey Lelaki’ (duet dengan Mimi One Nation Emcees), ‘Sakarat’, dan ‘Primadona’.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: