Saturday, April 11, 2015

18 tahun Rabbani


  • Rabbani

PEMERGIAN vokalis nasyid, Allahyarham Mohd Asri Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Asri pada 2009 dikatakan menjadi punca kumpulan nasyid Rabbani kini kian tenggelam dari dunia hiburan tempatan.

Dakwaan itu pastinya tidak menyenangkan, apatah lagi dikaitkan dengan insan yang telah tiada. Realitinya, walaupun terpaksa berjuang tanpa kehadiran pemimpin utama kumpulan itu, Rabbani masih wujud dan terus bertahan dalam industri muzik tanah air hari ini.

Bahkan, Rabbani kini yang menginjak usia ke-18 tahun masih lagi meneruskan usaha menyampaikan dakwah melalui lagu-lagu nyanyian mereka.

Ekoran itu, sempena ulang tahun tersebut, Rabbani berbesar hati meraikan peminat mereka dengan mengadakan beberapa siri jelajah ke beberapa negeri melalui kelab peminatnya, Rabbani Fan Club (RFC).

Ketua kumpulannya, Azadan Abdul Aziz memberitahu, siri jelajah itu bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim sesama ahli RFC dan peminat di seluruh negara.

"Kami sedar, RFC dan peminat adalah kekuatan kami yang sentiasa memberi sokongan terhadap apa jua aktiviti yang dijalankan oleh kami.

"Setakat ini, kami baharu saja pulang dari Perak dan Pulau Pinang. Bahkan, sempena cuti sekolah lalu, kami berkesempatan mengadakan persembahan di Bukit Bendera, Pulau Pinang," katanya kepada Zass.

Tidak terhenti setakat itu, Azadan memberitahu, siri jelajah itu akan diteruskan di kawasan Pantai Timur hujung April ini.

"Kami akan mengadakan Majlis Makan Malam Mahabbah Rabbani di Hotel Prinzpark, Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada 17 April ini.

"Melalui program itu, pelbagai aktiviti menarik akan dijalankan selain peminat dapat menikmati jamuan makan malam dan persembahan istimewa dari Rabbani," katanya sambil memberitahu ia terhad kepada 200 peserta sahaja. Pada masa sama, kata Azadan, Rabbani turut terlibat dalam menjayakan beberapa program dalaman bersama-sama Pusat Tahfiz Darul Ulama yang dimiliki oleh Ustaz Abdul Kadir Che Mat dan Ustaz Adnan.

"Alhamdulillah, tahun ini, kami terpanggil untuk bekerjasama ekoran rasa tersentuh selepas melihat sendiri kedaifan madrasah tahfiz itu yang terletak di Kampung Melayu, Kundang, Sungai Buloh.

"Kami mendapati hampir 200 pelajar belajar dalam keadaan serba kekurangan biarpun mempunyai keperluan asas yang cukup.

"Oleh itu, sebagai membantu membangunkan madrasah tersebut, kami baharu saja selesai mengadakan majlis makan malam dan dapat mengumpul lebih RM200,000," katanya.


Kembara Bakti Tahfiz Darul Ulama

Sejajar dengan usaha yang dilakukan itu, Rabbani tidak lupa mengajak semuanya peminatnya agar sama-sama berbakti membantu golongan yang memerlukan.

Sehubungan itu, tertubuhlah pakej Kembara Bakti Tahfiz Darul Ulama Bersama Rabbani yang bertujuan untuk mengajak peminat bukan saja melancong tetapi juga beramal.

"Kami baharu saja pulang dari Kemboja pada 24 Mac lalu yang melibatkan 50 peserta.

"Ia merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna buat kami dan peminat. Melihat kesusahan dan kedaifan masyarakat Islam di perkampungan perahu dan kawasan pendalaman seperti di Kampung Jiah dan Kampung Cham sekali gus mengajar erti bersyukur dengan nikmat yang dikecap di negara sendiri.

"Bukan itu saja, setiap peserta turut diraikan dengan persembahan istimewa dari Rabbani," katanya.

Tidak terhenti setakat itu, Azadan memberitahu, pakej kembara ini akan diteruskan ke Pattani, Thailand pada 29 Mei hingga 1 Jun ini.

"Kami berhasrat untuk meneruskan pakej kembara ini ke beberapa negara jiran. Insya-ALLAH, selepas Pattani, Thailand kami akan ke Aceh pula.

"Oleh itu. kami ingin sama-sama mengajak untuk berbakti kepada semua saudara kita yang memerlukan. Ia memberi peluang kepada orang ramai untuk menderma terus sendiri kepada tangan yang sangat memerlukan.

"Biarpun konsepnya adalah kembara bakti yang mana kami mengajak peminat pergi melancong sambil berbakti tetapi kami juga menggalakkan mereka memberi sumbangan kepada mereka yang sangat daif," katanya.

Bagi mereka yang ingin mengikuti pakej kembara dan majlis makan malam amal bersama Rabbani, bolehlah menghubungi Rabbani menerusi e-mel azadan_rabbani@yahoo.com.

Koleksi Emas

Dalam perkembangan lain, sempena sambutan ulang tahun ke-18, Rabbani juga menghasilkan sebuah album kompilasi berjudul Koleksi Emas Rabbani.

Album yang berharga RM27.90 itu dilancarkan pada awal Mac lalu dan dihasilkan oleh Rabbani Productions serta diedarkan oleh Inteam Records.

"Album itu menampilkan koleksi lagu dari album pertama sehinggalah yang terkini.

"Lebih istimewa, ia turut mengandungi lagu Mawar Berdarah yang telah memenangi Lagu Nasyid Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2013," katanya.

Kata Azadan, album itu menghimpunkan 28 lagu terbaik Rabbani sepanjang zaman termasuklah Intifada, Pergi Tak Kembali, Subuh Yang Terakhir, Insaf, Sifat 20, Teman Sejati, Mahabbah, Maulana, Kerlipan Cinta, Musafir Kelana dan Berpaut Pada SabdaMu.

"Setiap lagu ini merupakan lagu-lagu hits daripada album-album sebelum ini.

"Lagu ini turut menjadi pilihan berikutan menerima maklum balas positif daripada peminat.

"Jadi, kami memilihnya atas permintaan daripada peminat kami," katanya.

Pada masa sama, kumpulan nasyid yang memiliki lapan ahli itu turut sedang merangka album baharu yang bakal dilancarkan selewat-lewatnya tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: