Wednesday, November 4, 2009

Anita, Ismadi tak malu tersingkir





WALAUPUN persembahan mereka berdua menunjukkan peningkatan, rezeki nyata tidak berpihak kepada pelakon Anita Baharom dan suami, Mohamad Ismadi Ismail, apabila mereka muncul pasangan pertama yang tersingkir daripada program realiti Sehati Berdansa musim ketiga, Ahad lalu.

Pasangan yang sudah empat tahun bergelar suami isteri itu hanya mampu bertahan selama dua minggu dalam program yang turut membabitkan lapan lagi pasangan lain.

Tarian disko yang dipersembahkan mereka pada minggu kedua gagal melonjakkan pasangan ini ke kedudukan selamat, apabila mereka dianugerahkan markah paling rendah, 41.74 peratus, hasil penilaian juri profesional dan undian penonton di rumah.


Anita dan Ismadi meninggalkan Sehati Berdansa dengan perbezaan yang cukup tipis dengan pasangan kedua paling rendah markah mereka, Nurulhuda Md Nasir (Oshin) dan Mohd Firdaus Mohd Shukor (42.07 peratus).

Begitupun, Anita dan suami tidak kecewa dengan penyingkiran berkenaan kerana mereka menganggap keputusan itu adat pertandingan yang harus ditelan setiap peserta sesebuah program bercorak realiti.

"Baru saja semalam (Sabtu) saya mengundang peserta pertandingan ini datang ke rumah untuk makan malam sambil menonton Malam Sehati Berdansa. Tidak sangka pula ia rupa-rupanya tanda kami akan meninggalkan program ini," katanya ketika ditemui selepas berakhirnya siaran langsung Debaran Sehati Berdansa dari Studio 1, Astro Bukit Jalil.

Kata Anita, sekurang-kurangnya dia dan Ismadi tidak meninggalkan rancangan itu dengan perasaan malu apabila kedua-dua juri, Joseph Gonzales (juri tetap) dan Peter Ong (juri undangan) tidak memilih pasangan berkenaan ketika pengacara Awal Ashaari meminta pandangan mereka mengenai pasangan yang dijangka meninggalkan program itu pada minggu terbabit.

Selain Anita dan Ismadi, dua lagi pasangan yang berada dalam kedudukan bahaya pada peringkat awal Debaran Sehati Berdansa ialah pasangan Oshin serta pasangan Alliza Abdullah (Enot) dan Zainul Abidin Mat Noor.

Anita juga tidak menyalahkan suaminya apabila gagal meneruskan cabaran ke peringkat seterusnya dalam program terbabit. Jelasnya, mungkin ada pelbagai sebab lain yang membuatkan mereka terkeluar daripada pertandingan ini.

Namun, menyedari Ismadi langsung tidak mempunyai pengalaman dalam tarian, dia dan pereka tari, Masisza Ismail (Emma) sudah pun merancang untuk memperbaiki lagi gerak tari jejaka itu pada minggu-minggu berikutnya.

"Saya memang tidak tahu sejauh mana Ismadi boleh menari. Saya cuma pernah melihatnya menari joget lambak sewaktu majlis persandingan kami di Johor dulu. Jadi, apabila tawaran menyertai program ini datang, kami bersetuju untuk mencuba," cerita Anita sambil meminta peminat yang masih ingin melihat dia menari berbuat demikian dengan menonton siri Kau Dan Aku di Astro Ria.

Menurut pelakon berusia 26 tahun itu, sebenarnya dia tertunggu-tunggu giliran untuk menarikan tarian tradisional kerana pada hakikatnya dia lebih menggemari rentak itu. Anita sendiri memulakan karier seni sebagai penari, bersama kumpulan Swatari Pak Ngah, beberapa tahun lalu.

Dia berasal daripada keluarga yang meminati seni apabila tiga daripada adik-beradiknya menari bersama Kompleks Budaya Negara dan Istana Budaya. Hanya dia yang memilih lakonan sebagai tapak mencari rezeki.

"Saya meminati tarian sejak berada di bangku sekolah lagi, terutama tarian Melayu tradisional. Saya memang ternanti-nanti, bila agaknya dapat mencuba tarian ini. Nampaknya, hasrat itu tidak kesampaian kerana kali ini rezeki untuk berbuat demikian tidak menyebelahi kami," kata Anita yang berjaya memungut RM2,000 untuk diserahkan kepada Persatuan SLE Malaysia, yang diwakilinya dan suami.

Ismadi pula berkata, dia sememangnya agak kaku pada minggu pertama pertandingan. Meskipun begitu, dia berjaya menunjukkan peningkatan pada minggu kedua apabila juri tetap memberikan mata yang lebih baik pada persembahan mereka.

"Begitupun, inilah adat pertandingan berbentuk realiti, tentu ada yang tersingkir juga nanti," ujar jejaka yang bekerja sebagai penerbit program televisyen.

Sementara itu, minggu kedua nyata memberikan pasangan Sazzy Falak dan Nazril Idrus khabar sungguh menggembirakan apabila mereka menerima markah penuh (100) daripada juri undangan, Anita Sarawak. Peter dan Joseph juga menghadiahkan markah melebihi angka 90 kepada pasangan selebriti ini.

Pelakon yang juga penghidap SLE turut melihat potensi besar dimiliki Sazzy dan suami, selepas dua minggu program itu berlangsung. Bagaimanapun katanya, penilaian itu dilakukan berdasarkan dua minggu pertama persembahan, sedangkan pertandingan masih berbaki kira-kira dua bulan lagi. Tidak mustahil pasangan lain akan turut menyerlah sepanjang tempoh terbabit.

Pasangan lain yang sama-sama bersaing pada musim ketiga Sehati Berdansa ialah Mirnawan Nawawi dan Noorah Mokhsin, Didie Alias dan Nor Isham Ismail, Syed Hussein Syed Mustaffa (Sein) dan Noor Diyana Muhammad, Ismaliza Ismail (Isma) dan Zulkefli Majid, serta Dira Abu Zahar dan Tengku Shafizrullah Tengku Mohd Shahid (Ash).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: