ENTAH apa sebenarnya yang terjadi. Masing-masing memupuk kata cuba menegak benang sendiri biarpun basah kuyup dan hanya empunya diri yang tahu. Kepada orang ramai mereka mencanang, akulah yang betul dan pemberitahuan itu dimainkan oleh pihak media. A berkata dia yang benar, B juga mendakwa dia betul dan C tidak akan sesekali mengaku salah.
Basahnya benang itu bagaimanapun harus ditegakkan juga. Kalau tidak, diri sendiri malu. Benar atau salah, belakang kira kerana peringkat ini lebih dipentingkan ialah diri jangan dimalukan sendiri.
Aditya sebenarnya cuba kaitkan dua paragraph pertama ini dengan insiden yang berlaku melibatkan Nora Danish, Zaiton Mohd Jiwa yang turut terpercik bahangnya kepada Fasha Sandha. Setakat ini, isunya belum jelas 100 peratus kerana masing-masing meluahkan pandangan tetapi bagi yang memerhati mula melihat kes ini dari pelbagai aspek mahupun genre.
Aditya tidak terkecuali terpanggil untuk berkata sesuatu. Buat masa ini juga, Nora Danish dilabelkan sebagai tidak profesional dan terlalu mengikut emosional oleh Zaiton (sebagaimana laporan akhbar utama Malaysia) kerana tindakannya yang menarik diri daripada penggambaran Spa Qistina.
“Apabila Nora menarik diri daripada Spa Qistina, seolah-olah dia tidak menghormati saya sebagai produser. Saya beranggapan Nora tidak berfikir secara rasional, sekiranya dia menerima tawaran Spa Qistina kerana saya, sepatutnya dia tidak menimbulkan sebarang masalah.
“Apa yang saya dapat lihat, Nora seolah-olah pentingkan diri dan perasaan sendiri, langsung tak profesional,” kata Zaiton dalam laporan Berita Minggu keluaran 15 November lalu.
Bagaimanapun seminggu terdahulu daripada itu, produser Global Station Network ini memberitahu Metro Ahad yang Nora Danish sangat profesional.
Begini lebih kurang bunyinya dalam laporan tersebut:
"Saya tidak ada masalah dengan Nora. Sepanjang menjayakan Spa Qistina, dia sangat profesional dan tidak pernah ada masalah disiplin seperti yang didakwa. Cerita kononnya Nora dan Fasha bergaduh juga tidak benar.
"Sebenarnya selepas beberapa hari penggambaran, Astro dapati produksi tidak memenuhi kualiti yang ditetapkan dan menyarankan supaya dirakam semula.
"Kali ini kami menggunakan kamera HD (High Definition) dan pengarah memberitahu tidak dapat meneruskan tugas ini kerana tidak mampu memenuhi kehendak Astro. Saya terpaksa menghentikan penggambaran selama empat hari untuk mencari pengarah serta kru baru. Kejadian di luar jangkaan ini turut menjejaskan jadual pelakon.
"Apabila mendapati banyak perubahan jadual, Nora terpaksa tarik diri kerana terikat dengan komitmen filem. Saya tidak boleh memaksanya untuk meneruskan penggambaran kerana faham masalah ini timbul apabila berlaku perubahan jadual berikutan penggambaran dihentikan sementara waktu," katanya.
Kenyataan Zaiton ini berdasarkan SMS kiriman seseorang kepada beberapa wakil media yang berbunyi: ‘Saya adalah krew production SpaQ3. Ada berita sensasi untuk u! Nora Danish disingkir semalam oleh pihak Global Station kerana ada masalah disiplin (selalu lewat), tidak dapat menjiwai watak dengan baik (selalu lupa skrip) – tidak profesional.
Pihak Global telah memilih Natasha Hudson untuk menggantikan tempat Nora Danish. Zaiton Mohd Jiwa dan Saniboey (wakil dari Astro) turun ke lokasi dan memberi surat tamat kontrak semalam. Semua kecewa dengan sikap Nora yang seperti lupa diri. Mentang-mentang bekas menantu Tan Sri, sudah mula tunjuk perangai tidak profesional ketika bekerja.
Pelakon-pelakon dalam SpaQ3 juga marah dengan kejadian ini kerana semua babak yang melibatkan Nora yang telah dibuat sebelum ini (reshoot) oleh mereka dan Natasha Hudson nanti. Turut berada di tempat kejadian semalam – Watie Elite, Keifli AF dan kumpulan Hujan.‘
Pada baris akhir SMS itu tertulis nama pengirimnya, Syida, Assistant Production Manager. SMS ini juga memasuki gajet Aditya dan ketika bertanyakan lebih lanjut tentang siapa pengirimnya, tiada jawapan. Ketiadaan jawapan ini juga menimbulkan keraguan Aditya tentang pengirim sebenarnya.
Apakah benar bernama Syida atau sekadar nama samaran oleh seseorang yang gemar menyamar selain suka memburukkan orang lain?
Apapun berdasarkan dua laporan itu, Zaiton memberikan dua kenyataan berbeza dalam tempoh seminggu. Mulanya kerana jadual penggambaran tertangguh dan kemudian, Nora tidak profesional meninggalkan set lokasi. Apa sebenarnya ini?
Bukan Aditya menyalah sesiapa dalam hal ini, jauh sekali mencari salah orang. Bagaimanapun kenyataan berbalas kenyataan hanya mengelirukan mereka yang mengikuti perkembangan mereka. Bimbang nanti timbulnya pembohongan yang jelas kita tahu hukumnya.
Banyak bercakap banyak pula yang bukan-bukan yang muncul. Berdasarkan kenyataan Nora Danish pula, dia menarik diri daripada drama tersebut buka kerana adanya pergaduhan tetapi dia mengaku punca utama yang menyebabkan dia menarik diri kerana pihak produksi memungkiri janji yang sudah dipersetujui awal.
"Sebelum saya memberikan kata putus, Kak Ton (Zaiton) berkali-kali sudah meyakinkan saya bahawa tidak akan ada adegan membabitkan saya dan Fasha Sandha dalam drama bersiri walaupun pada skrip tertulis wujudnya adegan itu.
"Percaya dengan jaminan yang diberi Kak Ton serta atas dasar menghormatinya, saya pun bersetuju untuk berlakon drama itu. Malangnya, apa yang saya takuti berlaku juga. Kecewa kerana terasa diri dikhianati, lantas saya mengambil keputusan mengundurkan diri dari drama bersiri itu."
Kata-kata Nora sekali gus menjelaskan yang dia mempunyai pendirian, tidak membenarkan mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan tambahan pula kes luar lokasi antara kedua-dua manusia cantik ini sememangnya panas.
Biarpun Zaiton tidak merencanakan pertembungan mereka sekalipun, masyarakat tetap melihat scenario ini seolah-olah disengajakan kerana inginkan kontroversi yang ditangguk daripada kedinginan hubungan sesama manusia antara Nora dan Fasha dan malangnya lagi, nama Zaiton pula mungkin turut diheret dalam pertuduhan yang suka menangguk di air keruh.
Harap-harapnya tiada pertuduhan begitu tetapi siapa yang tahu, kerana hati manusia semuanya bijak pandai menilai dan membuat spekulasi.
"Pada mulanya saya tidak percaya, Fasha ada di situ tapi bila saya keluar dari bilik, saya terus bertembung dengannya di set. Ketika itu, saya berasa diri tidak dihargai dan seperti ada orang ambil kesempatan pada saya.
"Saya tidak bergaduh dengan Fasha seperti yang disebarkan orang, sebaliknya saya terus meninggalkan set penggambaran drama berkenaan apabila melihat Fasha di situ. Saya difahamkan babak Fasha dijadualkan bermula pada jam 4 petang hari yang sama dengan babak saya.
"Sebenarnya, saya tidak menyalahkan Fasha dalam hal ini kerana kes saya menarik diri daripada Spa Qistina ini antara saya dengan pihak Global Station dan ia memang tiada kaitan dengannya," katanya.
Dalam satu kes pula, Nora berkata, dia berusaha menghubungi Zaiton untuk memberitahu apa yang berlaku tetapi orang lain yang menggunakan telefon bimbit Zaiton ketika itu.
Sedangkan Zaiton pula mendakwa paling membuat dia terkilan ialah apabila Nora tidak mengangkat telefon atau setidak-tidaknya menghormati dirinya sebagai orang yang lebih tua.
Mana satu yang betul, hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Cuma yang lucunya kepada Aditya apabila Zaiton mengatakan pengganti Nora, lakonan Ummi Nazira jauh lebih baik daripada Nora. Lucu kerana begitu cepat penilaian dan hukuman yang dijatuhkan.
Apakah kita tidak belajar daripada insiden ini? Bukan soal menyokong siapa tetapi kejadian seperti ini seharusnya dielakkan melalui mesyuwarah dan ditangani secara profesional yang berlandaskan emosional supaya tiada hati yang terguris. Biarpun setinggi langit sikap profesional itu sekalipun, ada ketikanya kita perlu tunduk ke bumi dalam menjaga keaiban sesama manusia.
Seperti yang Aditya katakan tadi, anggaplah kejadian untuk kita renung bersama. Tidak terlintas langsung menyalahkan mana-mana penama yang disebut tetapi kekecohan melibatkan mereka ini mencipta sesuatu untuk kita pelajari. Insya-Allah!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: