Thursday, April 2, 2015

Yatt Hamzah: Bumi Syria, buka hati saya


  • Yatt Hamzah: Bumi Syria, buka hati saya

DALAM kelestarian hubungan suami isteri, mana-mana pasangan tidak pernah mengimpikan perpisahan sebagai jalan terakhir apabila berdepan dengan kebuntuan dalam menyelamatkan hubungan.

Namun, sebagai manusia biasa yang tidak lari dari khilaf, pastinya ada cacat cela yang terlihat dalam diri pasangan masing-masing dalam melayari bahtera rumah tangga yang dibina.

Mengakui pernah membuat satu kesilapan dalam tindakannya dengan memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Abdul Mutalib Abdul Shukor, 35, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 24 Oktober lalu, selebriti cantik ini merasakan dirinya masih belum terlambat untuk berpatah kembali.

Meskipun pernah melakukan solat istikharah sebelum mengambil keputusan berkenaan, namun Yatt Hamzah  merasakan tindakan memfailkan permohonan cerai adalah kurang bijak apabila melihat kembali punca permasalahan yang mereka hadapi ketika itu.

"Sebenarnya, masalah yang kami hadapi tidaklah serius mana dan bukannya berpunca daripada orang ketiga. Cuma ketika itu saya rasakan perpisahan adalah jalan terbaik.

"Sebelum membuat keputusan itu, saya turut berbincang dengan ibu bapa dan suami terlebih dahulu dan hasil perbincangan itu, suami saya memang tidak setuju untuk berpisah. Namun, saya rasakan ianya sudah terlalu serius pada masa itu.

"Saya juga buat solat istikharah, namun tak jumpa keputusan yang jelas. Saya tahu, keputusan yang saya ambil itu akan berdepan dengan pelbagai risiko. Namun, sebagai manusia yang tidak terlepas dari dosa, saya akui, saya menyesal dengan tindakan saya sebelum ini," katanya yang bakal menarik kembali permohonan cerai itu tidak lama lagi.

Memberitahu Syria membuka hatinya untuk kembali memberi peluang kepada suami tercinta, jelas Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah, 35, sepanjang menyertai misi kemanusiaan di Syria selama 10 hari bermula 25 Februari hingga 6 Mac lalu, pengalaman berada di bumi itu banyak menyedarkannya mengenai erti kehidupan.

"Saya ke Syria bersama suami dan ketika berada di sana, banyak yang saya belajar mengenai nilai kasih sayang. Suami pula menggunakan ruang yang ada untuk menambat kembali hati saya. Saya dapat rasakan kesungguhannya untuk meneruskan perkahwinan kami.

"Semasa berada di sana, saya banyak bertanya kepada wanita yang telah kehilangan suami ekoran terbunuh dalam peperangan dan mangsa pengeboman. Masing-masing memberitahu bahawa mereka akan terus setia dengan suami mereka dan ingin bertemu di syurga kelak.

"Ya ALLAH, betapa besarnya pengorbanan mereka dan nilai kasih sayang mereka terhadap pasangan sekali gus memberi tamparan hebat kepada saya. Mereka begitu tabah dan kuat sedangkan saya hanya diduga sedikit sahaja, sudah mahu mengalah," katanya yang banyak bermuhasabah diri dan memperbaiki hubungan rumah tangganya semula sepanjang berada di sana.
 
Pengalaman mendebarkan
 
Berkongsi pengalaman sepanjang berada di bumi Syria, Yatt memberitahu bahawa dia, suami dan 11 delegasi lain yang turut mengikuti misi kemanusiaan ini turut berdepan dengan saat-saat getir.

Katanya, ketika berada di kawasan kemusnahan, Kavarzeta Hamar, mereka mendapat laporan bahawa pesawat rejim akan berada di kawasan itu dalam masa terdekat.

"Kami terus masuk ke dalam van yang disediakan dan bergerak keluar dari kawasan itu. Kami bersembunyi di kebun zaitun dan 10 minit kemudian, kami terdengar bunyi dentuman bom yang kuat disusuli dengan asap berkepul-kepul.

"Saat itu, saya berasa begitu takut dan memeluk pokok zaitun. Jika kami terlewat ketika itu, tak tahulah apa yang akan jadi kepada kami semua. Masa itu, saya teringat pada ibu saya yang pada awal-awal lagi tidak galakkan penyertaan saya untuk ke sana.

"Dalam perjalanan pulang pada 5 Mac lalu, kami juga berdepan dengan masalah apabila ditahan di kawasan sempadan hampir lima jam. Kami ditahan kerana ada kumpulan sebelum ini telah membuat masalah di sana. Alhamdulillah, selepas itu, kami dibenarkan keluar,"
katanya lagi.

Tambah ibu kepada Suci Hanania, 5, ini, kesengsaraan dan kesempitan hidup di Syria memberi kesedaran kepadanya yang selama ini tidak pernah berdepan dengan kesukaran hingga ke tahap itu.

"Air mata saya begitu murah di sana. Lihat apa sahaja yang berada di depan mata, pasti air mata saya menitis. Melihat kepada kesengsaraan mereka, kekurangan makanan, mati kesejukan, kelengkapan perubatan dan kediaman, saya jadi sebak.

"Selama ini, apa yang saya lihat di Malaysia, masyarakat kita termasuk saya sendiri, banyak kufur nikmat termasuk pembaziran makanan sedangkan mereka nak makan pun susah. Kalau dapat makan sekali sehari, sudah cukup beruntung.

"Saya sedih dan terkilan bila ada yang masih berfikiran negatif mengenai misi kemanusiaan di negara-negara bergolak. Lihatlah sendiri  penderitaan mereka dan janganlah sewenang-wenangnya mempertikaikan perjuangan aktivis seperti saya dan rakan-rakan yang lain,"
katanya yang bersedia untuk ke sana lagi di masa akan datang.

Usai pulang dari Syria, Yatt memberitahu, fokusnya kini adalah untuk mengembangkan perniagaan butik, Suci by Yatt Hamzah, yang bakal membuka dua cawangan baharu.

"Alhamdulillah, atas sambutan yang berterusan daripada pelanggan, saya akan membuka dua lagi cawangan butik iaitu di Wangsa Melawati dan di Kuantan.

"Untuk bulan ini sehingga Aidilfitri nanti, saya hanya fokus kepada perniagaan sahaja. Sejujurnya, saya rindu untuk kembali berlakon kerana sudah hampir tiga tahun berehat. Namun, belum masanya lagi," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: