KUALA LUMPUR - Dua rakyat Amerika Selatan menggunakan pasport Chile yang telah dihantar pulang September lalu atas kes kecurian kecil, sekali lagi ditangkap kerana meragut komputer riba seorang warga New Zealand di sebuah restoran makanan segera di KL Sentral di sini pada 28 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Talib berkata, polis sedang menyiasat sama ada mereka merupakan sebahagian daripada anggota sindiket curi antarabangsa.
"Kami sedang meneliti sama ada mereka benar-benar dari Chile dan kenapa mereka datang semula ke sini selepas kami menghantar mereka pulang ke Chile," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Menurut beliau, polis percaya mereka menggunakan identiti berbeza untuk memasuki negara ini sejak November tahun lalu.
Dengan penangkapan mereka, kata beliau, polis dapat menyelesaikan 33 kes curi di kawasan KL Sentral yang kebanyakannya membabitkan telefon bimbit dan komputer riba.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: